Sebaik sahaja mengetahui diri kini berbadan dua, pastinya anda dan pasangan berasa sangat teruja. Lebih-lebih lagi jika ia adalah kandungan pertama. Namun tidak semua kehamilan berakhir dengan kehadiran cahaya mata. Ada yang gugur semasa mengandung. Ibu, adakah anda tahu tanda keguguran?
Bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan diri, amat penting untuk kita mengambil langkah berwaspada ketika mengandung. Dengan mengetahui beberapa tanda keguguran awal dapat membantu para ibu mendapatkan rawatan selanjutnya dengan kadar segera.
Tanda keguguran yang ibu hamil patut tahu
Masalah keguguran ketika hamil bukanlah perkara yang asing. Malah, menurut kajian, antara 10 ke 25% kehamilan akan berakhir dengan keguguran.
Walaupun sesetengah ibu mengandung tidak akan perasan yang mereka gugur kecuali apabila doktor memberitahunya ketika pemeriksaan rutin ketika hamil, namun ada beberapa tanda keguguran yang boleh anda berikan perhatian.
Tanda keguguran #1. Berlaku pendarahan pada faraj
credit to sources
Antara tanda keguguran awal adalah berlakunya pendarahan daripada faraj. Walaupun pendarahan ini turut dikenali sebagai spotting, adalah perkara biasa berlaku ketika trimester pertama kehamilan, tetapi ibu mengandung masih perlu berhati-hati.
Ini kerana pendarahan juga boleh menjadi tanda keguguran.
Darah yang keluar mungkin berwarna sedikit coklat atau pun merah pekat. Keadaan ini juga mungkin diikuti dengan rasa sakit pada bahagian perut. Jika ini terjadi pada anda, segeralah untuk berjumpa dengan doktor.
#2. Sakit pada bahagian perut
Antara tanda-tanda keguguran yang lain adalah rasa sakit pada bahagian bawah abdomen. Ianya mungkin menyerupai rasa sakit ‘cramping’ yang berlaku ketika datang haid.
Anda juga mungkin berasa sakit pada bahagian pinggang belakang. Rasa sakit pada bahagian perut ini terjadi selepas berlakunya pendarahan.
Tanda keguguran #3 Keluarnya gumpalan seperti darah beku
Selain itu, ibu hamil boleh mengetahui yang keguguran telah berlaku apabila melihat keluarnya gumpalan darah beku yang kelihatan seperti fetus.
Tanda tanda keguguran #4 Simptom kehamilan hilang secara perlahan-lahan
Selain itu, ibu boleh mengetahui tanda keguguran melalui kehilangan simptom kehamilan. Ia boleh terjadi secara tiba-tiba. Antaranya, payudara anda tidak lagi berasa sakit.
Morning sickness, mabuk ketika hamil, sakit pinggang, atau rasa tidak selesa yang lain semakin tidak dirasai.
Tanda tanda keguguran #5 Mengalami cirit-birit, pening kepala, dan rasa hendak pengsan
credit to sources
Menurut perkongsian Tommys.org, setiap ibu hamil yang mengalami keguguran juga akan berasa mual, loya, cirit-birit dan rasa seakan-akan hendak pengsan.
Mukus berwarna merah jambu juga boleh dilihat keluar daripada faraj.
Adalah penting untuk anda tahu yang tanda keguguran mungkin berbeza untuk setiap individu. Jika anda rasa tidak sedap hati selepas mengalami salah satu simptom di atas, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan kepastian.
Bilakah waktu yang sesuai untuk hamil semula selepas keguguran?
Antara persoalan yang sering timbul selepas berlakunya keguguran adalah: bila masa yang sesuai untuk anda cuba hamil lagi?
foto: peregianfamilymedical
Secara amnya, hubungan seks antara suami isteri tidak boleh dilakukan dalam masa dua minggu selepas keguguran.
Manakala dari segi perubatan, anda sudah boleh mencuba untuk hamil lagi selepas dua ke tiga kali pusingan haid. Ada juga sesetengah doktor yang menyarankan anda untuk menunggu sehingga 6 bulan atau setahun selepas keguguran sebelum berusaha untuk hamil lagi.
Bagi mendapatkan kepastian, anda boleh mendapatkan nasihat daripada pihak kesihatan terlebih dahulu. Doktor yang merawat dapat menilai keadaan kesihatan anda dan memberikan saranan yang sesuai untuk anda dan pasangan.
Jangan bersedih dan teruskan mencuba
Sekiranya keguguran kandungan ini berlaku pada diri, usahlah terus bersedih berpanjangan. Sebenarnya anda masih ada peluang yang tinggi untuk anda hamil lagi selepas ini. Yang penting, badan perlulah benar-benar pulih dan sudah bersedia sebelum cuba untuk hamil lagi ya.
Sumber: Webmd, American pregnancy, NHS
Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca lagi: Bahaya Minum Teh Susu Ketika Hamil, Ia Punca Keguguran & Risiko Bayi Lahir Cacat!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!