Tanggungjawab isteri pada suami dalam rumah tangga, setiap wanita perlu tahu hal ini!

lead image

Anda nak jadi isteri solehah tak? Kalau ya, anda perlu tahu tentang tanggungjawab isteri dalam perkahwinan. Jom jadi isteri yang baik dan disayangi suami!

Apabila bercakap tentang tanggungjawab isteri kepada suami dalam perkahwinan, pasti ramai yang memikirkan tentang isu urusan rumah tangga saja.

Menjadi suri rumah, mengemas rumah, menjaga anak-anak dan memasak untuk suami, semuanya itu dianggap sebagai tanggungjawab seorang wanita selepas berkahwin.

Tapi, adakah itu tanggungjawab isteri yang sebenar menurut pandangan Islam?

Sebenarnya, ramai para wanita yang telah tersalah anggap. Seorang isteri itu, tanggungjawabnya bukanlah pada urusan hal rumah tangga semata-mata.

Menurut pandangan Islam, tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seseorang wanita selepas berkahwin juga turut menjurus kepada memenuhi hak-hak seorang suami.

Apabila kita tahu apakah hak suami ke atas diri kita dan seterusnya berusaha untuk memenuhi hak si suami, kita sudah pun menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang solehah.

Hak suami ke atas isteri yang perlu dipenuhi oleh setiap wanita yang sudah berkahwin

Tanggungjawab isteri #1 Isteri taat sepenuhnya kepada suami

tanggungjawab isteri, tanggungjawab isteri dalam islam

Kredit: Bercintaselepasnikah.my

Selepas kita bernikah, antara tanggungjawab terbesar seorang isteri adalah memberikan ketaatan yang sepenuhnya kepada suami selagi mana ia berlandaskan hukum Islam.

Menurut ‘Ali ibn Abi Talhah diriwayatkan oleh Ibn Abbas dalam Tafsir Ibn Katheer:

“Lelaki adalah pelindung dan penjaga wanita, ini bermakna suami berkuasa ke atas isteri. Dalam erti kata lain, isteri perlu patuh pada suami, melayan keluarganya dengan baik dan menjaga hartanya.”

Tanggungjawab isteri #2 Isteri memenuhi keperluan batin suami

Antara hak suami ke atas isteri adalah berkaitan dengan hak kebatinan. Seorang isteri yang solehah perlu memenuhi keperluan seks seorang suami.

Jika kita gagal memenuhi tanggungjawab isteri ini tanpa sebarang sebab yang munasabah (contohnya tidak sihat, uzur, puasa wajib), maka kita sudah pun derhaka dan berdosa.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah (ra) dalam Al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah (saw) ada bersabda:

“Apabila seorang lelaki memanggil isterinya ke bilik tidur dan dia ingkar, jika suami tidur dalam keadaan marah terhadap isterinya, malaikat akan menyumpah si isteri sehingga pagi.”

Tanggungjawab isteri #3 Isteri tidak mengizinkan sesiapa yang tidak disukai oleh suaminya masuk ke dalam rumah

tanggungjawab isteri, tanggungjawab isteri dalam islam

Kredit: Penhitam.com

Tanggungjawab isteri yang lain adalah tidak mengizinkan sesiapa yang tidak disukai oleh suami masuk ke dalam rumah kita.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah (ra) dalam Al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah (saw) ada bersabda:

“Tidak boleh seseorang wanita berpuasa tanpa izin suami, membenarkan sesiapa masuk ke dalam rumah tanpa izin suami, dan membelanjakan harta suami sebagai sedekah tanpa izinnya.”

Tanggungjawab isteri #4 Isteri tidak keluar rumah tanpa kebenaran suami

Selepas berkahwin, kita juga perlu memenuhi hak seorang suami di mana dia perlu memberikan izin kepada kita terlebih dahulu sebelum kita keluar rumah.

Malah menurut mazhab Shafie dan Hanbali, seorang isteri juga perlu meminta izin suami untuk keluar rumah walaupun untuk pergi melawat ibu ayah sendiri yang sedang sakit.

Tanggungjawab isteri #5 Memberi layanan yang baik kepada suami

Hal ini barulah meliputi tentang urusan-urusan rumah tangga seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga anak-anak.

Menurut Syakh Al-Islam Ibn Taymiyah:

Seorang isteri perlu melayani suami mengikut cara yang diterima oleh adat dan budaya masyarakat tempatan selagi mana ia munasabah.

Layanan yang baik ini turut meliputi kedua-dua layanan fizikal dan kata-kata yang lembut dan sopan.

Adat dan budaya masyarakat moden di Malaysia tentang tanggungjawab isteri

tanggungjawab isteri, tanggungjawab isteri dalam islam

Kredit: Sunnysidefamily.com

Setelah mengetahui serba sedikit tentang tanggungjawab isteri dalam Islam, maka jom kita lihat pula perspektif masyarakat moden pada hari ini.

Ya, urusan rumah tangga sememangnya dianggap dalam masyarakat kita dahulu bahawa ia jatuh di bawah tanggungjawab seorang isteri.

Namun, pada zaman moden ini, di mana isteri juga turut membantu suami mencari rezeki dan membayar segala keperluan rumah, maka kami merasakan urusan rumah tangga juga perlu dipikul bersama.

Tidak seharusnya seorang isteri itu dibebankan dengan hal rumah tangga seorang diri dan pada masa yang sama, dia turut keluar untuk bekerja dan mencari pendapatan keluarga.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Jadi, suami soleh sekalian, jom jadi ketua keluarga yang matang, bertanggungjawab dan bertimbang rasa. Mari bantu isteri di rumah!

Dan, para isteri sekalian, jom penuhi hak suami kita dan lakukan tanggungjawab seorang isteri dengan hati yang penuh ikhlas. Semoga rumah tangga kita sentiasa bahagia dan diberkati Allah.

Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan yang sudah atau bakal bergelar isteri!

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Islamqa.info, Pejabat Mufti WP

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

Wahai Wanita, Jaga Aib Suamimu Seperti Menjaga Nyawa Sendiri