Telatah Lucu Dua Beradik Main Air Sirap – Kepentingan Seni dan Kreativiti Buat Kanak-Kanak

Share this article with other mums

Tular gambar lucu (dan agak menyeriaukan!) dua orang beradik yang berlumuran cecair air sirap. Nah, ia sebenarnya menunjukkan sisi seni dan kreatif si kecil itu! Jom kita tengok kepentingan seni dan kreativiti buat kanak-kanak menurut seorang pakar, Lisa Ecklund-Flores.

Baru-baru ini, tular satu gambar yang melucu (dan mendebarkan!) di mana dua orang adik beradik sibuk “berhibur” berdua. Apa dua kanak-kanak ini buat? Mereka ralit bermain dan berlumur dengan cecair air sirap! Ramai netizen yang tersenyum dan tertawa apabila melihat gambar yang telah dikongsikan oleh ibu mereka, Puan Nor Farra Farihan, di FB.

Mula-mula lihat, berdebar juga rasa di hati! Ingatkan sesuatu yang teruk telah berlaku dan mereka bermandi darah, rupanya mereka sibuk berenang dalam air sirap.

Sebagai ibu bapa, ini adalah lumrah kehidupan kita. Anak-anak akan melakukan perkara-perkara yang sangat naif dan mencuit hati. Dari satu sudut, ia juga sebenarnya menampilkan sudut kreativiti kanak-kanak.

Mereka sibuk berimaginasi dan meluahkan kreativiti mereka dalam pelbagai cara. Ini mungkin salah satu daripada caranya!

Kanak-Kanak Suka Benda Seni dan Kreatif

Anak kecil suka melihat benda yang cantik dan berwarna-warni. Jika anda perasan, apabila anda meletakkan kertas kosong dan memberi mereka pensel warna, pasti bersinar mata mereka. Tangan pula laju mencapai pensel dan mulalah mereka melukis atau menconteng kertas tersebut.

art quotes for kids

Source: Pinterest.com

Sama juga apabila diberi berus dan cat warna. Apa yang akan berlaku apabila diberi dua benda seni ini? Pasti sarat kertas lukisan (dan kadangkala, dinding rumah) dengan hasil lukisan seni anak-anak ini.

Apakah Kepentingan Seni dan Kreativiti Buat Kanak-Kanak?

Sebenarnya, menurut Lisa Ecklund-Flores, seorang direktor Musik dan Seni di New York City, seni mampu menggalakkan perkembangan mental, sosial dan emosi kanak-kanak. Ia juga membantu si kecil untuk meningkatkan kemahiran dirinya dalam menganalisis dan menyelesaikan masalah.

Malah, ia juga turut memperbaiki kemahiran motor atau pergerakan fizikal si kecil. Jika si kecil itu turut mengira pensel-pensel atau objek yang dilukisnya, kemahiran matematik dirinya juga akan semakin meningkat dengan cara yang kreatif dan menyeronokkan.

arts and creativity for kids

Source: Sheknows.com

Ingin tahu lagi apakah kepentingan seni dan kreativiti buat anak-anak anda? Ini ada lagi satu: apabila anak anda berasa seronok dan bebas dalam mengekspresikan dirinya, keyakinan diri dan rasa nilai diri dia juga akan bertambah!

Lihat? Banyak sebenarnya kebaikan apabila anak kita meluahkan diri atau bermain dengan benda-benda seni dan kreatif. Ya, walaupun kadangkala, mereka membuat semak atau menyepahkan barang dalam proses tersebut, kita perlu bersabar sahaja. Ia adalah sebahagian daripada proses perkembangan dan pembesaran dirinya!

Anak Anda Membuat Sepah Ketika Bermain atau Ketika Mengekspresikan Sisi Seni Dirinya? Senyum Sahaja!

Kita kan selalu dengar orang-orang lama kata? Hiruk pikuk bunyi anak kita bermain dan suasana sepah di rumah kita akan dirindui satu hari nanti apabila mereka membesar dewasa dan meninggalkan rumah kita.

Jadi, jom! Kita nikmati sahaja musim kehidupan yang menggembirakan ini bersama dengan anak-anak kita!

Bahasa Melayu Child Development Keibubapaan Pendapat blogger