Tetamu Suka Mengusik Bila Datang Melawat, Anak Terasa Hati & Jadi Benci Adik Baru
Terasa hati dengan usikan dan kata-kata tetamu yang datang ziarah di rumah, anak kecil ini berasa tidak selamat dan mula simpan dendam terhadap adik barunya
Setiap anak yang sedang membesar amat memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada ibu ayah. Dalam pada itu, kisah benar yang dikongsi oleh seorang wanita ini mengenai anak keduanya terasa hati dengan kata-kata orang sekeliling sewajarnya dijadikan pengajaran seluruh masyarakat.
Meskipun kata-kata seperti ‘ibu sudah ada adik baru, takkan sayang awak dah lepas ni’ bertujuan untuk mengusik semata-mata, namun ia cukup memberikan impak besar terhadap anak yang masih kecil.
Kisah benar anak kedua terasa hati dengan kata-kata usikan
Bila anak yang diusik mula merajuk atau menangis, maka ramailah rasa terhibur dengan reaksi tersebut. Seperti orang dewasa, sebenarnya kanak-kanak juga ada perasaan cemburu dan sakit hati.
Menurut perkongsian seorang ibu, Insyirah Solehah, anak keduanya bernama Amri Suhaily tiba-tiba meluahkan perasaan akibat terasa hati.
”Bila Abang Amir, semua baik je. Kalau Abang Ayie, semua tidak baik.”
Sayu sangat suara Amri dan saya tahu ia adalah luahan yang penuh kesedihan. Kemudian saya tanya kenapa dia boleh cakap macam tu.
”Semua orang cakap Ummi dah ada adik, Ummi tak sayang Abang Ayie lagi.”
Dua tiga kali juga dia mengadu sampai minta nak balik kampung duduk dengan ibu ayah saya. Mungkin agaknya sudah lama terasa hati dengan kata-kata orang yang Ummi sudah tidak sayangkan dia sebab ada adik baru. Subhanallah, sedihnya rasa.
Masa baru bersalin, perasan ada juga yang mengusik ”Ummi dah tak sayang Amri, Ummi dah ada baby.”
Iya, dia sudah besar. Bayangkan 5 tahun sudah menjadi anak bongsu dan tiba-tiba kena terima kehadiran adik. Dia memang seronok, teruja tapi kerap kali makan hati dengan usikan orang dewasa yang tak berapa cerdik.
Ketika melalui tempoh berpantang, ada ramai juga yang melarang Amri Suhaily pegang adiknya. Banyak sangat pesanan ‘jangan ya, jangan itu, jangan ini” sampai dia rasa semua tidak boleh buat.
Sayang juga adik, tapi tak tahu macam mana untuk diterjemahkan dek kerana semua orang tak bagi dekat dengan adik dia. Mungkin membuak perasaan geram.
Paling menggerunkan, anaknya ini sudah mula berani lakukan beberapa tindakan bahaya seperti:
#1. Ditutup muka adik dengan kain masa Ummi ke dapur sambil dia cakap, ”Haa adik dah mati, adik dah mati.” Saya tak faham apa, tengah makan. Sekali suami maklumkan baby sudah tercungap lemas kena tutup dengan kain.
#2. Setiap kali letak baby di bantal, dia akan menangis kuat. Bila angkat terus akan diam. Letak sekali lagi, menangis. Pada awalnya ingatkan usikan Ummu Sibyan, baca ayat qursi dan beberapa ayat quran lain masih tidak berkesan.
Esoknya suami tanya kenapa kepala baby berlekuk, kena ketuk dengan abang ke? Huhu. Tak tahu juga nak kata sebab tak nampak dengan mata. Dua hari kemudian kemas katil baby baru nampak ada ”sesuatu” yang diletakkan bawah bantal. Patutlah dia menangis, sakit kepalanya sampai berlekuk.
#3. Tahu ia perbuatan Amri Suhaily sebab beberapa hari kemudian dia sorokkan lagi barang bawah bantal baby.
- Saya mula sebut baby sayang Abang Amri
- Ummi pun sayang Abang Amri
- Abang Amri boleh pegang baby, tapi kena duduk baik-baik. Pegang elok-elok tak boleh kuat sangat nanti adik akan sakit
Subhanallah, selalu intai bila ditinggalkan mereka berdua. Nampak dia cium adik dengan sopan dan baik sambil cakap ”Abang sayang adik, abang sayang adik”
Kalau dia minta suapkan nasi, saya suapkan juga sebab emosinya perlu dijaga.
Kadang kita terlupa untuk menjaga emosi dan hati anak-anak. Pengajaran untuk saya bila ziarah kenalan atau saudara dapat anak baru, janganlah mengusik abang atau kakak yang ibu ayah tak sayang sebab ada baby.
Mereka akan rasa tak selamat dan gigih nak buat sesuatu pada baby walhal mereka sayang adik baru.
Sumber: Insyirah Solehah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Adik Tak Sayang Kakak Kerana Kakak Autisme, Nasihat Daripada Ayahnya Undang Sebak