Pergi Kerja, Hadir Mesyuarat Punca Terlupa Anak Dalam Kereta

Tergesa-gesa, dengan urusan kerja,rasa masa tak cukup?Perlu hantar anak ke taska pula. Kelam kabut. Jadi tak mustahil boleh terlupa anak dalam kereta kan?

Tergesa-gesa, kelam kabut dengan urusan kerja, rasa masa tak cukup? Anda mungkin pernah alami perkara inikan? Ditambah pula perlu hantar anak ke taska atau tadika, segalanya perlu diingat! Jadi tak mustahil boleh terlupa dan akhirnya tertinggal anak dalam kereta kan?

Memang tak mustahil langsung perkara itu. Harian Metro hari ini melaporkan Dewan Rakyat hari ini diberitahu kebanyakan kes kematian kanak-kanak atau bayi di dalam kenderaan disebabkan ibu bapa bekerja atau menghadiri mesyuarat sehingga terlupa anak berada di dalam kereta.

Ia adalah berdasarkan laporan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mana mengikut perangkaan kementerian itu, enam kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia di dalam kenderaan yang masing-masing dua kes berlaku pada 2020, 2019 dan 2018.

Terlupa anak dalam kereta perlu dipandang serius

terlupa

Harian Metro turut melaporkan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, walaupun bilangan kes itu kecil namun kementerian memandang serius mengenai kes kematian kanak-kanak dan bayi akibat di tinggalkan ibu bapa di dalam kenderaan.

“Ini kerana ia membabitkan kehilangan nyawa dan memberikan kesan besar kepada keluarga berkenaan.

“Selain mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada, kementerian juga menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit sebagai langkah intervensi,” katanya.

Tips elak terlupa anak dalam kereta

Siapa saja yang mahu terlupa dan tertinggal anak kan? Tapi malang tak berbau, dan kemalangan tak dapat diduga. Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk ibu bapa leka dalam menguruskan anak-anak.

Jadi ada beberapa tips yang anda boleh ikut untuk elak kejadian tidak diingini seperti tertinggal anak dalam kereta.

#1. Jangan letak kerusi keselamatan (carseat) di belakang tempat duduk pemandu

terlupa

Pastikan kedudukan kerusi keselamatan anak anda diletakkan di belakang tempat duduk penumpang. Jangan sekali-kali letakkannya di belakang tempat duduk pemandu melainkan anda ada dua anak kerana jika ada dua anak kedua-dua kerusia akan digunakan.

Nanti anda mungkin tak perasan dan kemungkinan itu akan tertinggal anak di dalam kereta keseorangan. Belakang tempat duduk pemandu adalah blind spot untuk anda sebagai pemandu, jadi tolong elak letakkan kerusi keselamatan bayi di situ.

Anda tidak akan melihatnya dengan jelas apabila anda keluar dari kereta, jadi risiko untuk tertinggal anak amat tinggi!

#2. Letakkan barangan yang penting di belakang bersama anak

Seperti beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut anda di ruangan kaki di belakang. Ini bagi memastikan anda akan pasti toleh di belakang sebelum keluar kereta. Jangan ingat remeh ya. Ini mungkin boleh selamatkan nyawa anak anda.

#3. Pesan kepada pihak sekolah

Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon anda jika anak tidak tiba di sekolah atau rumah asuhan pada waktu kebiasaannya. Juga tinggalkan pesan kepada pasangan untuk sentiasa mengingatkan anda terutama jika bertukar rutin. Bertukar rutin kadangkala buat kita lupa kerana ia bukan rutin yang biasa kita lakukan. 

#4. Guna peranti atau aplikasi telefon

terlupa

Guna peranti atau aplikasi telefon untuk mengingatkan anda bahawa anak anda di dalam kereta apabila tiba di destinasi. Antara aplikasi yang boleh digunakan adalah ChildMinder SoftClip atau aplikasi Kars 4 Kids Safety dan waze.

#5. Amalkan untuk memeriksa kenderaan setiap kali keluar

Sebelum anda mengunci kereta, periksa semua ruang tempat duduk terlebih dulu. Ia boleh mengelakkan anak anda supaya tidak tertinggal dan terkunci dari bahagian dalam kenderaan.

#6. Letakkan label pada pemegang pintu

Letakkan label pada pemegang pintu sebelah luar sebagai simbol anak anda ada di dalam kereta. Jadi bila anda lihat itu, automatik anda teringat anak.

#7. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling

Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan pastikan anak anda sentiasa berada dalam keadaan yang selamat! Elakkan bercakap di telefon atau menggunakan telefon ketika menguruskan anak. Sesaat terleka, menyesal anda di kemudian hari.

Fokus kepada apa yang anda perlu lakukan, elakkan daripada melihat atau bercakap di telefon bimbit ketika menghantar anak ke pengasuh atau sekolah kerana ia mampu menganggu fokus anda. Anda mampu mengubahnya!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Harian Metro

Baca juga: 

5 Peraturan Keselamatan Penting Yang Anak Anda Perlu Tahu

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!