Tiada Apa Yang ‘Normal’ Tentang Proses Bersalin Normal Saya!

Meenakshi Iyer bercerita tentang proses bersalin yang dilaluinya dan berkongsi bagaimana ia bertukar menjadi satu pengalaman yang traumatik.

Sembilan bulan proses mengandung saya adalah sangat mudah (kecuali semasa trimester pertama apabila badan sedang menyesuaikan diri dengan kehadiran insan kecil dalam rahim. Morning sickness, pedih ulu hati, resah gelisah, dan perubahan hormon yang ketara).

Saya sangat berpuas hati yang saya dapat bekerja sehingga ke penghujung kehamilan saya. Saya sihat secara fizikal (terima kasih yoga!) dan dapat menjalankan aktiviti harian saya seperti biasa.

Senang cerita, selain daripada perut yang semakin membesar dan keletihan yang teruk di penghujungnya, saya tidak mengalami terlalu banyak masalah kesihatan.

5 bulan telah berlalu selepas saya melahirkan anak saya yang comel dan saya masih belum pulih sepenuhnya daripada apa yang boleh saya katakan sebagai pengalaman bersalin yang traumatik!

Bayi Saya Dijadualkan Lahir Dalam Masa 10 Hari…

Saya boleh ingat dengan jelas malam 15 Disember 2016, sehari sebelum anak saya dilahirkan. Suami dan saya baru selesai makan malam dan bersembang tentang hari kami. Tendangan pertama bayi saya bermula pada pukul 9.30pm.

Saya menganggapnya perkara biasa kerana doktor telah memberitahu saya ketika pemeriksaan pada pagi tadi yang bayi saya belum bersedia untuk keluar lagi. Dia dijadualkan untuk lahir dalam masa 10 hari.

Malam kian berlabuh, tendangannya semakin rancak. Oleh kerana saya berasa susah untuk lena, kami terus bersembang sehingga larut malam. Pada pukul 2.30 pagi, mata kami semakin berat dan kami mula merepek dan tidak lagi dapat memahami apa yang kami sembangkan.

Pada tersebut, saya bermimpi tentang air ketuban saya pecah di dalam lif. Saya terbangun secara mengejut dan menyedari yang air ketuban saya betul-betul telah pecah, secara realitinya! Pada pukul 3.45 pagi, saya dan katil telah basah kuyup disebabkan oleh cecair amniotik yang telah tumpah. Saya bangun dengan perlahan dan pergi ke bilik air untuk memeriksanya.

Sebaik sahaja saya duduk di atas mangkuk tandas, saya dapat rasakan air terus melimpah, kali ini berserta darah dan mukus. Saya tidak panik. Saya tahu yang telah sampai masanya untuk ke hospital. Saya tahu yang bayi saya sudah mahu keluar.

Saya Sangat Inginkan Kelahiran yang Normal

Sebaik sahaja tiba di hospital, semasa saya sedang bersiap sedia untuk bersalin, saya mula melakukan teknik bernafas yang saya belajar semasa kelas yoga prenatal.

Apabila sakit kontraksi saya semakin meningkat, saya mula membentangkan tikar yoga dan melakukan pose khas yoga cat-camel. Saya benar-benar terdesak dan ingin bersalin secara normal.

Sepanjang kehamilan saya, saya telah membaca banyak kisah menyeramkan bagaimana wanita mengalami masalah untuk pulih dari pembedahan c-seksyen.

Saya ada terbaca tentang bagaimana hospital di India memaksa para ibu untuk melakukan c-seksyen semata-mata untuk membuat keuntungan. Saya juga terbaca tentang wanita yang tidak dapat menghilangkan berat kehamilan mereka selepas pembedahan c-seksyen.

Saya merasakan yang bersalin secara normal merupakan satu-satunya pilihan saya untuk mendapatkan proses selepas bersalin yang menggembirakan. Saya langsung tidak tahu yang tiada apa yang ‘normal’ tentang proses bersalin melalui vagina di India!

Pada pukul 8 pagi, saya dibawa ke bilik bersalin. Saya sudah mula terbuka sebanyak 3cm dan mengalami kesakitan yang amat sangat. Pada masa ini, saya sudah pun berada di hospital selama 4 jam, dicucuk bagi mengeluarkan darah untuk pelbagai ujian darah dan sedang berada di bawah kesan enema.

Apabila rasa sakit mulai meningkat, saya teringat yang saya menghentakkan kepala pada besi katil. Saya teringat yang saya mula menendang dengan kuat, berharap yang rasa sakit yang dirasai di seluruh badan akan sedikit reda. Tetapi, tiada sebarang perubahan yang berlaku.

Lebih teruk lagi, doktor kemudiannya memasukkan sedos drip Pitocin IV apabila bayi saya tidak turun ke pintu rahim. Sakit kontraksi mulai menjadi semakin teruk dalam masa beberapa minit. Pada waktu ini, rasa sakit saya telah mencapai tahap 10. Saya menjerit dan menjerit tanpa menerima sebarang rasa simpati daripada para jururawat yang berada di situ.

Suami Saya Tidak Dibenarkan Berada di Sisi Saya

Suami saya tidak diizinkan untuk berada berhampiran dengan saya. Dia hanya mampu menonton “pertunjukan” saya ini dari jauh. Permintaannya yang berulang kali untuk berada di sisi saya tidak diendahkan langsung. Dia hanya mahu memegang tangan saya dan memberitahu saya yang segalanya akan berlancar lancar.

Malah, beliau turut diminta keluar dari bilik bersalin tersebut beberapa kali. Semua ini berlaku semasa saya sedang terbaring kesakitan, menangis dan berasa tidak mampu berbuat apa-apa.

Pada 9.30 pagi, badan saya mula berputus asa. Saya mula terlihat yang keinginan saya untuk merasai proses bersalin secara normal, tanpa bantuan apa-apa, mula punah.

Disebabkan dos kuat Pitocin IV, badan saya tidak lagi dapat melahirkan bayi saya secara normal. Bantuan mula diminta. Tidak lagi dapat menahan sakit, saya meminta epidural.

Selepas beberapa minit berasa kebas, saya mula berasa sakit semula. Kali ini, saya telah terbuka sebanyak 8cm. Tetapi bayi masih tidak mahu turun. Saya diberi lagi satu dos kuat Pitocin dan perlu mengambil lagi satu epidural.

Akhirnya pada pukul 11.15 pagi, doktor memberitahu yang saya sudah boleh mula push.

Tetapi, bagaimana saya ingin meneran kalau saya langsung tidak dapat berasa apa-apa pada bahagian pinggang dan ke bawah.

Saya mula meneran seperti bermain papan dart dalam gelap! Ada satu ketika, pakar bius saya – yang seberat lebih kurang 100kg – duduk di atas perut saya dan membuat tekanan fundal. Saya terus meneran tanpa sebarang arahan yang jelas dari doktor.

Pengalaman Bersalin Secara Normal yang Traumatik

Akhirnya, pada pukul 11.39 pagi, saya terdengar bunyi tangisan halus. Saya tutup mata saya beberapa minit dan doktor mengumumkan yang dia akan menjahit saya sekarang. Dia perlu menggunakan episiotomi (guntingan yang dibuat pada pintu vagina) untuk mengeluarkan bayi perempuan saya.

Guntingan epiotomi semasa bersalin

Source: Wikipedia.com

Saya telah pun berbincang secara jelas dengannya ketika lawatan pemeriksaan yang saya tidak mahu episiotomi. Tetapi, saya telah diberitahu yang ia adalah proses normal di India. Saya berharap saya telah membantah dengan lebih keras.

Oleh kerana saya juga meminta untuk melakukan hubungan sentuhan kulit-ke-kulit dengan bayi saya, dia telah diletakkan atas dada saya selama 30 saat sebelum diambil untuk dibersihkan.

Walaupun dalam keadaan separuh sedar, saya masih teringat bagaimana pakar bius saya telah mempersendakan permintaan saya.

Guntingan yang panjang (lebih kurang 10cm) telah menyebabkan kehilangan darah yang banyak dan tahap hemoglobin saya turun kepada 6 (daripada 12). Saya diberi 2 botol hemoglobin dan apabila ia tidak berkesan, saya diberi lagi satu botol darah RBC asli.

Terpaksa Duduk di Hospital Lebih Lama

Saya duduk di hospital selama 4 hari, disambung kepada drip IV, tidak mampu untuk memegang bayi atau menyusukannya tanpa mengalami rasa sakit.

Segala cucukan telah menyebabkan kekebasan saraf pada kedua-dua tangan saya, sehinggakan saya tidak lagi mampu untuk mengangkatnya: thrombophlebitis, rekahan, rasa sakit yang amat sangat pada tulang sulbi dan perineum.

Tetapi, senyuman di wajah bayi kecil saya memberikan saya kekuatan untuk melalui semua ini. Dan, sudah tentu, begitu juga dengan kasih sayang dan sokongan dari keluarga dan rakan-rakan.

Hari ini, bayi saya sudah berusia 5 bulan. Saya menyusukannya setiap hari sejak dilahirkan, walaupun ada 2 jarum IV yang dicucuk pada saya. Saya tidak dapat duduk dengan tegak – walaupun selama 5 minit untuk membuat regangan – hampir 2 bulan.

Tetapi, saya terus menyusu badan kerana saya tidak mahu menyusukannya dengan cara lain. Saya masih perlu menahan rasa sakit. Tetapi rasa sakit yang paling saya terasa adalah kesakitan akibat tidak mampu mempertahankan hak saya sebagai seorang ibu.

Saya cuba untuk menjadi ibu dan penjaga yang baik kepada anak saya. Tetapi, saya tahu yang saya boleh melakukan lebih daripada itu, kalaulah pengalaman bersalin saya selancar proses kehamilan.

Ia adalah sesuatu yang malang apabila seorang ibu itu tidak dapat memilih cara bersalin yang diingininya. Ia juga adalah malang yang hak bersalin telah menjadi bahan senda di India pada hari ini.

Projek Bersalin India – Perkongsian dari Para Ibu

Pengalaman bersalin ini telah dikongsikan oleh Meenakshi Iyer sebagai salah satu daripada Projek Bersalin India. Projek Bersalin India adalah satu siri koleksi cerita bersalin yang disumbangkan oleh masyarakat awam yang mengetengahkan pahit manis bersalin.

Jika anda ada sebarang pendapat, soalan atau komen tentang artikel ini, kongsikannya di ruangan komen di bawah. Like kami di FB dan dapatkan info terbaru dari The Asian Parent Malaysia.

Sumber – Rencana ini telah diterjemahkan dari artikel asal oleh The Indus Parent.