Kenapa Anda Tidak Patut Bawa Anak Ketika Pergi Bercuti?
Perlukah anda bawa anak kecil bercuti bersama-sama anda dan pasangan? Semua orang ada pendapat yang tersendiri, sama seperti wanita ini.
Antara persoalan yang sentiasa bermain di fikiran ibu ayah adalah sama ada untuk membawa anak-anak bersama ketika percutian yang seterusnya.
Setiap orang sudah pasti ada pendapat masing-masing. Namun, ibu ini, Nicole Yi, ada pendapatnya yang tersendiri.
Baginya, anda tidak patut membawa anak kecil anda sekali ketika bercuti.
Kenapa? Jom baca penerangan darinya.
Patutkah anda bawa anak kecil bercuti?
***
Percutian saya yang terbaru adalah pada bulan lepas, di mana saya telah pergi ke Cabo.
Sebelum percutian itu, sudah lama rasanya saya tidak berehat dan melancong (kira-kira 11 tahun yang lepas!).
Antara memori indah dalam hidup adalah ketika saya mengikuti percutian keluarga sewaktu saya di sekolah rendah.
Ibu, ayah, dan saya sangat seronok ketika menaiki kapal cruise dan melancong ke pelbagai tempat. Saya masih ingat sehingga ke hari ini.
Tetapi, ketika saya masih budak kecil, kira-kira 4 ke 5 tahun, saya tidak dapat mengingati satu pun percutian keluarga yang saya telah pergi.
Cancun, Jamaica, serta Hawaii – saya tiada memori mengenainya!
Saya hanya tahu saya telah pergi bercuti ke tempat ini hanya setelah saya melihatnya dalam foto album keluarga saya.
Baru-baru ini, saya ada berbual dengan rakan sekerja dan rakan rapat tentang hal ini. Kami semua dalam golongan usia 20-an.
Yang menariknya, kami semua bersetuju yang kami harap ibu bapa kami membawa kami berjalan-jalan ketika kami sudah besar, dan bukannya sewaktu kami masih bayi atau anak kecil.
Apabila saya melihat keluarga bersama bayi kecil mereka di airport, saya tak dapat elak dari berfikir, “Membazirnya bercuti bawa anak kecil!”.
Sewaktu saya menunggu giliran untuk menaiki kapal terbang ke San Francisco, sepasang ibu ayah sedang sibuk bersembang tentang bagaimana dia dan anaknya (berusia 4 dan 5 tahun) telah bercuti ke banyak tempat.
Saya memang kagum kerana mereka sudi membawa anak mereka berjalan-jalan.
Tetapi, berapa banyakkah antara memori ini yang dapat diingati oleh anak kecilnya itu?
Sebab bagi saya, jika itu saya, saya sedar yang saya masih terlalu kecil untuk memahami percutian tersebut dan menghayatinya.
Cadangan jika anda ingin bawa bayi atau anak kecil bercuti
Apa yang saya ingin sarankan di sini adalah: jika anda merancang untuk percutian keluarga yang “gempak”, tunggulah sehingga anak anda besar sedikit untuk memahami dan menikmatinya.
Sebolehnya apabila mereka sudah masuk ke sekolah.
Ya, saya faham. Kadangkala, percutian itu lebih kepada untuk ibu bapa, dan bukannya untuk anak kecil mereka.
Tetapi, jika tujuan utama anda membawa anak anda pergi bercuti adalah untuk mencipta memori kanak-kanak yang indah untuk anak-anak anda, tunggulah sehingga dia besar sedikit.
Saya bukanlah meminta anda, ibu ayah sekalian, untuk terus menghentikan segala percutian ketika anak anda kecil.
Cumanya, saya merasakan yang percutian besar-besaran seperti keluar melancong ke luar negara berhari-hari lamanya perlu ditangguhkan dahulu.
Anak kecil anda terlalu kecil untuk memahami betapa hebatnya destinasi anda itu.
Sebaliknya, tumpukan kepada untuk meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak kecil anda. Dan, ini boleh dilakukan di rumah atau melancong di dalam negara sahaja.
Itulah perkara yang lebih penting, saya rasa.
***
Jadi, bagaimana ibu ayah sekalian? Anda bersetuju dengan pendapatnya? Mari berkongsi pandangan di ruangan komen ya!
Sumber: Popsugar.com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: