Tip Untuk Para Ibu yang Berpuasa Ketika Mengandung

undefined

Anda risau keselamatan dan kesihatan anda dan bayi ketika bulan Ramadhan nanti? Kami ada kongsikan tip untuk para ibu yang berpuasa ketika hamil.

Berpuasa ketika hamil – Amalkan tip mudah ini

Bulan Ramadhan bakal menjelma tidak lama lagi. Pasti ramai antara kita yang berasa teruja dengan kehadiran bulan yang mulia ini.

Tetapi, pada masa yang sama, mungkin juga ada di kalangan para ibu mengandung yang berasa sedikit risau tentang kesihatan badan dan bayi mereka.

Jika anda bercadang untuk berpuasa, di sini ada beberapa tip untuk para ibu yang berpuasa ketika hamil. Cuba tip ini dan lihat bagaimana ia membantu memberikan anda tenaga sepanjang bulan Ramadhan!

1.    Kurma dan susu

Ini merupakan satu tip penting untuk para ibu yang berpuasa ketika hamil. Sememangnya kita tahu bahawa kurma merupakan satu makanan yang sihat. Malah, ia juga adalah sunnah Nabi.

berpuasa ketika mengandung, berpuasa ketika hamil

Source: Daahsha.blogspot.my

Untuk bulan Ramadhan yang akan datang ini, cuba lakukan tip yang telah dikongsikan oleh seorang ibu di FB. Pada waktu malam, sebelum masuk tidur, ambil 3 biji kurma. Buang kulitnya dan racit-racit sedikit kurma itu menjadi kepingan kecil. Kemudian, rendam dalam air masak.

Apabila anda bangun sahur keesokkan paginya, tapis dan kisar kurma tersebut bersama dengan secawan susu segar. Minum dan niat supaya diberikan tenaga berpanjangan pada hari berpuasa!

2.    Ambil makanan seimbang

Selain daripada makanan sunnah di atas, anda juga perlu memastikan hidangan di dalam pinggan anda lengkap dari segi nutrisi. Sebagi panduan, lihat saranan makanan buat ibu mengandung yang ingin berpuasa pada bulan Ramadhan yang akan datang ini.

  • Karbohidrat kompleks seperti roti dan nasi
  • Makanan berasaskan protein seperti daging, ayam, ikan atau kekacang seperti lentil dan kacang pis
  • Sayuran atau ulam-ulaman

Sebagai tip tambahan, kurangkan pengambilan gula yang berlebihan. Pada bulan puasa, kita semua memang suka makan kuih tradisional seperti kuih limas, ondeh-ondeh dan pelbagai lagi, tiada masalah. Cuma, kurangkannya!

Ini adalah kerana, pengambilan gula berlebihan akan menyebabkan paras gula dalam badan kita bertambah secara mendadak. Ia juga mudah untuk turun semula. Proses ini hanya akan menyebabkan anda mudah pening dan mengantuk.

3.    Perbanyakkan Minum Air Kosong

berpuasa ketika mengandung, berpuasa ketika hamil

Source: Livestrong.com

Minum air kosong yang banyak adalah penting buat orang yang berpuasa dan menjadi lebih penting buat ibu yang mengandung. Selepas masuk waktu berbuka puasa, anda perlu memperbanyakkan minum air kosong.

Sama juga ketika bersahur. Jangan lupa untuk mendapatkan bekalan air kosong untuk badan anda. Ia memastikan anda kekal hidrasi di siang hari.

Apa yang Patut Anda Elakkan Apabila Berpuasa Ketika Hamil?

Selain daripada cadangan hidangan yang boleh anda cuba ketika berpuasa nanti, ada juga beberapa perkara yang perlu anda elakkan. Antaranya adalah:

  • Kurangkan pengambilan kopi dan teh kerana minuman ini mengandungi kafein.
  • Kurangkan pengambilan makanan berempah dan pedas kerana ia mungkin menyebabkan pedih perut.
  • Kurangkan makanan berminyak dan berlemak untuk mengelakkan sakit pedih ulu hati dan bertambah berat badan.

Adakah Berpuasa Ketika Hamil Akan Menyebabkan Bayi Kecil dan Kurang Nutrisi?

Tidak. Menurut kajian yang telah dilakukan setakat ini tentang kesan berpuasa kepada ibu mengandung dan bayi, sebenarnya aktiviti berpuasa, secara am, tidak meninggalkan banyak kesan negatif kepada bayi dan ibu. Antara laporan kajian yang pernah dibuat adalah:

  • Bayi para ibu yang berpuasa tidak mempunyai banyak bezanya dengan bayi para ibu yang tidak berpuasa.
  • Perbezaan dalam berat bayi apabila dibandingkan antara bayi ibu berpuasa dan tidak berpuasa adalah tidak ketara.
  • Kajian mendapati bayi yang dilahirkan oleh ibu yang berpuasa adalah lebih kurus dan kecil, tetapi perbezaannya juga adalah tidak ketara.

Jadi, anda tidak perlu risau. Jika doktor telah mengesahkan yang ianya adalah selamat untuk anda berpuasa ketika hamil, maka anda boleh melakukan ibadah berpuasa tanpa ragu-ragu.

Isyarat Berbahaya Yang Menandakan Anda Perlu Pemeriksaan Doktor Atau Berhenti Berpuasa

Tetapi, jika anda mengesan beberapa perkara yang terjadi ketika anda berpuasa, maka segeralah dapatkan pemeriksaan doktor.

  • Anda berasa pening-pening dan lemah badan yang serius
  • Anda pengsan
  • Sakit pedih ulu hati yang teruk
  • Jika anda berada di trimester yang pertama, berat badan anda tidak bertambah secara mencukupi
  • Air kencing menjadi pekat dan kuat baunya
  • Anda berasa loya dan muntah-muntah dengan teruk

Bagaimana Pula Dengan Ibu yang Mengandung Anak Kembar?

Bagi para ibu yang sedang mengandung anak kembar dan bercadang untuk berpuasa pada bulan Ramadan yang akan datang ini, mereka juga perlu berbincang dengan doktor masing-masing. 

Para doktor akan melihat sejarah kehamilan yang lalu dan keadaan kehamilan sekarang bagi menentukan sama ada seseorang ibu yang mengandung itu, anak seorang atau kembar, mampu untuk berpuasa selama sebulan.

Menurut Dr. Zubaidi, ada beberapa keadaan ibu mengandung yang tidak disarankan untuk berpuasa:

  • Ibu hamil yang mempunyai masalah darah tinggi yang tidak terkawal
  • Ibu hamil yang mempunyai risiko kelahiran pramatang
  • Masalah diabetes mellitus
  • Berpenyakit buah pinggang dan hati
  • Berpenyakit asma
  • Kehamilan kembar

Perlukah Menggantikan Puasa, Membayar Fidyah atau Kedua-Duanya?

Ada banyak pendapat ulama tentang hukum menggantikan puasa yang ditinggalkan oleh ibu hamil atau ibu yang sedang menyusukan anak.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, di FB Jakim:

Selepas meneliti dalil, kami lebih cenderung kepada pendapat mazhab Syafie dan Hanbali yang menyatakan hendaklah qadha sahaja jika kedua-duanya bimbang terhadap diri sendiri sahaja. Sebaliknya jika juga dibimbangi terhadap anak dan dirinya maka hendaklah diqadha dan membayar fidyah.”

Jadi, kesimpulannya:

  • Jika ibu risau akan kesihatan dirinya sahaja – Boleh berbuka puasa tetapi wajib menggantikan puasa dan tidak perlu membayar fidyah.
  • Jika ibu sihat dan cuma risaukan keadaan bayi dalam rahim – Boleh berbuka puasa dan wajib menggantikan puasa serta membayar fidyah.

Jadi, jika anda sedang mengandung dan bercadang untuk berpuasa, maka silakan. Cuba tip untuk para ibu yang berpuasa ketika mengandung yang kami kongsikan di atas ini.

Cumanya, jangan lupa untuk mendapatkan nasihat daripada doktor anda. Semoga kita semua beroleh keberkatan dan kebahagiaan dengan kehadiran bulan yang mulia ini!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!