Kalau Dah Tak Larat, Berehatlah Kerana Tugas Seorang Isteri Takkan Pernah Habis
Setelah bergelar seorang isteri, anda memikul tugas dan tanggungjawab yang besar terhadap suami dan keluarga. Namun, jangan sampai melebih kudrat ya!
Mendirikan sebuah rumah tangga bahagia adalah impian bagi setiap insan. Namun, tidak dinafikan bahawa tugas isteri pada masa kini berubah menjadi semakin mencabar.
Mana tidaknya, seorang isteri solehah akan cuba memberikan yang terbaik untuk seluruh ahli keluarga yang dicintai dari aspek makan minum, pakaian dan kebersihan rumah.
Tugas isteri dalam rumah tangga
Menjadi seorang ibu bekerjaya atau suri rumah bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini kerana segala urusan anak, rumah dan suami perlu ditanggung beres meskipun anda berhadapan keletihan.
Bayangkan sahaja sedar dari tidur setiap pagi, anda perlu segera menyiapkan sarapan pagi, mengejutkan anak-anak untuk ke sekolah atau menempuhi kesesakan jalan raya ke tempat kerja.
Pulang sahaja dari rumah, anda perlu menjadi suri rumah untuk mengemas rumah agar lebih bersih dan tersusun.
Mengikut perkongsian oleh pengguna Facebook, Firdaus Shakirin yang menyedari bahawa kebanyakan para suami sering berpesan untuk isteri berhenti melakukan kerja rumah ketika lewat malam.
”Dari perspektif seorang suami, anda mungkin menganggap tugas isteri yang tertangguh boleh dilakukan pada keesokan hari. Namun, sebenarnya ada isteri yang tidak boleh tidur sekiranya masih ada perkara yang boleh disiapkan,”
”Memang pada hari esok masih boleh sambung semula, tetapi kerja-kerja rumah ini jika ditangguhkan akan menambahkan lagi tugas isteri dalam jadual sehariannya,” ujar Firdaus.
Tambahnya lagi, setiap wanita pasti ada rutinnya yang tersendiri dalam menguruskan hal rumah tangga. Jika terpaksa menangguhkan salah satu kerja rumah, jadualnya mungkin akan perlu diubah.
”Jika isteri anda mengemas rumah sehingga lewat malam dengan mengutip permainan anak yang berselerak, membersihkan dapur atau mencuci pakaian, adalah penting seorang suami bersama-sama melakukannya,”
”Ia nampak mudah, namun sebenarnya memerlukan tenaga yang banyak. Jika anda menghulurkan bantuan, ia mampu meringankan tugas yang perlu dilakukan isteri,” katanya.
Kongsi Firdaus lagi, tugas isteri dapat dikurangkan sekiranya suami memiliki tabiat suka membantu pasangan. Sekiranya pulang dari rumah dan mendapati terdapat sampah, ringankan diri untuk membuangnya.
”Bukan itu sahaja, selesai sahaja solat, kutip mainan anak dan bantu isteri kemas rumah. Jika ada hari anda memiliki waktu terluang, jadi tukang masak untuknya secara sukarela,” katanya.
Mengurus rumah tangga dengan tenang
Memegang gelaran sebagai seorang suri rumah dan wanita bekerja amat penat. Lebih-lebih lagi sekiranya anda memiliki anak-anak yang masih kecil.
Menurut Najibah Mustaffa, ada beberapa tips yang boleh anda ikuti bagi menguruskan rumah tangga dengan tenang. Antaranya ialah:
#1. Kekuatan jiwa
Jiwa diibaratkan seperti bateri, ia penentu untuk anda bergerak. Sekiranya bateri lemah, anda tidak boleh melakukan apa-apa perkara.
Jadi, untuk menguatkan jiwa anda perlu sentiasa menjaga hubungan baik dengan Allah. Lazimi solat pada awal waktu, membaca al-Quran seeloknya di permulaan hari dan amalkan zikir. Ia beri tenaga luar biasa.
Jika anda mengabaikan perkara pertama ini, pastinya hidup mudah dilanda serabut dan sering naik angin ketika berhadapan dengan karenah anak-anak.
#2. Kesihatan mental dan fizikal
Untuk menjaga kesihatan tubuh badan, anda disarankan melakukan senaman ringan pada awal pagi untuk mengeluarkan peluh dan meregangkan otot badan.
Bagi kesihatan mental pula, lakukan apa sahaja perkara yang anda suka sebagai terapi minda. Latih diri setiap hari untuk membaca bahan yang positif dan mengeluarkan perkataan yang baik-baik sahaja. Abaikan segala kisah sedih kerana ia mampu memberikan impak kurang baik terhadap pemikiran anda.
#3. Bab masakan dan pemakanan
Hal yang perlu lakukan dalam memulakan rutin setiap hari adalah mengambil sarapan pagi untuk membekalkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan.
Anda perlu menyayangi diri terlebih dahulu barulah anda boleh menyayangi orang lain dengan baik.
Menyentuh masakan untuk keluarga pula, elakkan dari membazir dan sediakan makanan kegemaran suami serta anak-anak yang berkhasiat.
Sekiranya tidak mempunyai masa, anda boleh membuat tempahan melalui servis penghantaran sahaja agar diri tidak kelaparan.
#4. Pengurusan rumah
Mengemas adalah tugas yang memerlukan kudrat. Hal yang mencabar apabila anda memiliki anak kecil yang suka membuat sepah di sana sini. Jadi, anda merancang jadual anda untuk mengemas pada waktu tertentu sahaja seperti pagi dan petang.
#5. Pengurusan anak
Dalam proses membesarkan anak-anak, elakkan membandingkan cahaya mata anda dengan orang lain kerana mereka tidak sama.
Sentiasa bertenang jika anda mendapati anak jiran anda mudah dikawal dan senang melelapkan mata. Wujudkan sedikit masa berkualiti untuk bermain bersama anak-anak.
Sumber: Firdaus Shakirin, Najibah Mustaffa
Kredit foto: Sumber
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: Bila Isteri Kuat Membebel Di Rumah, Suami Kena Tenang Bukannya Sama Naik Beremosi
Baca juga: Suami Isteri Kena Sama-Sama Penat Urus Rumah Tangga, Buatlah Ikut Mampu & Jangan Paksa Diri
Baca juga: Kenapa Anda Dilarang Mengeluh Penat Depan Anak? Ini Sebabnya…