Panduan Lengkap: Tumbesaran Dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 11 Bulan

lead image

Di usia 11 bulan, bayi anda akan mula menjadi lebih berani dan meneroka dunia kelilingnya! Ketahui tentang apa lagi milestone kanak-kanak 11 bulan di sini.

Sekarang, bayi anda sekarang sudah berusia 11 bulan, dan anda sudah tentu teruja dengan umurnya yang bakal menjejak 1 tahun tidak lama lagi! Walaubagaimanapun, 11 bulan juga bulan yang penting buatnya. Berikut antara beberapa milestone kanak-kanak 11 bulan yang anda harus tahu:

Perkembangan Fizikal

milestone kanak-kanak 10 bulan

Si peneroka kecil akan menjelajah lebih jauh

Ketika ini, bayi anda sudah galak menjelajah ke semua pelusuk rumah, walaupun masih memegang anda atau perabot untuk membantunya stabil semasa bergerak. Dan ketika inilah anda harus berhati-hati dengan pergerakan si kecil, kerana sifat ingin tahunya yang tinggi.

Bukan sekadar bergerak, malah dia akan mula memanjat juga!

Sangat penting untuk anda memastikan rumah selamat untuk bayi. Ini kerana dia akan membuka almari, laci, pintu dan sebagainya.

Apa saja yang menarik minatnya (semua bendalah!) akan didekatinya. Jadi barangan berbahaya seperti bahan kimia, barangan tajam dan wayar hendaklah disimpan rapi malah jauh dari capaiannya.

Bayi anda akan mula belajar berdikari. Jadi dengan keadaan rumah yang selamat, anda tidak perlu risau akan soket elektrik atau pintu almari yang boleh mencederakannya. Dia dapat meneroka tanpa halangan.

Perkembangan Kognitif

milestone kanak-kanak 10 bulan

Perkembangan kognitif: Dia sudah mula merasai pelbagai emosi

Anak anda akan mula mempunyai personalitinya yang tersendiri. Dia tahu apa kesukaannya, apa yang dia tidak suka dan dia juga akan mula mengalami pelbagai jenis emosi. 

Dia akan mula pandai marah jika anda mengambil mainan kesukaannya atau ketika anda memaksanya makan makanan yang dia tidak suka.

Dia juga akan belajar menggunakan tangisan untuk mendapatkan apa yang diingininya. Jadi amat penting untuk anda tenang mengendalikan emosinya ketika ini.

Perkembangan Percakapan dan Bahasa

Bayi anda sudah boleh memahami perkataan-perkataan ringkas bersama maksudnya. Contohnya dia sudah tahu maksud tidak boleh jika meminta sesuatu.

Dan apabila dia sudah tahu maksud sesuatu perkataan itu, dia juga akan mula mencuba menyebutnya, berulang kali.

milestone kanak-kanak 10 bulan

Tingkatkan pendedahannya kepada perkataan baru dengan membaca.

Si kecil anda juga sudah mula bercakap beberapa perkataan ringkas. Jadi sangat bagus jika anda konsisten membacakan buku padanya. Lebih banyak perkataan baru boleh dipelajarinya.

Perkembangan Sosial dan Emosi

Di usia 11 bulan, bayi akan mula lebih peka dengan sekelilingnya, dan dia akan memerhatikan apa yang orang di sekelilingnya buat.

Kadang-kala dia akan meniru gaya mereka. Dia juga akan mula bermain dengan kanak-kanak lain walaupun ada yang lebih gemar bermain sendiri.

Disiplin adalah amat penting ketika ini. Ia sebab bayi anda sudah boleh faham arahan ringkas. Sekarang masa terbaik untuk mula mengajar anak anda pelbagai skil seperti menyusun mainan.

Kesihatan dan Nutrisi

milestone kanak-kanak 10 bulan

Si manja anda akan menjadi lebih cerewet dengan makanannya

Si kecil anda sudah mula pandai minum sendiri atau dengan sedikit bantuan. Dan bila menyentuh tentang makanan, ketika inilah dia akan mula jadi cerewet!

Jadi penting untuk anda bersabar dan cuba pelbagai jenis makanan dengannya.

Pastikan anda memberinya makanan yang sihat. Jika dia tidak suka sayuran dan buah-buahan, berikannya pilihan sayuran dan buah-buahan yang lain. Elak beri gula-gula atau makanan yang diproses.

Jika anda masih menyusu badan, tahniah! Teruskan usaha anda. Menyusu badan sangat digalakkan dalam membantu nutrisi anak.

Tip Berguna Buat Ibu Bapa

  1. Bantu pertingkatkan lagi perkembangan anak dengan mendedahkan kepadanya pelbagai benda baru. Biar dia sentuh pelbagai tekstur, warna dan bentuk. Biar dia faham perbezaan setiap benda yang disentuhnya.
  2. Membaca juga digalakkan. Kaitkan perkataan yang anda sebut dengan perbuatan atau objek. Tunjuk padanya agar dia dapat membezakan perkataan yang disebut.
  3. Belajar untuk jadi tegas dan kata tidak pada permintaan anak. Ini supaya dia tahu dia perlu mendengar kata. Tapi bukanlah dengan menjerkah atau memarahinya. Cukup sekadar tidak terlalu menuruti permintaannya.
  4. Biar anak belajar berdikari. Sokong dengan menyediakan tempat dan suasana yang selamat untuk dirinya meneroka. Tetapi jangan pula lupa memerhatikannya.

Anda mungkin teruja untuk membelikannya sepasang kasut yang comel kerana dia sudah mula berjalan. Tetapi sebenarnya berkaki ayam adalah terbaik untuknya ketika ini. Kerana kasut dan sandal boleh menyebabkan bayi anda tidak dapat mengimbangi badannya.

 

Baca juga:

Panduan Lengkap: Tumbesaran Dan Milestone Anak Anda Yang Berusia 10 Bulan

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Aqma