Pada Usia Berapa Anak Anda Boleh Diberi Makanan Pedas?

Anda dan pasangan peminat tegar gulai masak lemak cili api dan nak anak anda menikmati rasa pedas itu juga? Sebelum anda mula menyuapkan kepada si kecil anda, pastikan anda tahu bila anak anda boleh mula makan pedas.

Penggemar Makanan Pedas

Kalau anda dan suami penggemar makanan pedas, pasti anda tertanya-tanya bila anak anda boleh mula makan pedas dan menikmati rasa mengancam itu bersama anda.

Tapi, sabar dahulu. Kita perlu berjaga-jaga kerana perut si kecil itu masih dalam proses menyesuaikan diri dengan makanan, selain susu badan ibunya atau susu formula.

Menurut seorang pakar nutrisi dari Hospital Kanak-Kanak Texas, Kristi Raja:

“Anak-anak juga ingin makan makanan yang sedap-sedap, sama seperti orang dewasa.”

Menurut Kristi lagi, tidak ada salahnya untuk menambah sedikit rempah pada makanan anak anda apabila dia sudah mula makan makanan pejal.

Bila Anak Boleh Makan Pedas?

Tapi, anda perlu tunggu sekurang-kurangnya anak anda mencecah umur 1 tahun untuk memberikannya sedikit cili atau rempah yang kuat rasa pedasnya.

Ini adalah kerana anak yang berumur setahun baru sahaja hendak membiasakan diri dengan makanan asas, dan sangat sensitif dengan rasa makanan yang berempah.

bila anak boleh makan pedas

Sumber: Hellosehat.com

Para ibu juga boleh meningkatkan toleransi anak pada makanan pedas jika si ibu sering mengambil makanan tersebut semasa menyusukan anak.

Walaupun susu badan ibu itu tidaklah pedas, tetapi akan ada sedikit jejak rasa pijar dan akan ada zat cili dalam susu badan tersebut.

Antara cara untuk memperkenalkan anak anda pada makanan pedas adalah dengan membiasakan dirinya dengan rempah yang kurang “panas” atau pedas terlebih dahulu.

Contohnya, anda boleh memasukkan sedikit serbuk cinnamon dalam sarapannya. Atau, anda juga boleh memasukkan sedikit bawang putih dan halia dalam supnya.

Beri Sedikit Demi Sedikit Untuk Kenalpasti Alahan Makanan

Jangan lupa untuk menganggap yang setiap herba atau rempah yang anda perkenalkan pada anak kecil itu sebagai satu makanan baru untuk mereka.

Jadi, anda perlu menunggu beberapa hari untuk memperkenalkan satu rempah ke satu rempah yang lain bagi melihat sama ada terdapat reaksi alahan pada ramuan tersebut.

Apabila memperkenalkan ramuan pedas yang mempunyai rasa yang terlalu kuat, pastikan anda memberikan hanya sejumlah kecil sahaja; sehingga takat yang anda rasa anak anda boleh terima!

Dengan cara itu, jika anak anda tiba-tiba sakit perut, anda sekurang-kurangnya telah dapat mengenalpasti punca sakit perut tersebut.

Ha… macam mana? Tak sabar nak bagi si manja anda cuba makanan pedas lepas ini?

Selamat mencuba ya ibu ayah!

Sumber: The Asian Parent Indonesia

Baca juga:

Usia Berapa Anak Boleh Minum Yakult (Minuman Probiotik)?