Ehem! Utamakan Si Manja Berbanding Telefon Anda!

Pusat penjagaan kanak-kanak ini meletakkan satu tanda keras buat ibubapa! “Jauhi telefon dan pandang si manja anda!” – tegas tanda tersebut.

Ibubapa yang sibuk bekerja sering kesuntukan masa. Sebab itu saki-baki kerja; seperti panggilan telefon – akan dibawa pulang ke rumah. Namun, anda tidak dialu-alukan untuk mengambil si manja di pusat penjagaan kanak-kanak ini, jika anda sibuk dengan panggilan telefon.

Pusat penjagaan ini menganggap perbuatan sibuk dengan telefon tidak elok kerana si manja ternanti-nanti akan pelukan dari anda.

Menurut laporan, notis yang ditampal telah menimbulkan kontroversi di kalangan ibubapa kerana kata-kata notis yang agak tegas. Terdapat ibubapa yang menganggap nota tersebut berbaur cemuhan dan ancaman.

Mungkin ada ibubapa yang menyambut (atau lupa untuk menyambut?) si manja mereka kerana sibuk dengan panggilan telefon. Tetapi, agak keterlaluan terus mengandaikan mereka tidak mengendahkan si manja.

Memang mudah untuk menghukum individu lain, terutamanya bila kita tidak mengenali mereka atau memahami mengapa mereka bertindak sedemikian. Tetapi, mungkin apa yang ditegaskan tanda tersebut ada betulnya? Kita terlalu sibuk melakukan sesuatu perkara dan tidak meluangkan masa dengan si manja, kerana menganggap si manja boleh tunggu?

mom-child

Fikir balik. Bayangkan jika sepanjang hari anda menunggu anak pulang dari kerja kerana ingin berbual dengannya. Namun, apabila anak anda pulang, dia sibuk berbual dalam telefon, dan terus berlalu masuk ke dalam biliknya.

Anda pasti kecewa, bukan? Sama juga seperti si manja yang menunggu di pusat penjagaan! Mereka teruja apabila melihat anda di pintu, tetapi malangnya anda sibuk berbual dengan “panggilan telefon yang penting” itu!

Tapi jangan risau! Anda masih berpeluang untuk memperbaiki kesilapan ini. Apa kata, anda LUANGKAN sedikit masa berkualiti dengan si manja? Bagaimana? Begini caranya:

  • Pilih “kerja rumah” yang disukai kamu berdua: Saya selalu menemani anak perempuan saya melakukan kerja sekolah setiap hari. Walaupun kerja itu tidak dinikmati oleh kami berdua, namun saya tetap gigih melakukannya. Adakah ini contoh masa berkualiti dengan si manja? Rasanya tak! Tapi, apabila saya ke dapur untuk menyediakan makanan ringan, si manja akan datang membantu saya. Dia akan memukul telur, mencuci tomato atau menjadi pengkritik makanan yang boleh dipercayai. Dia rasa dirinya penting apabila saya mempercayai dia melakukan kerja rumah ini.
  • Jalan – dan – berbual: Tak payah naik kereta jika anda boleh berjalan (jika tempat tidak terlalu jauh). Bawa si manja anda sekali dan berbual dengannya. Anda tak perlu berbual tentang dunia (melainkan kalau dia nak!) atau tentang sekolah saja dengan mereka. Berbual saja tentang anjing jiran anda yang comel atau apa sekalipun. Perjalanan selama 15 minit itu akan membantu si manja merasakan ibubapa mereka “mudah untuk dibawa berbual”. Perasaan itu penting, okay!
  • Biar mereka tahu anda ada!: Mungkin akan ada hari di mana anda sibuk dengan projek penting, atau terpaksa mengendalikan kes kecemasan dalam keluarga. Ambil masa untuk menulis nota buat si manja! Cukup saja sekeping nota dengan ucapan “terima kasih sebab basuh pinggan”. Atau anda boleh cuba “ibu/ayah kagum dengan awak, abang”. Mereka perlu diingatkan yang anda nampak dan menghargai segala perbuatan mereka walaupun anda tidak mengucapnya.

Kadang-kadang, si manja hanya inginkan perhatian, mahu anda mendengar celoteh atau bergurau mesra dengan mereka. Luangkan sedikit masa anda buat si manja. Anda pasti tidak akan menyesal apabila teringat akan memori ini kelak!

Jika anda ada pandangan atau soalan berkaitan artikel, sila kongsikan ia dalam ruangan Komen di bawah. Like halaman kami di Facebook dan ikut kami di Google+ dan Twitter untuk mengikuti perkembangan terkini daripada theAsianparent Malaysia.