4 sebab kenapa ada ibu bapa sengaja pilih TAK MAHU vaksin anak

lead image

Walaupun sudah banyak diberitahu tentang kepentingan dan kebaikan vaksin anak, masih ramai ibu bapa yang memilih untuk tak beri vaksin pada anak mereka.

Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana memiliki sistem kesihatan antara yang terbaik di dunia. Sudahlah hanya perlu bayar RM1 untuk menerima rawatan di hospital dan klinik kerajaan, servis dan kepakaran yang diberikan juga sangat berkualiti.

Tidak terkecuali juga pemberian vaksin bagi 12 penyakit secara percuma. Hanya perlu bawa anak ke klinik atau hospital untuk mendapatkan suntikan. Sangat mudah, kan!

Tapi, di sebalik semua kemudahan itu, masih ada segelintir kumpulan di dalam masyarakat (ibu bapa) yang memilih untuk tidak vaksin anak mereka.

Ada beberapa sebab dan faktor mengapa keputusan itu diambil oleh sesetengah ibu bapa. Mari kita lihat apakah yang menjadi kebimbangan dan pegangan golongan ini.

4 sebab kenapa ada ibu bapa tak mahu vaksin anak

1. Vaksin anak ada bahan-bahan kotor

src=https://hellodoktor.com/wp content/uploads/2018/07/shutterstock 655218946.jpg?x13626 4 sebab kenapa ada ibu bapa sengaja pilih TAK MAHU vaksin anak

Bercakap tentang kotor, kandungan suntikan ini hakikatnya adalah air dan bahagian daripada bakteria atau virus tertentu.

Ada juga beberapa bahan tambahan lain seperti merkuri dan aluminium yang bertujuan untuk memelihara dan membantu meningkatkan keberkesanannya.

Tapi, jangan bimbang. Bahan-bahan tambahan ini tidak berkumpul di dalam badan anak dan kadarnya adalah sangat sedikit.

Lebih baik anda bimbangkan kandungan gula dan garam dalam makanan yang anda berikan pada mereka setiap hari.

2. Vaksin anak tidak halal kerana ada bahan daripada khinzir

Soal hukum dalam agama tidak boleh diambil daripada sembang-sembang di kedai kopi atau di laman sosial. Ia harus berpandukan kepada ahlinya.

Bagi menjawab persoalan hukum, Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri telah menjawab menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Kata beliau, vaksin adalah satu keperluan di dalam masyarakat. Sesetengah vaksin yang mengandungi bahan daripada khinzir telah dirawat dengan bahan kimia, menjadikan ia halal untuk diambil.

3. Anak saya sihat, kenapa perlu saya vaksin anak?

src=https://assets my.theasianparent.com/wp content/uploads/sites/6/2017/08/kanak kanak tutup telinga.jpg 4 sebab kenapa ada ibu bapa sengaja pilih TAK MAHU vaksin anak

Konsep penting yang perlu difahami adalah vaksin tidak merawat, sebaliknya mencegah. Kalau selepas sakit baru tindakan diambil, namanya adalah rawatan.

Kenapa penting untuk mencegah? Sesetengah penyakit memerlukan rawatan kecemasan segera. Contohnya batuk kokol (pertussis) dan kancing gigi (tetanus). Ada juga penyakit yang susah didiagnosis sehingga berlaku komplikasi, seperti hepatitis B.

Oleh itu, mencegah adalah langkah terbaik untuk menangani penyakit ini. Kos juga dapat dijimatkan. Tidak perlu membeli ubat dan membayar kos jika perlu ditahan di dalam wad.

4. Vaksin anak adalah hak saya

Sebelum memikirkan tentang hak anda, cuba fikirkan juga hak anak serta orang di sekeliling. Mereka semua ada hak untuk bebas daripada penyakit.

Jika lebih 95% masyarakat mengambil vaksin, kebarangkalian untuk berlaku jangkitan adalah sangat rendah.

Namun, hanya 92.08% sahaja rakyat Malaysia mengambil vaksin pada tahun 2017. Ini sangat malang untuk mereka yang tidak boleh mengambilnya kerana masalah kesihatan tertentu seperti sistem imun lemah. Mereka akan selamat jika ramai yang mengambil vaksin.

Hak masyarakat adalah untuk dilindungi daripada penyakit berjangkit.

Mudah sahaja. Vaksin anak anda hari ini!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh theAsianparent Malaysia atas keizinan

src=http://images.says.com/uploads/story source/source image/620251/1d2f.png 4 sebab kenapa ada ibu bapa sengaja pilih TAK MAHU vaksin anak

Image via Hello Doktor / Facebook

Hello Doktor: Laman web rasmi | Facebook

Baca juga: 

12 Soalan Penting Tentang Suntikan Vaksin Yang Wajib Diketahui Ibu Bapa