Penyakit Anjing Gila - Berhati-Hati Dengan Wabak Rabies

lead image

Jangan pandang ringan penyakit anjing gila kerana penyakit ini boleh menyebabkan kematian 100 peratus pada manusia sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Baru-baru ini, dua negeri telah diwartakan sebagai kawasan jangkitan wabak rabies iaitu negeri Perak dan Sarawak.

Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan bahawa buat masa ini tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Negeri Melaka dan Perak, wabak yang merbahaya ini sudah pun meragut nyawa di negeri Sarawak.

Penyakit rabies atau lebih dikenali sebagai anjing gila ialah sejenis penyakit virus yang menyebabkan radang otak serta penyakit sistem saraf pada manusia atau haiwan yang dijangkiti.

Anjing mungkin haiwan yang paling biasa pembawa penyakit ini tetapi sebenarnya semua mamalia pun boleh dijangkit.

Virus ini boleh merebak dari air liur haiwan terjangkit dan melalui gigitan atau sebarang kejadian yang menembusi kulit seperti jilatan haiwan di tempat luka.

rabies

Anjing dengan penyakit rabies yang agresif – sumber: Youtube

Kedua-dua negeri telah mengambil langkah-langkah pencegahan seperti:

  • pemvaksinan anjing secara percuma
  • kerja-kerja memusnahkan anjing yang menunjukkan tanda klinikal penyakit
  • mengambil sampel daripada kepala anjing

Tanda-tanda dan gejala penyakit rabies

  • sakit kepala
  • demam
  • lesu
  • perubahan deria di sekitar tempat gigitan.
  • mudah terangsang
  • berhalusinasi dan berasa takut pada tiup­an angin (aerophobia)
  • berasa gerun atau bencikan air (hidrofobia) disebabkan kekejangan otot kerongkong yang sakit ketika menelan. celaru,
  • mengalami sawan sehingga boleh membawa maut

Apabila dijangkit, tempoh pengeraman virus ini diantara 3 – 8 minggu dan pesakit hanya akan menunjukkan tanda-tanda 20-60 hari selepas gigitan haiwan.

rabies

Bahayanya penyakit rabies dan kanak-kanak

Disebabkan saiz badan kanak-kanak yang lebih kecil, mereka lebih cenderung untuk menjadi mangsa gigitan kerana tidak dapat mengelak dari gigitan.

Bahagian-bahagian yang senang cedera pada kanak-kanak adalah bahagian muka, kepala dan badan mereka.

Kanak-kanak juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat gigitan anjing liar kerana mereka selalu didapati berbasikal di tepi jalan dan bermain di taman atau kawasan yang terbuka. 

Disamping itu, kanak-kanak biasanya tidak akan laporkan dengan segera jika mereka telah digigit atau telah sentuh haiwan jangkitan.

Malah dianggarkan 40-60% mangsa gigitan haiwan adalah kanak-kanak dibawah umur 15 tahun.

Apakah tindakan yang perlu dilakukan jika anda digigit?

  1. Segera cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air untuk menghilangkan kesan air liur
  2. Segera dapatkan rawatan luka di klinik kesihatan atau hospital yang berhampiran
  3. Patuhi arahan doktor dan ikut jadual suntikan vaksin anti-rabies sekiranya ia diperlukan

Apakah tindakan yang perlu dilakukan apabila tinggal di kawasan jangkitan?

  1. Jauhkan diri dari anjing liar
  2. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas bersentuhan dengan haiwan peliharaan
  3. Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya mengesan kewujudan anjing liar di kawasan kediaman
  4. Bawa haiwan peliharan anda untuk vaksin percuma.

Di Sarawak, sejumlah 251 orang telah diberi vaksin dan mereka yang digigit oleh anjing disekitar kawasan jangkitan digesa segera hadir untuk pemeriksaan dan vaksin.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah memberi vaksin kepada 7,655 haiwan yang terdiri daripada 2,205 anjing, 5,424 kucing dan 26 haiwan lain.

Jangan pandang ringan jika anda telah digigit, penyakit ini boleh menyebabkan kematian 100 peratus pada manusia sekiranya tidak dirawat dengan segera!

Baca juga:

Jangan Keliru Antara Selesema Biasa Dengan Penyakit Meningitis Meningokokus

Sumber: FMT, KPKesihatanPUSAT KESIHATAN UNIVERSITI, The Star

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

app info
get app banner