5 Mitos Yang Anda Tidak Tahu Tentang Susu Untuk Anak Anda
Terdapat pelbagai jenis susu di pasaran yang boleh mengelirukan ibu bapa. Apakah susu yang paling sesuai untuk bayi anda? Apakah yang perlu dielak? Mari kita ketahui lebih lanjut.
Beri susu pada si manja anda
Susu sangat penting untuk bayi kerana badan mereka akan membesar sebanyak 50% apabila genap usia 1 tahun dan tambah 75% lagi apabila sampai usia 2 tahun.
Mereka akan membesar dari segi fizikal dan otak mereka akan terus berkembang dengan pesat.
Kajian menunjukkan otak seorang bayi akan membesar sebanyak 3 kali ganda dalam 2 tahun pertama kehidupan, dan ini hampir 85% saiz otak orang dewasa!
Maka, nutrisi yang secukupnya sangat penting semasa fasa ini.
Selepas umur 1 tahun, anak sepatutnya mendapat nutrisi yang diperlukan dari makanan pejal.
Tapi, susu masih sumber yang baik untuk mineral seperti kalsium dan vitamin, terutamanya vitamin B12.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan semua ibu untuk menyusukan anak mereka sehingga anak berusia 2 tahun ataupun lebih lama.
Selain memberi nutrien yang penting untuk tumbesaran, susu ibu juga boleh meningkatkan imuniti anak anda.
Namun, selepas anak berusia 1 tahun, ibu bapa ada pilihan susu alternatif.
Ketahui 5 mitos mengenai susu yang ibu bapa perlu tahu sebelum memutuskan susu terbaik untuk anak mereka.
Mitos 1# Susu formula lebih baik dari susu penuh krim
Realiti: Bagi kanak-kanak yang berusia lebih dari 1 tahun dengan pemakanan yang seimbang, susu formula tidak akan beri manfaat tambahan berbanding susu penuh krim.
Susu formula untuk kanak-kanak lebih dari 1 tahun(Peringkat 3 ke atas) dipanggil susu membesar.
Pengeluar formula ini memasarkannya sebagai susu yang ‘direka khas untuk memenuhi keperluan nilai pemakanan si manja anda’, dan mewujudkan tanggapan ia lebih istimewa berbanding susu lain.
Satu gelas susu lembu sudah memenuhi keperluan kalsium harian seorang kanak-kanak yang berumur 3 tahun (350 mg /d).
Tapi apabila anak diberi susu formula dalam kuantiti yang sama, mereka mendapati kandungan kalsium yang dibekalkan tidak mencukupi.
Anak sepatutnya mendapat nutrisinya dari makanan, tapi apabila dia sudah kenyang minum susu formula, dia tidak akan ada selera untuk makanan lain, dan boleh kekurangan zat-zat penting kemudian.
Pada tahun 2013 lalu, Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA) mengatakan susu formula bukan satu keperluan untuk kanak-kanak dengan pemakanan yang seimbang.
Kesimpulannya, susu penuh krim sudah cukup dan boleh memenuhi keperluan nutrisi anak apabila diambil bersama dengan pemakanan yang seimbang.
Mitos #2 Susu segar lebih baik dari susu UHT
Realiti: Khasiat kedua-duanya hampir sama.
Susu penuh krim boleh diberi pada anak selepas mereka berusia 1 tahun.
Ia boleh didapati dalam 3 bentuk dan dengan jangka hayat yang berlainan:
UHT
- dipanaskan pada suhu yang sangat tinggi selama beberapa saat untuk membunuh semua patogen dan spora bakteria.
- tempoh tahan: 6 – 9 bulan apabila tidak dibuka.
- mesti disimpan dalam peti sejuk selepas dibuka.
Dipasteur
- dipanaskan pada suhu yang lebih rendah untuk masa yang lebih lama.
- tempoh tahan yang lebih pendek: kira-kira 2 minggu apabila tidak dibuka.
- mesti disimpan dalam peti sejuk selepas dibuka.
Tepung
- dalam bentuk tepung yang kering selepas air telah disejat keluar darinya.
Ketiga-tiga jenis tidak mempunyai perbezaan dari segi nutrien.
Mitos #3 Susu formula Hypoallergenic atau formula khusus lebih baik untuk bayi saya
Realiti: Formula khusus tidak akan beri nutrisi atau manfaat tambahan kepada anak yang sedang berkembang dengan baik.
Ia hanya disarankan oleh doktor untuk kanak-kanak dengan masalah perubatan.
Bayi yang ada alahan tertentu atau masalah perubatan mungkin akan memerlukan formula khusus.
Tapi sebelum memutuskan untuk beri formula khusus kepada anak, bincanglah dulu dengan pakar kanak-kanak anda.
Memang banyak jenama formula khusus di pasaran sekarang tetapi secara am ia boleh digolongkan ke dalam dalam 5 kategori di bawah:
1. Formula berasaskan soya – Berasal daripada tumbuhan, amat berguna untuk kanak-kanak yang mempunyai alahan.
2. Formula bebas laktosa – Khas untuk perut bayi yang tidak dapat menerima laktosa.
3. Extensively Hydrolysed Formula (EHF) or Partially hydrolysed formula – Formula ini mengandungi protein yang telah diproses supaya mudah dicerna. Ia juga baik untuk bayi dengan penyakit keradangan usus yang teruk.
Partially hydrolysed formula pula digunakan untuk bayi yang mempunyai kolik, tetapi tidak disyorkan untuk bayi yang ada alahan.
4. Formula Hypoallergenic – untuk bayi dengan alahan susu atau yang sejarah alahan lain. Walaupun formula berasaskan soya tidak 100% hypoallergenic, sesetengah bayi masih boleh menerimanya.
5. Anti-regurgitation formula – untuk bayi yang mempunyai masalah GERD dan senang muntah. Formula ini lebih tebal daripada biasa dan akan tahan lebih lama di dalam perut.
Mitos #4 Anak saya alah terhadap formula dan susu lembu
Realiti: Kebanyakkan bayi akan ambil masa untuk menyesuaikan diri.
Alahan adalah perkara yang biasa, tapi kebanyakkan bayi juga memerlukan masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri.
Jika ada darah atau mukus dalam najis bayi anda, ini adalah tanda alahan.
Tanda-tanda lain termasuklah ruam kulit, mulut atau muka yang kembang, sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit.
Bawa anak jumpa doktor dengan segera jika anda kurang pasti.
Jika bayi anda benar-benar alah dia perlu bertukar kepada formula berasaskan soya. Ingat, jangan buat diagnosis sebarangan dan tukar susu anak sesuka hati.
Mitos#5 Baik saya terus beri susu formula
Realiti: Susu penuh krim adalah lebih baik dari semua jenis susu formula di pasaran untuk anak yang berusia lebih daripada 1 tahun.
Formula yang lebih mahal tidak bermaksud ia lebih baik untuk anak.
Elak beri anak anda benda ini:
1. Susu sejat
Ia penuh dengan lemak gantian dan selalunya lemak dari sayur-sayuran.
Walaupun ia juga ada nutrien, elak dari beri kepada anak kerana ia mempunyai kandungan gula yang tinggi.
2. Susu berasaskan tumbuhan untuk orang dewasa
Susu soya, badam, nasi, dan santan semuanya bebas dari laktosa, dan sesuai untuk orang dewasa yang tidak dapat menerima laktosa.
Ia sering diperkaya dengan kalsium dan vitamin kerana merupakan alternatif untuk orang-orang vegan.
Tetapi kita belum pasti ia selamat dan mempunyai cukup nutrien untuk kanak-kanak. Jadi elakkan sehingga mereka lebih tua.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: