6 Sebab Saintifik Kenapa Anda Perlu Bawa Anak Anda Pergi Bercuti
Kalau anda hendak tahu, pergi bercuti bersama anak-anak bukan sahaja menyeronokkan, ianya juga dapat membantu perkembangan minda dan emosinya. Jom ketahui lebih lanjut tentang 6 sebab saintifik kenapa anda perlu bawa anak anda pergi bercuti!
Memang seronok rasanya jika kita dapat membawa keluarga kita pergi bercuti beberapa hari tidak kira ke pantai, hutan, mahupun ke bandar besar.
Bercuti ini bukan sahaja membantu kita berehat daripada kesibukan rutin seharian, tetapi dapat membawa beberapa manfaat penting kepada perkembangan dan kesejahteraan anak anda.
Di sini, kami ada kongsikan beberapa sebab saintifik kenapa anda perlu bawa anak anda pergi bercuti!
6 Sebab Saintifik Kenapa Anda Perlu Bawa Anak Pergi Bercuti
1# Anak Anda Dapat Mencipta Memori Bahagia Zaman Kanak-Kanak
Sebagai seorang ibu atau bapa, anda sendiri pasti ada memori indah pergi bercuti bersama ibu, ayah dan adik beradik lain sewaktu kecil dahulu. Maka, memang sewajarnya anda membuat perkara yang sama dengan ahli keluarga anda sekarang.
Menurut kajian yang dibuat oleh Family Holiday Association di United Kingdom, hampir separuh daripada warga Britain, iaitu 49% daripada mereka yang mengambil kajian tersebut, menyatakan bahawa memori yang paling terindah dalam hidup mereka adalah memori pergi bercuti dengan ahli keluarga.
Jika bukan sekarang anda membawa anak-anak pergi bercuti dan berseronok, bila lagi? Mereka makin cepat membesar dan tidak lama lagi, bakal meninggalkan rumah anda sama ada ke asrama, bekerja atau berkahwin!
2# Bercuti Dapat Mengasah Kemahiran Berfikir Anak-Anak
Tidak ramai antara kita yang sedar akan kebaikan bercuti kepada perkembangan minda anak-anak kita. Sebenarnya, aktiviti ketika bercuti dapat mengaktifkan beberapa bahagian penting di dalam otak anak anda!
Seperti contoh, aktiviti membina istana pasir di pantai, berenang di kolam mandi, dan berlari-lari di hutan dapat meransang pemikiran ‘BERMAIN’ (play system).
Menurut Professor Jaak Panksepp dari Universiti Washington State, sistem bermain ini penting untuk kanak-kanak kerana ia memperkasakan kebolehan untuk berfikir dan bermain dengan idea.
3# Bercuti Dapat Melahirkan Anak-Anak BerIQ Tinggi
Apabila anak-anak keluar daripada ruang terhad rumah mereka, si kecil ini akan terdedah dengan pelbagai jenis persekitaran. Bercuti ke bandar besar seperti Kuala Lumpur atau pun berehat di tempat percutian di hutan dan air sungai seperti di Janda Baik dapat memberi pengalaman istimewa kepada anak-anak ini.
Menurut laporan dari Gunnel pada 2015, kepelbagaian persekitaran ini akan memberi sumber interaksi dari segi fizikal, sosial, sentuhan, dan pemikiran kepada kanak-kanak.
Ia merangsang fungsi di bahagian hadapan otak (frontal lobe) dan mengasah konsentrasi, perhatian, dan kemahiran untuk belajar. Secara tidak langsung, ia akan menghasilkan kanak-kanak yang lebih bijak, berbanding mereka yang hanya terperuk di rumah sahaja.
4# Meningkatkan Kesihatan Fizikal Anak-Anak
Anda perasan tak jika ada seseorang yang sakit dan kemudiannya di bawa keluar berjalan-jalan (walaupun tidak jauh dari rumah sendiri), kesihatan dan moodnya akan bertambah baik. Kesan sebegini juga turut akan dirasai oleh anak-anak yang dibawa bercuti bersama ibu bapa.
Terdapat kajian saintifik yang dilakukan oleh Universiti Michigan di Amerika Syarikat yang menunjukkan bahawa berjalan bersama orang yang disayangi di persekitaran yang indah, seperti hutan, dapat menenangkan minda, menghentikan tekanan jiwa atau depresi, menurunkan tekanan darah tinggi, dan mengurangkan kadar kolesterol di dalam badan!
Dengan kajian yang telah dibuat ini, jangan ragu-ragu lagi untuk merancang percutian bersama anak-anak untuk cuti sekolah yang bakal mendatang ini. Bawa sekali ibu-bapa anda (atuk dan nenek) kerana ia pasti dapat juga memberikan manfaat kesihatan kepada mereka!
5# Mengurangkan Hiperaktif di Kalangan Kanak-Kanak
Jika anda mempunyai anak kecil yang hiperaktif atau didiagnos dengan penyakit ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder), pergi bercuti merupakan satu kaedah rawatan yang paling mudah untuk anda lakukan.
Ia bukan sahaja mengeratkan perhubungan di antara ibu dan bapa, tetapi dapat membantu meningkatkan kadar perhatian dan fokus anak kecil anda. Sukar untuk percaya bukan?
Ada satu kajian yang dibuat oleh Frances E. Kuo (PhD) dan disiarkan di dalam jurnal perubatan bahawa alam semulajadi yang serba hijau dapat mengurangkan kadar hiperaktif di kalangan kanak-kanak.
Jadi, banyakkanlah merancang percutian ke Cameron Highlans, Janda Baik, Dusun di Negeri Sembilan atau di mana-mana sahaja kawasan yang serba hijau.
Jangan lupa untuk bawa anak anda sekali. Ini adalah kerana persekitaran yang hijau dapat membantu menenangkan anak anda, menambahkan kadar perhatiannya, dan meningkatkan pengawalan impuls si kecil tersebut! Menarik, bukan?
6# Melahirkan Anak yang Positif dan Gembira
Lagi satu sebab saintifik kenapa anda perlu bawa anak anda pergi bercuti adalah kerana percutian bersama keluarga yang menyeronokkan akan mencetuskan pengeluaran bahan neurokimia yang bermanfaat daripada otak anak anda.
Oksitoksin, dopamin, dan opioid merupakan beberapa neurokimia yang akan dicetuskan ketika percutian dan ia dapat memberikan rasa gembira kepada anak anda.
Ia juga dapat mengurangkan rasa tekanan daripada minda mereka dan melahirkan perasaan tenang kepada jiwa mereka. Menurut Profesor Jaak, semakin banyak neurokimia ini dicetuskan, semakin ia menjadi sebahagian daripada personaliti dan karakter anak tersebut.
Percutian yang selalu berlaku saban tahun pasti akan lama-kelamaan menghasilkan seorang anak, yang bukan sahaja pintar dan sihat badannya, malah sentiasa berfikiran positif dan gembira. Menurut seorang neurosaintis, Bruce Perry, keadaan emosi seseorang akan menjadi personalitinya juga!
Pergi Bercuti Memang Membawa Manfaat kepada Anak Kecil
Seperti yang anda dapat lihat melalui penerangan saintifik di atas, percutian keluarga sememangnya memberikan banyak manfaat kepada anak-anak anda.
Mungkin sudah tiba masanya untuk anda melaburkan sedikit wang dan bawa yang tersayang bercuti melihat tempat baru dan indah. Ia memberikan banyak kesan positif kepada anak anda.
Tidak perlu lagi gajet atau teknologi mahal untuk menarik perhatian dan meningkatkan kepintarannya – bawalah si manja pergi mengembara dan biarkan alam semulajadi menjalankan tugasnya!
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Senarai Tempat Bercuti Di Malaysia Yang Menarik & Menyeronokkan Untuk Seisi Keluarga
Baca juga: 5 Lokasi Romantik Di Malaysia Siap Ada Pool Peribadi! Suami, Jom Buat Surprise Untuk Isteri!
Baca juga: 9 tempat percutian menarik di Asia dengan suhu sejuk bawah 17°C!