Luang 3 Minit Bonding Time Dengan Anak Sudah Cukup Berharga Bagi Mereka
Hanya 3 minit masa diperlukan untuk anda merapatkan hubungan dengan anak-anak dan sesibuk mana pun kita jangan sesekali mengabaikan mereka...
Aktiviti bersama keluarga sebenarnya mewujudkan ikatan yang sangat penting sekaligus mencipta momen indah bersama anak-anak tersayang.
Ia sama pentingnya dengan aktiviti bermain dan waktu makan kerana psikologi mengatakan ikatan anak-anak dan ibu bapa boleh berlaku dalam masa tiga minit saja! Pernah tak anda dengar tentang aktiviti 3 minit ini?
Aktiviti bersama keluarga – Peraturan “3 minit” menurut ahli psikologi
Sebagai ibu bapa, kita sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan termasuklah menjaga anak dan keluarga.
Sekiranya kedua-dua suami isteri bekerja, masa yang harus diluangkan bersama keluarga semestinya dua kali ganda.
Menurut Pakar Psikologi Nataliya Sirotich, Ketua Pusat Kerja Bahagian Kanak-Kanak dan Remaja, aktiviti bersama keluarga selama tiga minit adalah sangat berharga terutamanya bagi ibu bapa yang tidak dapat meluangkan masa yang banyak dengan anak-anak.
Peraturan 3 minit ini boleh dilakukan apabila anda pulang ke rumah. Beri tumpuan penuh pada anak sekurang-kurangnya selama tiga minit. Ia perlu dilakukan tanpa gagal setiap hari.
Ini adalah cara mudah dan berkesan bagi bantu memperbaiki hubungan keluarga.
Dengan mengikut peraturan 3 minit ini, Sirotich mengatakan seorang anak akan belajar tentang kasih sayang dengan ibu bapanya. Kepercayaan ini akan berjalan seiring waktu hingga mereka dewasa.
Aktiviti bersama keluarga: Bagaimana nak amalkan 3 minit ini dengan betul?
#1. Letakkan diri anda pada aras mata yang sama
Ketika menghabiskan masa tiga minit dengan anak, pastikan anda berada pada aras pandangan mata yang sama dengannya. Tak kiralah sama ada duduk di sofa atau bersila atas lantai.
#2. Melakukan pemerhatian 3 minit ketika mengambil anak dari sekolah
Ketika ambil anak dari tadika atau sekolah, guna tiga minit ini dengan sebaiknya seperti memeluk, mencium pipi dan minta dia berkongsi cerita menarik semasa di sekolah serta apa yang mereka lakukan bersama guru.
Jangan berleter atau berceramah kecil kerana anak-anak tidak menggemarinya dan mereka menganggap anda tidak memberi tumpuan kepadanya.
Sebab itu interaksi secara dua hala sangat penting kepada anak-anak. Secara tak langsung, anak dapat berkongsi rasa gembira dengan ibu atau ayahnya. Bagi mereka anda adalah kawan yang paling hebat!
Tip: Mendengar dengan teliti apa yang diberitahu oleh anak dan bertanya soalan khusus mengenainya. Jangan sekali-kali berpura-pura dengar atau mengangkat bahu.
#3. Apa yang anda tidak boleh buat?
Anda tidak boleh mengabaikan sepenuhnya tiga minit tersebut pada anak. Apabila anda culas, ini akan membuatkan perhatian anak semakin longgar dan mereka banyak mendiamkan diri.
Boleh jadi dia menganggap anda tidak berminat tentang diri dan aktiviti yang dilakukan. Malah mereka juga semakin menjauhkan diri.
#4. Tiga minit untuk fokus
Peraturan tiga minit ini hanyalah usaha tambahan supaya anda dapat meluangkan aktiviti bersama keluarga terutamanya anak-anak.
Ini supaya dia dapat berkongsi apa yang penting tatkala melihat ibu atau ayahnya.
Aktiviti bersama keluarga – Cara luangkan masa dengan anak
Menurut ahli psikologi, ada perkara lain yang boleh anda lakukan bagi mewujudkan ikatan yang baik dengan anak-anak adalah seperti berikut:
- Biar mereka tahu anda berminat untuk menghabiskan masa dengan mereka dan mengambil bahagian dalam aktiviti bersama.
- Bermain permainan video
- Memasak
- Membuat projek DIY.
- Aktif mendengar ketika anak sedang bercakap.
- Biarkan anak-anak tahu yang anda boleh menjadi rakan pendengar yang setia.
- Berikan keyakinan kepada anak-anak yang mereka boleh bergantung kepada anda pada bila-bila masa yang diperlukan.
- Bersikap terbuka tanpa kepura-puraan di hadapan anak-anak.
Ingatlah, kanak-kanak jauh lebih bijak daripada apa yang anda fikirkan. Sebab itu anda harus peka dan beri tumpuan terhadap apa yang mereka katakan.
Akibat pengabaian terhadap anak
Jika anda tidak mengamalkan peraturan tiga minit ini, bukanlah bermakna anda mengabaikan anak-anak. Tapi ia boleh menyebabkan beberapa perkara:
- Mereka hanya melakukan hal masing-masing dan tidak pandai berkongsi cerita dengan ibu bapanya.
- Dalam masa-masa tertentu anda tidak bersama mereka saat diperlukan ini akan membuatkan anak kurang bercakap dengan anda.
- Mereka mungkin enggan atau rasa tak perlu berkongsi maklumat penting dengan ibu bapanya.
Jika anda tidak melakukan sebarang perubahan dan kurang memberi perhatian kepada anak-anak ia boleh merugikan anda di masa hadapan.
Kuncinya sentiasa konsisten menunjukkan yang anda tetap sayangkan mereka walau apa yang terjadi.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Kredit gambar : Rijal 09
Sumber: Penulis asal Jia Ling. Artikel ini mendapat keizinan daripada theAsianparent Singapore untuk diterjemahkan.
Baca juga:
Eratkan Ikatan Ibu Bapa Dan Anak Dengan Cadangan Masa Bonding Ini (Bergambar)