Anak Hiperaktif Tanda ADHD, Ibu Ayah Guna Teknik Ini Untuk Kawal Tingkah Laku Mereka
Memiliki anak hiperaktif mungkin memberikan tekanan kepada ibu ayah untuk berdepan dengannya. Tahukah anda ada cara berkesan bagi mengendalikan masalah ini?
Tidak dinafikan proses mendidik dan membesarkan anak hiperaktif memerlukan kesabaran dan waktu yang lebih banyak. Dalam menggalakkan perkembangan si manja, ibu ayah perlu mempraktikkan cara terbaik agar tingkah laku mereka dapat dikawal.
Adalah sesuatu perkara yang normal anak aktif, tidak duduk diam dan berlari kesana-sini seperti memiliki tenaga takkan pernah habis. Namun, ibu ayah perlu waspada jika anda berdepan kesukaran mengawal diri anak sehingga tidak menghiraukan langsung dengan teguran atau nasihat.
Ia cenderung menjadi penyebab Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Tips berdepan masalah anak hiperaktif dengan cara yang betul
Gangguan ADHD ini adalah keadaan bahaya sehingga boleh menjejaskan berjuta-juta kanak-kanak di dunia yang berlanjutan sehingga mereka mencecah usia dewasa.
Kebiasaannya anak dengan ADHD akan berhadapan dengan kurang kemampuan untuk memberikan sepenuh perhatian (inatensi), tidak boleh duduk diam (hiperaktif) dan impulsif.
Bukan itu sahaja, mereka turut mudah menjadi pelupa, tidak berhenti bergerak, tidak sabar menunggu giliran, tiada rasa takut akan bahaya dan sering menyela percakapan orang lain.
Walau bagaimanapun sebagai ibu ayah yang memiliki anak ADHD, anda tidak sepatutnya rasa tertekan dan sedih menjadi mereka. Justeru kami kongsikan beberapa kaedah dan cara untuk mengawal anak-anak dengan masalah ini. Antaranya ialah:
#1. Menetapkan rutin waktu tidur
ADHD dapat menjejaskan waktu tidur yang berkualiti dan ia mampu menganggu proses perkembangan si manja.
Kebanyakan anak dengan masalah ini akan terjaga dan bangun berulang kali pada tengah malam sehingga pola tidurnya berubah. Justeru, ibu ayah perlu mencipta kebiasaan untuk anak melelapkan mata pada waktu yang tepat.
Pastikan anak tidur dan bangun pada waktu sama setiap hari. Elakkan kegiatan menonton TV atau bermain komputer kerana ia akan menganggu waktu rehatnya.
#2. Mengajak anak melakukan aktiviti fizikal
Anak-anak yang memiliki masalah ADHD dipengaruhi oleh tenaga berlebihan dalam tubuh mereka. Hal ini menyebabkan si manja sukar untuk fokus terhadap sesuatu perkara.
Bagi menyalurkan tenaga ini, ibu ayah perlu menggalakkan beberapa aktiviti olahraga yang bersesuaian dengan umur mereka. Sebagai contoh bermain bola atau berlari dapat menstabilkan mood. Bukan itu sahaja, elak menyediakan makanan manis yang boleh mendorong penghasilan tenaga berlebihan.
#3. Membina hubungan keluarga sihat
Hubungan antara ahli keluarga memainkan peranan cukup besar untuk mengubah tingkah laku anak mengalami masalah ADHD. Ibu ayah perlu memiliki hubungan suami isteri yang kuat bagi memberikan aura positif di dalam rumah.
Selalu menjalinkan komunikasi yang sihat dengan anak, meluangkan masa bersama bagi membolehkan si manja merasai nilai kasih sayang serta menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka.
#4. Mewujudkan peraturan di dalam rumah
Buatlah peraturan dan had batasan yang jelas di dalam rumah. Sekiranya perlu, ibu ayah perlu menulis dan menampalkannya pada bahagian rumah tertentu. Hal ini adalah supaya semua ahli keluarga mematuhi dan ingat akan perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan ketika mereka seronok bermain.
#5. Memanfaatkan waktu lapang
Hujung minggu atau selepas pulang kerja, penuhi waktu ini untuk melakukan aktiviti berfaedah dengaan anak-anak seperti bermain bersama, keluar berjalan-jalan di taman atau membaca buku cerita kegemaran.
Elakkan sibuk bermain telefon pintar dengan rakan-rakan di Facebook mahupun Whatsapp kerana ia hanya memburukkan lagi keadaan.
Aktiviti pada masa lapang berupaya mengembangkan hubungan anda bersama anak yang mengalami masalah ADHD. Kesannya, mereka cenderung untuk bersikap lebih positif dan tidak keterlaluan untuk meraih perhatian daripada ibu ayah.
Anak-anak yang sedang membesar amat sukar untuk meramal tingkah lakunya. Kadang kala mereka tidak boleh dikawal dan melakukan tindakan membahayakan.
Dalam hal ini, ibu ayah perlu sabar dan memberikan teguran dengan baik. Jangan biarkan ia berlarutan sehingga bertindak memukul atau memalukan mereka setelah melakukan kesalahan. Sentiasa mengucapkan kata-kata yang baik kerana ia mampu melembutkan hati anak-anak.
Sumber: Alodokter
Kredit foto: Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: