Doktor Pediatrik Ini Kongsikan Cara Merangsang Anak Kecil Mula Bercakap, Jom Cuba Parents!
Anak kecil perlu dirangsang percakapannya. Bukan tiba-tiba saja dia pandai bercakap. Malah aktiviti yang dilakukan mereka juga mempengaruhi percakapannya.
Kebolehan untuk bercakap mungkin akan agak berbeza bagi setiap anak kecil. Ada yang boleh bercakap dahulu dan ada yang mungkin lambat sedikit sehingga umur mencecah dua tahun baru boleh bercakap.
Oleh itu, amat penting untuk ibu bapa tahu cara bagaimana untuk merangsang percakapan anak sejak awal lagi.
Percakapan anak kecil perlu dirangsang. Mereka ini bukan tiba-tiba saja tahu bercakap, kita sebagai ibu bapa yang perlu merangsang percakapan anak-anak ini. Jika mahu anak anda melalui perkembangan yang sesuai dengan usianya, pastikan ada usaha juga dari pihak ibu bapa.
Anak kecil perlu dirangsang untuk bercakap
Menurut Dr Redza Zainol, kajian menunjukkan lagi banyak perkataan yang digunakan oleh ibu dan bapa ketika bercakap pada bayi berusia lapan bulan lagi besar jumlah perkataan yang tersimpan dalam memori anak.
Doktor ini turut berkongsi tips bagaimana untuk bercakap dengan anak kecil antaranya termasuklah:
#1. Mulakan dengan perkataan pendek dan mudah
Untuk menggalakkan anak bercakap, terutama pada awal usia, gunakan perkataan yang mudah. Contoh untuk perkenalkan barang, gunakan terus ‘bola’. Tidak perlu ‘itu adalah bola’.
Apabila anak meningkat sedikit usianya, barulah tambah perkataan. Ini bagi memudahkan anak meniru dan menyebut semula perkataan yang didengar.
Contoh ketika melakukan sesuatu ketika mandi, pun boleh tambah kosa kata anak. Contohnya ketika mandi, boleh cakap, ‘jom mandi’, ‘basuh kaki’, ‘berus gigi’.
#2. Beri masa untuk anak sebut
Beri masa untuk anak sebut. Jangan terlalu terburu-buru mahu anak anda sebut apa yang anda ajar padanya. Otak mereka perlu proses dan selepas itu barulah boleh menyebut.
Beri masa kepada anak-anak ini untuk mereka sebut. Jangan dimarah atau dipaksa jika mereka tidak mahu sebut perkataan tertentu.
Ada ibu bapa yang mengadu selalu berborak dengan anak tetapi anak tetap tidak mahu bercakap, kerap berborak penting tetapi perlu berborak dengan pace perlahan ya. Jangan cakap terlalu laju kerana boleh menyebabkan anak 1 hingga 2 tahun tak dapat tangkap.
#3. Kekalkan pandangan mata dan sentiasa senyum
Sentiasalah wujudkan suasana yang gembira ketika bercakap dengan anak. Pastikan ada eye contact dengan anak dan sentiasalah senyum kepada mereka.
Puji mereka jika berjaya sebut dengan betul untuk menggalakkan anak bercakap dengan lebih banyak perkataan.
#4. Gunakan mimik muka
Mimik muka sangat penting. Seperti besarkan mata, naikkan kening untuk tambahkan elemen emosi terutama jika anda sedang bacakan buku cerita kepada anak.
Selain dari menarik minat mereka untuk terus mendengar, secara tidak langsung kita ajarkan mimik muka sesuai mengikut situasi.
#5. Gunakan suara yang high pitch dan berirama
Jadi ibu bapa ini, kita kena over sedikit. Banyakkan bahasa badan semasa bercakap atau menceritakan sesuatu dengan anak secara tak langsung ia akan memupuk minat dan fokus anak terhadap bunyi yang didengari.
High pitch bukanlah bermaksud anda menjerit. Pernah tengok cikgu tadika bercakap? Mereka akan gunakan suara high pitch dan berirama jika mengajar sesuatu.
Itu bagi menarik perhatian anak kecil untuk memberi tumpuan kepada apa yang mereka dengar.
#6. Guna sebutan yang jelas
Gunakan sebutan yang jelas. Jangan ikut pelat anak jika dia pelat. Betulkan semula perkataannya jika dia pelat. Disamping suara yang jelas sebutan yang jelas juga penting untuk anak dapat tangkap apa yang anda tuturkan.
#7. Guna perkataan yang betul
Gunakan perkataan yang betul. Misalnya untuk kucing bukan ‘meow’. Meow adalah bunyi kucing.
#8. Baca buku kepada anak
Bacaan buku kepada anak seperti sebelum tidur akan membantu menambah kosa kata mereka apabila meningkat umur. Otak anak kecil ibarat span yang boleh menyerap dengan cepat setiap perkataan yang diajar pada mereka.
Jadi jika bacakan bukur cerita pada mereka, perkataan yang dibaca akan mudah diserap oleh otak anak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Siraplimau, Dr Redza Zainol
Baca juga: Macam Mana Nak Tahu Anak Lambat Bercakap Atau Ada Masalah Speech Delay?