Ibu Masih Dalam Pantang, Bayi 12 Hari Mangsa Paling Muda Dijangkiti Wabak COVID-19

Tiada siapa yang pinta ia berlaku. Pilu hati seorang ibu yang baru melahirkan seorang bayi apabila anak berdepan nasib malang disahkan positif Covid-19.

Keseriusan mengenai penularan wabak ini menyebabkan Malaysia mengambil tindakan dengan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini. Tahap penularannya dilihat begitu serius apabila beberapa orang anak malang dengan usia setahun jagung telah disahkan dijangkiti virus misteri.

Bagi menghentikan rantaian penyebaran Covid-19, seluruh rakyat perlu bersatu padu dan mendengar arahan dari pihak berkuasa untuk kekal berada di dalam rumah.

Sekiranya perlu keluar, hanya seorang ketua keluarga sahaja dibenarkan.

Nasib anak malang

anak malang dijangkiti covid-19

foto: iStock

Daripada sejumlah 2,032 positif Covid-19, pesakit termuda adalah melibatkan seorang bayi berusia 12 hari yang dilahirkan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada minggu lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bayi tersebut merupakan mangsa gelombang kedua Covid-19 dan menjadi mangsa termuda selepas kanak-kanak 2 tahun di Kelantan dalam gelombang pertama.

“Butirannya kami akan maklumkan kemudian nanti,” katanya.

“Bagi gelombang pertama, usia paling muda adalah dua tahun. Pada mulanya dia sepatutnya menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia, namun rawatan terpaksa ditangguhkan selepas ujian darah mendapati dia positif Covid-19.

Jangkitan melalui keluarga

anak malang positif covid-19

foto: fareez kezam

Berat mata memandang, berat lagi ujian yang terpaksa dihadapi oleh kanak-kanak yang baru berusia dua tahun, Muhammad Fateh Aqil Mohd Nazmee.

Dia adalah pesakit termuda yang disahkan positif Covid-19 di Kelantan. Lebih menyedihkan lagi, kanak-kanak ini juga penghidap kanser darah.

Menerusi status yang dimuat naik laman Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser (Pesona), orang ramai diminta sama-sama mendoakan kesihatan anak malang ini.

Mohon doakan anakanda Muhammad Fateh Aqil bin Mohd Nazmee, 2 tahun 4 bulan yang disahkan positif virus Covid-19. Fateh, penghidap kanser darah Leukemia, sepatutnya menjalani kitaran kimoterapinya mengikut jadual di HUSM Kubang Kerian, namun ujian darah yang dilakukan mendapati dia dijangkiti Covid-19. Mohon didoakan agar anakanda Fateh sembuh dan dapat meneruskan perjuangannya.

Kes ini telah disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan yang mengatakan anak malang ini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan dijangkiti Covid-19 melalui salah seorang ahli keluarganya.

Difahamkan, golongan yang sangat berisiko dengan jangkitan Coronavirus ini adalah kanak-kanak, pesakit yang menghidap penyakit kronik, warga emas usia 65 tahun ke atas, wanita hamil dan golongan mempunyai sistem ketahanan tubuh badan rendah.

Catatan kes Covid-19 yang melanda negara

nasib anak malang

credit to sources

Sementara itu menurut Dr. Noor Hisham, pesakit paling tua yang direkodkan mendapat jangkitan wabak tersebut pula merupakan pesakit berusia 83 tahun.

“Kalau kita lihat kes Covid-19, umur yang paling tua adalah 83 tahun. Mereka ini 85 atau 95 peratus boleh pulih jika memiliki sistem imuniti tinggi,”

”Menyentuh kes yang berlaku dalam gelombang pertama, iaitu pesakit pertama sehingga ke-22, semuanya berjaya pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sekiranya pesakit memiliki sistem ketahanan tubuh badan yang tinggi, anda lebih cepat sembuh berbanding dengan individu yang kurang imuniti.

”Strategi kementerian kesihatan buat ketika ini adalah melindungi pesakit yang sudah berumur kerana mereka mungkin memiliki imuniti begitu rendah,”

“Contohnya disebabkan rawatan kemoterapi atau penyakit lain, golongan ini perlu dipastikan agar tidak terdedah dengan orang ramai dan kekal berada dalam rumah agar rantaian penularan Covid-19 antara individu kepada individu lain dapat diputuskan,” kata Dr. Noor Hisham.

Sehingga kini, Majlis Keselamatan Negara mengumumkan angka kematian akibat Covid-19 di Malaysia sehingga mencecah 24 orang.

Sementara itu, sebanyak 45 kes positif Covid-19 pula sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 32 daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas mengenai pertambahan angka kematian dan pesakit yang mendapat rawatan di ICU, Dr Noor Hisham berkata ia didorong oleh tiga faktor utama.

“Pesakit yang meninggal dunia ada tiga faktor risiko yang tinggi. Pertama faktor umur lanjut, contohnya 70 tahun ke atas. Keduanya, pesakit mempunyai penyakit lain contohnya darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya,”

“Ketiga, mereka datang ketika berada dalam peringkat yang lewat iaitu sudah mengalami sesak nafas. Pesakit di tahap ini amat berisiko tinggi dan mungkin bergantung kepada alat bantuan pernafasan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan terkini, sebanyak 235 kes baharu Covid-19 direkodkan setakat pukul 12 tengah hari Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan 2 031 kes.  

Sumber: Malaysia Gazette, Mstar

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Ibu Masih Dalam Pantang, Bayi 12 Hari Mangsa Paling Muda Dijangkiti Wabak COVID-19

Baca juga:

https://my.theasianparent.compunca-penyakit-berjangkit

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!