Ngeri! Kipas Siling Patah Hampir Terkena Bayi, Ibu Ini Beri Amaran Kepada Ibu-Ibu Lain!
Antara bahaya kipas angin untuk bayi yang kita tidak sedar adalah bagaimana ia boleh mencederakan anak kecil ketika ia patah dan rosak. Jom ketahui tips keselamatan ini.
Rumah mana yang tiada kipas angin, kan? Ia antara benda wajib yang kena ada di rumah, terutamanya jika kita ada anak kecil. Tapi, selepas membaca kisah ibu ini, anda pasti akan sedar tentang bahaya kipas angin untuk bayi!
Antara kipas angin yang kita sering ada dalam bilik adalah kipas siling, selain daripada kipas meja. Berbanding alat penyaman dingin, kipas lebih murah dan mesra alam.
Bahaya kipas angin untuk bayi akan buat anda ingin beli aircond berbanding kipas siling!
Seorang ibu ini, Karen Xiao, melalui detik mencemaskan apabila kipas angin di dalam biliknya mula patah dan jatuh ke lantai.
Menurut ceritanya, ketika itu dia berada di dalam bilik bersama bayi yang baru berusia 4 bulan. Tiba-tiba, kipas itu mula hilang kawalan dan 2 bilah kipas tersebut patah.
Nasib baiklah Karen dan bayinya tidak cedera. Tambahnya lagi, jika waktu itu dia meletakkan bayi di atas katil, pasti situasi akan menjadi lebih teruk.
Bilah kipas menghentam siling dan patah
Karen bercerita yang kelajuan kipas pada waktu itu adalah pada tahap minimum dan telah dipasang berjam lamanya.
Tidak lama kemudian, kipas itu mula bergegar dan salah satu bilah telah menghentam bahagian siling sebelum patah.
Karen segera memadamkan suis kipas untuk mengelakkan bilah lain turut patah. Dia berkata yang kerosakan itu berlaku mungkin kerana ia telah dipasang terlalu lama.
Dengan berkongsi insiden tersebut, Karen berharap yang ia boleh meningkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa tentang risiko bahaya kipas siling untuk bayi.
Malah, dia juga ingin ibu ayah di luar sana supaya berfikir dua, tiga kali sebelum memasang kipas siling di dalam bilik. Kipas meja atau penyaman udara lebih selamat untuk anak kecil.
Jika kipas siling ada di dalam bilik, mereka mungkin perlu berhati-hati bila meletakkan bayi mereka di bawah kipas tersebut.
Tip keselamatan untuk bayi anda di dalam bilik
Ia bukanlah bermaksud yang anda tidak boleh memasang kipas di bilik. Nanti anak anda kepanasan dan kena strok haba pula. Tapi, ikuti tip keselamatan ini jika ingin pasang kipas siling atau kipas meja di bilik.
- Kalau anda ada kipas meja dalam bilik, jauhkan dari capaian anak kecil. Elakkan meletaknya di kawasan yang mudah dipanjat oleh anak.
- Jauhkan segala wayar atau tali bergantung dari capaian anak.
- Ajar anak supaya tidak memasukkan jari ke dalam kipas meja.
- Pastikan kipas dipasang dengan ketat dan tidak mudah terbuka. Beli juga dari jenama yang boleh dipercayai.
- Pasang kipas dinding jika anda inginkan kipas yang jauh dari capaian anak.
- Jika siling anda tinggi, anda boleh memasang kipas siling. Pastikan ada jarak antara bilah dan siling.
- Jauhkan perabot tinggi daripada kipas siling terutamanya katil dua tingkat.
- Jangan pilih kipas siling yang bertali. Anak anda mungkin mencapainya (dengan memanjat) dan ini berbahaya untuk si kecil anda.
Mungkin isu bahaya kipas angin untuk bayi ini kelihatan remeh.
“Tak pernah berlaku kepada saya pun!”
Ya, memang betul. Kejadian kipas patah bukanlah satu insiden yang sering terjadi, tapi anda juga perlu tahu yang malang itu tidak berbau! Jadi, jom ambil langkah pencegahan dari sekarang.
Sumber: theAsianparent Singapore, Facebook Karen
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bonding Anak Dan Ayah Berakhir Dengan Kemalangan Berdarah Kepala Terbelah