Bapa Berdepan Detik Cemas Anak Tertelan Bateri Jam Tangan & Esofagusnya Terbakar
Bateri jam tangan ditelan oleh seorang bayi sehingga menyebabkan esofagusnya sedikit terbakar. Ibu ayah sila alert dan ambil iktibar melalui tragedi ini!
Anak-anak yang sedang membesar didorong oleh sikap ingin tahu dan keupayaan meneroka persekitaran begitu tinggi. Siapa sangka dalam jagaan ibu ayah sendiri telah menyebabkan detik hitam apabila anak sekelip mata mencapai dan telan bateri jam tangan.
Justeru, ibu ayah dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergerakan si manja bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Jika mereka tertelan benda kecil, segeralah merujuk ke hospital agar dapat menerima rawatan.
Anak kecil tertelan bateri jam tangan, cedera bahagian esofagus
Baru-baru ini Public Health Malaysia telah berkongsi kisah benar apabila seorang bayi dalam sekelip mata menelan bateri lithium dari sebuah jam tangan yang jatuh.
Biarpun ia kelihatan kecil, namun berupaya memberikan kesan buruk terhadap si manja sehingga menyebabkan luka pada esofagus.
Seorang bapa telah membuka mulut menceritakan hal yang sebenar berlaku beberapa minit sebelum itu.
Berderau darah saya bila melihat anak menelan bateri jenis butang ini depan mata sendiri. Ia adalah bateri daripada jam tangan anak sulung.
Jam tersebut baru sahaja jatuh dan pecah. Kemudian, bateri jam berkenaan diletakkan sementara di atas meja. Tanpa sedar, si adik yang masih kecil pantas tangannya. Dia telah memasukkan bateri berkenaan terus ke dalam mulut dan menelannya.
Sepantas kilat si bapa membawa anak kecilnya ke hospital. Dalam perjalanan mereka, dia menanggis sekuat hati dan menahan kesakitan.
Kemudian, doktor dan pihak perubatan lain melakukan pemeriksaan dan terus ke dewan bedah. Nasib baiklah hospital berkenaan ada pakar bedah kanak-kanak dan mesin kamera endoskopi kanak-kanak. Jika tidak, makan masa pula untuk dibawa ke hospital lain yang terdekat.
Doktor menyatakan bahawa dinidng esofagus bayinya mengalami sedikit kecederaan seolah-olah terbakar. Namun nasibnya baik kerana segera dibawa ke hospital.
Jika terlewat dua jam, mungkin ia boleh menyebabkan dinding terbakar dengan lebih teruk atau bocor. Anak mungkin terpaksa makan melalui saluran tiub yang ditebuk terus ke usus.
Justeru, ibu ayah perlu tahu bahawa bateri jam adalah sangat bahaya. Pastikan anda tidak meletakkannya di tempat yang mudah dicapai oleh kanak-kanak. Sekiranya tertelan, jangan tunggu dan ambil tindakan sendiri. Pastikan sebelum dua jam, anda dan anak telah berada di hospital bagi mengurangkan risiko bahaya.
Tips dan langkah pencegahan anak tertelan bateri
Menurut perkongsian Dr. Rusyainie Ramli, bateri jam atau mainan elektronik sememangnya kelihatan biasa sahaja. Namun, ibu ayah jangan salah anggap kerana ia sangat berbahaya.
Biasanya bateri mengandungi logam berat seperti zink, merkuri, nikel, kadmium dan litium. Ia juga ada larutan dengan kepekatan tinggi yang menghakis seperti kalium atau natrium hidrosida.
Jika bateri berkenaan itu tersangkut pada saluran makanan (esofagus), ia hendaklah dikeluarkan dengan kadar segera. Hal ini kerana:
- Menekan pada esofagus
- Menghakis dinding esofagus dari larutan alkali bateri tersebut
- Aliran elektrik mungkin berlaku
Tambah Dr. Rusyainie, sekiranya bateri boleh melepasi esofagus, ia akan memasuki bahagian perut. Kecederaan pada dinding perut akan berlaku dalam tempoh 1 jam sahaja. Perut boleh bocor secara keseluruhannya dalam masa 4 jam!
”Jika sudah pecah, jawabnya memang kena buat pembedahan besar dan boleh menjadi proses yang cukup rumit. Nak kena jahit semula perut tu bukan perkara ringan kerana komplikasinya banyak,” jelasnya.
Sekiranya ibu ayah menyedari atau suspek anak telah tertelan bateri, terus bawanya ke hospital terdekat dengan secepat mungkin. Hal ini kerana selalunya tiada simptom yang anda boleh nampak jika anak baru sahaja tertelan bateri.
Simptom ketara akan berlaku apabila bateri mula bertindak balas dalam sistem penghadaman.
Antara tanda-tandanya ialah:
- Najis mengandungi darah
- Muntah
- Sedu
- Sakit abdomen
- Anak meragam atau merengek
- Demam
- Sukar untuk bernafas
- Timbul ruam akibat alahan kepada logam berat
Antara langkah pencegahan yang perlu dipraktikkan di rumah ialah:
#1. Ibu ayah perlu menyimpan sebarang jenis bateri dalam bekas tertutup rapat dan meletakkannya jauh daripada pandangan anak.
#2. Elak menyediakan barang mainan yang ada bateri
#3. Sekiranya anda sibuk dengan tugasan di rumah, letakkan bayi kecil dalam play-pen yang selamat untuk mengelakkannya mengutip segala benda dan masuk ke dalam mulut.
Sumber: Public Health Malaysia, Rusyainie Ramli
Kredit foto: google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: