5 Topik Mudah Untuk Anda Bercakap Dengan Bayi, Boleh Rangsang Otaknya Jadi BIJAK!
Buntu fikirkan topik apa untuk bercakap dengan bayi anda? Kami kongsikan 5 topik mudah ini yang anda boleh gunakan ketika berbual dengan anak!
Ramai ibu bapa terutama yang baru menimang cahaya mata pasti biasa dengar nasihat supaya rajin-rajinkan bercakap dengan bayi anda.
Tapi mesti anda fikir, topik apa yang sebenarnya yang sesuai untuk bercakap dengan bayi ini? Mestilah anda pun nak tahu kan topik apa yang paling sesuai.
Perkembangan bahasa merupakan perkara yang sangat penting buat kanak-kanak. Bermula dengan hanya membuat bunyi-bunyi tertentu, beralih kepada menyebut perkataaan dan seterusnya membina ayat, ia sebenarnya memerlukan rangsangan daripada ibu bapa serta individu di sekeliling mereka untuk bercakap dengan bayi.
Bercakap dengan bayi rangsang otak mereka jadi bijak!
Menurut Profesor Erika Hoff, seorang Ahli Psikologi Perkembangan di Florida Atlantic University, kanak-kanak tidak dapat belajar apa yang mereka tidak dengari.
Ibu bapa seharusnya bercakap dengan bayi dan anak kecil sepertimana bercakap dengan orang dewasa (berserta kata hubung, kata adjektif dan sebagainya) agar mereka mendapat input bahasa yang sewajarnya.
Disebabkan itu mungkin ada kes anak yang pelat dan tidak pelat. Ini mungkin salah satunya adalah kerana perkembangan bahasa daripada ibu atau bapa ketika mereka masih bayi lagi.
Walaupun bayi tidak memberikan maklumbalas, ibu bapa perlu rajin berbual dan bercakap dengan mereka seawal bayi lagi.
Apabila bayi mendengar perkataaan yang disebut oleh ibu bapa, ia akan disimpan di dalam memori mereka dan akan digunakan oleh mereka untuk bertutur apabila tiba masanya kelak.
Kami kongsikan 5 topik yang boleh anda gunakan ketika bercakap dengan bayi!
#1. Anggota badan
Topik paling mudah yang boleh dibualkan di mana-mana sahaja adalah berkenaan anggota badan.
Ibu bapa hanya perlu sebutkan nama anggota badan sambil memegang atau menunjukkan kepada bayi anggota badan berkenaan. Selain itu, kita boleh memberitahu anak tentang kegunaan setiap anggota badan tersebut dalam kehidupan seharian.
Bagi yang beragama Islam, selitkan juga tentang pencipta anggota tubuh badan kita ini. Lebih menarik lagi, jika ibu bapa boleh menyanyikan lagu-lagu ringkas tentang anggota badan. Tentu anak kecil ini berasa seronok dan gembira mendengar nyanyian itu sambil belajar tentang anggota badan.
#2. Aktiviti harian
Apa juga perkara yang sedang kita lakukan terhadap bayi, beritahu kepada bayi. Beritahu kepada bayi sama ada kita sedang memakaikannya pakaian, memandikannya, menyapu losyen pada badan bayi, memakaikan lampin pada bayi, dan sebagainya agar mereka belajar bahawa ibu atau bapa mereka sedang merapikan diri mereka.
Selain itu, kita juga boleh memberitahu kepada bayi perkara yang sedang kita lakukan seperti sedang mengemas beg, menutup almari, menyidai tuala, menyangkut baju dan sebagainya.
#3. Pakaian
Sama ada ibu bapa mahu pun bayi, pakaian pasti ditukar setiap hari. Maka, pakaian juga merupakan salah satu topik mudah untuk dibualkan dengan bayi.
Beritahu anak kecil ini tentang pakaian yang sedang mereka pakai pada hari itu, tentang warna pakaian, jenis pakaian tersebut (seluar, baju, dan lain-lain), serta pakaian tersebut dipakai pada waktu malam atau siang.
Ibu bapa juga boleh memberitahu bayi tentang pakaian yang kita pakai pada hari itu. Pasti banyak perkara yang bayi dapat belajar walaupun ia hanya berkisar tentang pakaian sahaja.
#4. Benda di sekeliling
Benda di sekeliling merupakan topik yang paling banyak untuk dibualkan dengan bayi. Bila bercakap dengan bayi, cuba perkenalkan kepada mereka dengan pelbagai jenis permainan, makanan, buah-buahan, sayur-sayuran, perabot dan apa jua yang kelihatan di sekeliling kita.
Terangkan juga kepada bayi tentang warna, saiz, bentuk, dan sebagainya bagi memberi input tambahan kepada bayi tentang sesuatu item tersebut.
Jika barang tersebut tidak merbahayakan, benarkan anak kecil ini untuk memegang barang itu. Dengan cara ini, bayi bukan sahaja dapat mengenal pelbagai benda di sekelilingnya, malah turut membantu perkembangan deria sentuhan mereka.
#5. Destinasi
Ibu bapa dan bayi pasti tidak akan duduk di rumah sahaja setiap hari, bukan? Apabila keluar daripada rumah untuk membeli barang atau sekadar mengambil angin luar, ceritakan kepada bayi destinasi yang ingin dituju.
Beritahu bayi ke mana tempat kita akan pergi, tujuan kita ke sana, berapa lama kita dijangka akan berada di sana, dan sebagainya.
Dalam perjalanan menuju ke destinasi, sekiranya bayi tidak tidur, berbual dengan bayi tentang lampu isyarat, kenderaan, deretan pokok atau bangunan di tepi jalan. Apabila telah sampai ke destinasi, maklumkan kepada bayi bahawa kita telah tiba ke lokasi yang dimaksudkan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: pantangplus,Profesor Erika Hoff,
Baca juga: 4 cara mengajar bayi cepat bercakap, ibu bapa patut cuba