Cara Mengajar Anak Kecil Berkongsi Dan Berinteraksi Dengan Kanak-Kanak Lain

Cara ajar anak kongsi boleh dilakukan dengan menunjukkan teladan dan beri pujian setiap kali mereka berkongsi dengan rakan atau adik-beradik.

Berkongsi dan berinteraksi adalah kemahiran penting yang perlu diterapkan sejak kecil sebagai cara ajar anak kongsi dengan anak-anak memahami nilai empati, sabar dan rasa hormat.

Sebagai ibu bapa, kita boleh menggalakkan anak-anak untuk berkongsi dan bermain bersama rakan sebaya dengan menggunakan beberapa tips dan teknik yang mudah.

Cara Ajar Anak Kongsi, Panduan Buat Ibu Ayah

1. Jadilah Contoh Terbaik

Anak-anak belajar melalui pemerhatian. Kalau kita sebagai ibu bapa selalu menunjukkan sikap berkongsi seperti berkongsi makanan atau membantu orang lain, anak-anak akan meniru tingkah laku tersebut.

Sebagai contoh, ketika waktu makan, kita boleh kata, “Mama ada dua biji epal. Satu untuk Mama, satu lagi Mama nak kongsi dengan Adik.”

Ia kelihatan mudah, tetapi impaknya besar pada pemahaman mereka tentang cara ajar anak kongsi dengan baik.

2. Gunakan Permainan Untuk Mengajar

Permainan seperti ‘turn-taking’ atau ‘bermain jual beli’ boleh digunakan untuk mengajar anak konsep berkongsi dan sabar menunggu giliran.

Ajar mereka bagaimana hendak memberi dan menerima dengan bermain permainan ringkas.

Contohnya, bermain permainan membina blok bersama dan ajar mereka untuk bergilir-gilir meletakkan blok.

Ucapkan pujian apabila mereka berjaya berkongsi, seperti “Bagusnya Adik! Terima kasih kerana berkongsi dengan abang.”

3. Bacakan Kisah Atau Buku Cerita

Kisah dongeng atau buku cerita yang mengandungi nilai berkongsi dan persahabatan sangat berguna.

Cari buku yang menceritakan bagaimana berkongsi boleh membawa kepada persahabatan yang baik.

Antara buku yang sesuai ialah “The Rainbow Fish” oleh Marcus Pfister yang menceritakan tentang seekor ikan yang belajar berkongsi sisiknya yang cantik dan akhirnya mempunyai ramai kawan.

4. Galakkan Aktiviti Berpasukan

Aktiviti seperti bermain bola sepak, menyelesaikan teka-teki secara berkumpulan atau melukis mural bersama boleh membantu anak-anak belajar berkomunikasi dan bekerjasama.

Aktiviti ini bukan sahaja mengajar mereka tentang kerjasama, tetapi juga membina keyakinan diri untuk bergaul dengan rakan-rakan lain.

5. Elakkan Memaksa

Memaksa anak berkongsi hanya akan membuatkan mereka rasa tertekan dan marah. Beri mereka masa untuk memahami konsep berkongsi.

Jika mereka tidak mahu berkongsi mainan kegemaran, cuba terangkan dengan lembut, “Adik tak nak kongsi mainan ini, kan? Tak apa, tapi boleh tak kita bagi kawan pinjam sekejap lepas Adik dah habis main?”

Ini akan membuatkan mereka berasa lebih selesa dan tidak dipaksa.

6. Mengajar Bahasa Interaksi Yang Betul

Ajarkan anak-anak cara berkomunikasi dengan baik seperti menggunakan perkataan “boleh pinjam?” atau “terima kasih” dan “sama-sama”.

Ia membentuk asas interaksi positif dan membantu membina hubungan yang baik dengan rakan sebaya.

7. Pujian dan Penghargaan

Setiap kali anak berjaya berkongsi atau berinteraksi dengan baik, berikan mereka pujian.

Pujian ini boleh meningkatkan keyakinan diri dan membuatkan mereka berasa dihargai. Katakanlah, “Wah, Adik pandai berkongsi! Semua orang suka bermain dengan Adik sebab Adik baik hati.”

8. Latih Kesabaran

Kesabaran adalah kunci untuk mengajar anak berkongsi. Anak kecil biasanya tidak suka menunggu, tetapi kita boleh melatih mereka dengan permainan yang memerlukan giliran.

Ajar mereka konsep ‘tunggu giliran’ melalui permainan seperti ‘kerusi berirama’ atau ‘permainan papan’ yang mudah.

Ini akan membantu mereka belajar bersabar dan menghargai masa bermain dengan rakan-rakan.

Cara Mengajar Anak Berkongsi Mengikut Peringkat Usia

Mengajar anak berkongsi bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam sehari. Ia memerlukan kesabaran dan pemahaman tentang perkembangan mereka mengikut usia.

Berikut adalah cara untuk mengajar anak berkongsi mengikut peringkat umur:

1. Bayi dan Kanak-Kanak Kecil (1-2 Tahun):

Pada usia ini, anak kecil masih belum memahami konsep berkongsi kerana mereka melihat dunia dari perspektif diri sendiri.

Bimbing secara perlahan, jangan paksa mereka untuk berkongsi. Sebaliknya, tunjukkan dengan contoh, seperti memberi mainan lain apabila mereka mahu sesuatu.

Apabila mereka berkongsi secara tidak sengaja, berikan pujian seperti “Bagusnya Adik kongsi mainan dengan kakak!”

2. Kanak-Kanak Prasekolah (3-4 Tahun):

Anak-anak pada usia ini mula memahami konsep giliran dan boleh diajar tentang keadilan.

Ajak mereka bermain permainan yang memerlukan giliran seperti membina blok atau bermain teka-teki bersama.

Apabila mereka berkongsi, puji tindakan tersebut dan terangkan mengapa berkongsi itu baik. Contoh: “Terima kasih kerana berkongsi, semua orang gembira bermain bersama-sama.”

3. Kanak-Kanak Sekolah (5-6 Tahun):

Mereka sudah lebih memahami perasaan orang lain dan boleh bersikap lebih adil.

Tanyakan bagaimana perasaan mereka jika situasi tidak adil berlaku kepada mereka. Ini membantu mereka melihat sesuatu dari perspektif orang lain.

4. Kanak-Kanak Sekolah Rendah (7 Tahun ke Atas):

Mereka sudah boleh memahami konsep empati dan mempunyai keinginan untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan.

Jelaskan peraturan berkongsi sebelum aktiviti dan beritahu kesannya jika tidak mengikut peraturan seperti tidak dapat bermain permainan yang sama.

Mengajar anak kecil berkongsi dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain memerlukan kesabaran dan kreativiti.

Tidak ada jalan pintas, tetapi dengan pendekatan yang konsisten, anak-anak akan belajar nilai-nilai penting ini dengan mudah.

Ingatlah, mereka masih belajar dan perlu masa untuk memahami konsep ini sepenuhnya. Jadilah pembimbing dan contoh yang baik dan jangan lupa untuk sentiasa memberikan kasih sayang dan galakan kepada mereka.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 8 Waktu Yang Salah Untuk Hukum Anak, Ibu Ayah Perlu Fikir Dua Kali Sebelum Bertindak!

Baca juga: Bukan Semua Kena Kongsi, Sesekali Ajar Anak ‘Kedekut’ Untuk Hak Mereka Tak Salah Pun!

Baca juga: Mahu Anak Belajar Bahasa Kedua? Ini Waktu Terbaik Untuk Anak Belajar!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!