7 cara membahagiakan isteri seperti dibuat Rasulullah, kan best jika suami ikut!
Rasulullah sendiri mengamalkan 7 cara membahagiakan isteri ini. Buat suami di luar sana, apa salahnya kalau sifat Rasul ini dicontohi, kan?
Suami merupakan seorang khalifah dan tunggak dalam keluarganya. Suami itu sendiri bertanggungjawab untuk melindungi keluarga dari kemurkaan Allah SWT sambil membahagiakan isteri dan keluarganya.
Tapi tahukah anda bagaimana cara membahagiakan isteri? Bagaimana Rasulullah SAW membahagiakan isteri baginda?
Ha, kalau anda mahukan contoh yang baik dalam bagaimana cara membahagiakan isteri, hari ini kami membawakan kepada anda bagaimana Rasulullah SAW melakukannya.
Seorang suami yang bijak bukan bersikap mengongkong, sebaliknya anda perlu sentiasa bertimbang rasa dengan isteri. Sebab itu, anda wajib mengamalkan 7 cara membahagiakan isteri seperti yang dilakukan Rasulullah SAW ini:
7 cara membahagiakan isteri seperti yang dilakukan Rasulullah SAW
#1 Membantu isteri melakukan kerja rumah
Memang ada suami yang menganggap kerja rumah itu ialah tugas yang harus dilakukan isteri semata-mata. Sebab itu mereka berat tulang nak menolong.
Tapi dalam Islam sendiri mengatakan yang semua tugas rumah adalah tugas suami. Isteri hanya membantu suami. Jadi, apa salahnya jika suami turut membantu meringankan tugas isteri di rumah pada zaman sekarang?
Mungkin suami nampak kerja rumah hanyalah mudah dan ringan. Tapi kalau anda sudah mula membantu isteri, pasti anda tahu betapa tugas ini sebenarnya berat!
Sayyidah Aisyah r.a pernah ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah SAW jika baginda di rumah, Aisyah menjawab
“Baginda selalu melayani dan membantu isterinya.”
#2 Menenangkan hati isteri yang sedang bersedih
Wanita merupakan insan lemah yang cepat terguris hatinya. Alangkah bahagianya si isteri jika dia memiliki suami yang tahu cara membahagiakan isteri.
Cukuplah dengan bijak menenangkan perasaannya yang bersedih. Rasulullah SAW sentiasa menenangkan hati isterinya.
Contohnya ketika Shafiyah binti Huyay bersedih dan menangis. Masa Shafiyah menangis, Rasulullah SAW menghampirinya dan bertanya mengapa isterinya itu menangis.
Rupa-rupanya, Shafiyah menangis kerana Hafsah mengatakan Shafiyah keturunan Yahudi. Rasulullah SAW kemudiannya berkata
“Katakan kepadanya, suamiku, Muhammad, ayahku Harun, dan bapa saudaraku Musa!” (Tafsir Al-Qurthubi)
Isteri mana yang tidak tenang hatinya apabila dipujuk sebegini oleh suami?
#3 Rajin meminta pendapat isteri agar isteri merasakan dirinya dihargai
Apa gunanya membina ikatan rumah tangga dengan pasangan jika pasangan itu tidak menghargai diri kita?
Rasulullah SAW sentiasa meminta pendapat isterinya untuk menunjukkan rasa penghargaan buat si isteri. Apabila suami meminta pendapat isteri, isteri akan berasa lebih bahagia.
Dia akan menganggap dirinya penting dan suami menghargai pendapatnya.
Rasulullah SAW pernah meminta pendapat Ummu Salamah ketika perjanjian Hudaybiyah. Walaupun merupakan seorang Rasul, Muhammad tidak keberatan untuk mendengar pendapat isterinya kerana baginda tahu, itu salah satu cara membahagiakan isteri.
#4 Sabar dan sering mengajak isteri bergurau atau bermanja
Isteri inikan seorang wanita yang hanya menginginkan perhatian suaminya. Sebab itulah mereka pasti mahu anda bergurau dan bermanja dengan mereka.
Rasulullah SAW sendiri merupakan suami yang tidak ego dan bersabar dalam bermanja dan bergurau dengan isterinya.
Contohnya dengan Aisyah r.a, Rasulullah SAW telah melayan Aisyah mendengar orang bermain rebana di dalam masjid. Ketika itu, Rasulullah SAW berdiri di depan pintu.
Tapi Aisyah meminta agar Rasulullah tidak menutup pintu kerana dia ingin melihat rebana tersebut. Aisyah meletakkan dagunya di bahu Baginda.
Pipinya menempel di pipi Rasulullah sementara mereka melihat pemain rebana dengan gembira.
#5 Sering memuji isteri dengan ikhlas
Salah satu cara membahagiakan isteri yang sering diamalkan Rasulullah SAW ialah dengan menunjukkan penghargaan pada isterinya – seperti dengan puji-pujian.
Baginda sering memuji isterinya malah tidak lokek mencium isterinya sebelum pergi dan pulang dari kerja.
Rasulullah telah mengamatkan kepada semua para suami untuk mencium dan memuji-muji isteri sebelum mereka keluar rumah.
Aisyah r.a pernah berkata,
“Rasulullah selalu menciumku, kemudian baginda ke masjid untuk bersolat tanpa memperbaharui wudhuknya.” (H.R Abdurrazaq, Ibnu Majjah, Aththabrani, dan Daraqutni)
#6 Tidak berkira mengajak isteri makan di luar
Dari riwayat Anas, Rasulullah SAW diceritakan pernah memiliki jiran yang berbangsa Persia. Satu hari, jiran tersebut telah memasak kuah yang sungguh enak untuk Rasulullah.
Selepas itu, dia datang menjemput Rasulullah datang ke rumahnya untuk menikmati masakan itu. Rasulullah bertanya adakah Aisyah r.a juga dijemput ke rumah jirannya itu.
Jiran terbabit menolak. Maka Rasulullah pun menolak ajakan jiran itu. Selepas ajakannya ditolak, jiran itu sekali lagi mengajak Rasulullah tanpa Aisyah.
Tapi Rasulullah enggan kerana Aisyah tidak dipelawa sekali. Selepas Aisyah r.a dipelawa barulah Rasulullah berangkat ke rumah jiran terbabit sambil berpimpingan tangan dengan Aisyah.
#7 Mencium isteri
Aisyah r.a meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW sering menciumnya walaupun beliau dalam keadaan berpuasa. Baginda bersabda,
“Sesungguhnya ciuman itu tidak membatalkan wudhuk dan tidak membuatkan orang berbuka puasa. Wahai Humaira (panggilan untuk Aisyah), sesungguhnya dalam agama Islam ini ada kelapangan.”
Walaupun berpuasa, Rasulullah SAW akan mencium bahagian muka Aisyah hinggalah waktu berbuka.
Sesungguhnya, isteri anda itu tidak meminta banyak pun dari anda.
Salah satu cara membahagiakan isteri yang terbukti berkesan ialah memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang padanya. Nescaya rumah tangga anda akan bahagia hingga ke anak cucu, amin.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: