Bengkak Kaki Semasa Hamil (Edema): Punca Kaki Bengkak, Tanda & Cara Merawat
Edema iaitu bengkak kaki ketika hamil amat biasa terjadi. Namun apakah puncanya dan cara mengatasi? Ibu hamil wajib baca!
Pernah tak ibu-ibu hamil dengar tentang edema? Kalau tak pernah, bagaimana dengan bengkak kaki? Mesti selalu dengar kan? Bengkak kaki ketika hamil adalah dipanggil edema.
Oedema/Edema iaitu bengkak pada buku lali dan tapak kaki sering terjadi dan cukup biasa dalam kehamilan kerana pada waktu ini, badan anda menyimpan lebih banyak cecair daripada keadaan normal.
Jadi adakah edema ini normal? Ya, memang situasi ini sering berlaku kepada ibu hamil. lagi-lagi bila ibu hamil kerap berjalan dan berdiri.
Ibu hamil akan terasa bengkak ini lebih perit apabila waktu malam. Selepas seharian anda melakukan tugas seperti biasa, pergi ke sana sini, jadi bila malam kaki mulai bengkak seperti penuh dengan air.
Punca edema
Edema ini berlaku apabila bayi semakin membesar di dalam rahim, ia akan memberi tekanan pada saluran darah di bahagian pelvik. Lantas menyebabkan saluran darah besar yang menerima darah daripada anggota badan bahagian bawah terjejas. Saluran darah ini dikenali sebagai vena kava, ia terletak pada bahagian kanan badan.
Lantas tekanan yang dialaminya menyebabkan peredaran darah menjadi perlahan lalu darah pun terkumpul.
Akibat daripada darah terkumpul ini memaksa air turun dan keluar melalui saluran darah kecil (kapilari) dan masuk ke dalam tisu pada tapak kaki serta buku lali. Disebabkan sesetengah wanita hamil yang menyimpan lebih banyak air, maka ini menambahkan lagi bengkak kaki.
Bengkak kaki ini akan terjadi jika anda banyak berjalan, lantas pada waktu petang atau penghujung hari anda dapati kaki semakin membengkak. Dan apabila dipicit atau ditekan ia tidak akan melantun atau menganjal.
Sedangkan wanita yang tidak hamil juga boleh mengalami keadaan ini apabila terlalu lama berdiri dan ia dikenali sebagai water retention. Jadi apabila hamil situasi edema ini akan menjadi lebih teruk.
Adakah edema ini tanda hamil normal?
Ya, boleh dikatakan 50 hingga 80 peratus wanita hamil yang sihat akan mengalami edema ini. Dan ia biasanya terjadi pada trimester ketiga kehamilan. Ramai yang cakap bengkak kaki bila surut itu tanda nak bersalin? Tidak juga, ia mungkin berlaku pada sesetengah wanita hamil tapi ada juga yang masih bengkak kakinya dan telah tiba waktu bersalin.
Namun sekiranya anda mengalami bengkak teruk pada tangan, muka dan tapak kaki maka segeralah berjumpa doktor. Kerana bimbang pula ia adalah tanda praeklampsia.
Cara merawat
- Tinggikan kaki apabila baring atau duduk untuk melancarkan peredaran darah. Letak kerusi kecil di pejabat untuk menahan kaki anda.
- Baring mengiring ke kiri. Ia dapat mengurangkan tekanan pada vena kava.
- Elakkan berjalan terlalu lama tanpa rehat. Memanglah ibu hamil di hujung kehamilan digalakkan berjalan tapi bukanlah terlalu lama sampai letih ya.
- Elakkan menyilang kaki ketika duduk
- Sekiranya anda masih perlu travel ke luar negeri pastikan anda memakai stokin sokongan atau
- Stokin tekanan (support tights), ia dapat membantu mengelakkan darah beku disekelilingi buku lali apabila anda duduk terlalu lama.
- Berurut. Ya anda masih boleh berurut tapi di bahagian tertentu sahaja. Seperti kes ini, anda boleh berurut di bahagian kaki. Ia mampu memberi kelegaan walaupun sementara. Sekiranya ingin hasil yang lebih baik, lakukan ia tiga kali seminggu.
- Berenang juga dapat mengurangkan bengkak kaki, ini keranan di dalam air, badan anda akan terapung jadi perjalanan darah juga akan menjadi lancar.
Adakah ia akan hilang?
Seperti tanda hamil dan kesan kehamilan lain, bengkak kaki juga akan hilang sebaik anda melahirkan si comel nanti. Jangan terlalu bimbang, perjalanan kehamilan ini sepatutnya menyeronokkan jika anda menjadi lebih positif. Sekiranya bengkak kaki ini betul-betul menganggu rutin harian anda, ini bermakna anda perlukan lebih rehat. Elakkan dari berdiri dan berjalan terlalu lama. Dan seeloknya berbincanglah dengan doktor mengenai langkah sebaiknya.
Sumber: Baby Center
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Petua Hilangkan Bengkak Kaki Ketika Hamil