Jangan sampai jadi anak derhaka apabila meminta mak ayah jaga cucunya!
Ada antara kita yang terpaksa menghantar anak-anak ke rumah emak untuk dijaga. Tapi sebenarnya, apa hukum mak jaga cucu saat usianya yang sudah semakin lanjut?
Keadaan ekonomi yang semakin meruncing di mana semua harga naik (termasuklah kos menghantar anak ke pusat jagaan) telah menyebabkan ramai atuk dan nenek terpaksa menjaga cucu. Namun, pernah tak anda terfikir, apa hukum mak jaga cucu?
Baru-baru ini, seorang ibu ada berkongsi luahan hatinya tentang apa yang menimpa ibu kandungnya. Semua gara-gara adik-beradik yang menghantar anak-anak ke rumah emaknya yang telah berusia untuk dijaga setiap hari.
Perkongsian dari hati seorang ibu – Emak terpaksa jaga cucu
“Saya buntu tentang cara bagaimana nak cakap dan sedarkan kakak saya. Mak saya sudah berusia 66 tahun. Ayah saya pula 67 tahun. Apabila mak saya sendirian di rumah, dia terpaksa menjaga cucu-cucunya seorang diri. Kakak kedua saya ada menghantar 2 orang anak kecilnya untuk dijaga oleh emak. Dia membayar RM800 kepada emak saya. Anak-anaknya juga senang untuk dijaga dan emak saya tidak penat. Malah, kakak saya ini akan bantu kemas rumah mak, belikan keperluan makanan siap-siap untuk mudahkan urusan mak dan juga tolong urut mak. Dia menghantar anaknya kerana emak saya perlukan duit untuk perkara lain. Tapi, kakak saya yang pertama pun menghantar juga. Dia ada 3 orang anak yang buas dan hiperaktif. Dia juga selalu kata yang emak saya pilih kasih kerana tidak mahu menjaga anak-anaknya itu. Disebabkan anak-anaknya yang terlalu aktif, emak saya jadi penat sehingga tercungap-cungap kerana terpaksa menjaga cucunya itu. Malah, anaknya tidak boleh ditegur. Kakak saya akan marah emak saya kalau menegur anaknya. Saya sudah memintanya mencari pengasuh lain tetapi dia tetap mahu emak saya menjaga mereka. Dia membayar pun dengan harga murah iaitu RM350 untuk 3 orang anak kecil. Kalau ada pandangan, tolonglah saya. Saya kasihankan emak saya…”
Hukum mak jaga cucu – jangan sampai jadi anak derhaka!
Sayu rasa di hati apabila membaca luahan hati wanita ini. Dapatkah kita bayangkan bagaimana seorang emak yang sudah lanjut usia masih bertungkus-lumus menjaga anak-anak kecil?
Kita yang serba muda ini pun sudah cukup penat dan tak menang tangan apabila menjaga 3 ke 5 orang kanak-kanak, inikan pula seorang ibu tua yang semakin tidak bertenaga dan lemah tubuh badannya.
Ya, dalam keadaan terdesak, kita pasti akan mencari ibu ayah kita untuk membantu tengok-tengokkan anak kita. Tetapi, itu sepatutnya solusi sementara sahaja.
Masalah akan timbul apabila kita semakin selesa menghantar anak-anak ke rumah mak ayah yang sudah tua. Kita tidak lagi berusaha untuk mencari pusat jagaan lain yang sesuai untuk menjaga anak.
Bahkan, kita tidak menghulurkan wang kepada mak ayah atau hanya memberikan sedikit wang yang tidak setimpal dengan alasan hidup kita juga sempit dan tidak cukup duit.
Anda tahu tak apa hukum mak jaga cucu?
Secara amnya, ia adalah satu usaha dan niat yang baik dari si ibu. Hukumnya harus untuk seorang nenek menjaga cucu-cucunya. Semoga ada pahala yang besar di sisi mereka.
Namun, sebaik sahaja perkara itu menyusahkan mak kita sehingga dia mengeluh dan tersinggung, ketahuilah bahawa kita telah menjadi seorang anak yang derhaka!
Bahkan, semakin berdosalah kita apabila kita memarahi ibu yang kononnya “tersilap dalam menegur” anak-anak kita!
Apabila hati ibu kita telah tersinggung, carilah rezeki satu dunia atau berusahalah cari duit siang dan malam sekali pun, akan tiada lagi keberkatan dalam hidup kita dan duit akan sentiasa rasa tidak cukup.
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang atau keduanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan “Ah!” dan janganlah engkau membentaknya dan ucapkanlah perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku sewaktu kecil.”” [Surah Al-Isra’, ayat 23-24]
Cari jalan agar ibu bapa kita tidak disusahkan dengan urusan menjaga anak kecil
Jadi, apa jalan penyelesaiannya? Kami berasakan perkongsian yang dilontarkan oleh Dr. Rubiah dalam video di bawah ini sangat bijak dan praktikal.
Jom tonton video ini dan ambil pandangan bernas daripada Pakar Perunding Motivasi, Dr. Rubiah K. Hamzah.
Jadi, mari ambil langkah praktikal yang disarankan. Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka yang mempermudahkan urusan ibu ayah yang sudah lanjut usia, amin!
Sumber: Youtube, tonton video
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
“Nenek, jangan beri aku nasi dan pisang, umurku baru 10 hari…”