Jangan Minta-Minta Kehamilan Kembar, Anda Mungkin Tak Sanggup Hadapi Risikonya!

Ramai yang meminta-minta kehamilan kembar, tapi tahukah anda semua kehamilan kembar itu tinggi risikonya dan kalau anda tahu pasti anda tidak minta.

Ada yang kata hamil kembar mudah, sekali keluar terus dapat sekurang-kurangnya dua bayi, tak perlu bersalin lagi dah, tetapi bak kata doktor ini, Dr Imelda Balchin, jika anda tahu risikonya, pasti anda tidak akan meminta-minta lagi untuk mendapat kehamilan kembar.

Ada dua jenis kehamilan kembar iaitu kembar seiras yang berlaku apabila satu telur (isteri) bersenyawa dengan satu benih sperma (suami) dan kemudian embrio itu terbelah menghasilkan 2 embrio. Embrio akan membahagi menghasilkan dua janin dan akhirnya dua bayi terbentuk.

Kembar tak seiras berlaku apabila 2 telur (isteri) yang berbeza bersenyawa dengan 2 sperma (suami). Ini menghasilkan 2 embrio, masing-masing membesar menjadi janin dan akhirnya terhasil 2 orang bayi.

Kembar seiras berkongsi gen sesama sendiri (jantina mereka serupa i.e. lelaki-lelaki atau perempuan-perempuan), tetapi sebaliknya bagi kembar tidak seiras. Jantina bagi kembar tak seiras boleh jadi sama (lelaki-lelaki atau perempuan perempuan) atau tidak sama (lelaki-perempuan).

Kehamilan kembar amat berisiko

Kehamilan kembar

Menurut Dr Imelda Balchin, hanya mereka yang ada kesedaran ini atau pernah mengalaminya tidak akan minta-minta rawatan untuk mendapatkan kehamilan kembar.

Dengan ikhlas saya nak nasihatkan anda, mintalah petua dan doa untuk mendapat kehamilan yang sihat, kehamilan yang berisiko rendah dan zuriat yang sihat. Bersyukurlah jika anda dikurniakan kehamilan seorang bayi tunggal.

Ada beberapa netizen minta petua bagaimana nak dapatkan kehamilan kembar, sebab teringin nak anak-anak kembar.  Untuk pengetahuan anda, semua kehamilan kembar ialah kehamilan yang berisiko tinggi.

Risiko kehamilan kembar yang mungkin boleh berlaku

Kehamilan kembar

  • Ada lebih tinggi risiko keguguran awal
  • Ada lebih tinggi risiko keguguran di pertengahan kehamilan.
  • Ada 50 peratus risiko kelahiran pramatang.
  • Ada lebih tinggi risiko kecacatan bayi
  • Ada lebih tinggi risiko masalah pembesaran janin di dalam kandungan, sama ada salah seorang janin atau kedua-dua janin.
  • Jika ada kembar seiras yang kongsi satu uri placenta, ada 15 peratus risiko twin-to-twin transfusion di mana darah dari satu kembar mengalir kepada kembar kedua  dan ini boleh meningkatkan risiko pramatang atau kematian.
  • Ada lebih tinggi risiko kelahiran pramatang yang memerlukan dua ventilator maka perlu di pindahkan ke Hospital Besar yang ada kemudahan unit rawatan rapi untuk bayi pramatang, dan tak boleh pilih untuk bersalin di mana-mana Hospital pilihan anda jika tiada dua ventilator.
  • Ada lebih tinggi risiko masalah jangkamasa panjang bayi pramatang termasuklah masalah kecederaan otak yang kekal, masalah ADHD sekiranya bersalin terlalu pramatang.
  • Ada lebih tinggi risiko kematian janin di dalam kandungan. 
  • Ada lebih tinggi risiko ibu memerlukan pembedahan Caesar.
  • Ada lebih tinggi risiko ibu mendapat pendarahan serius selepas bersalin.
  • Ada lebih tinggi risiko ibu mendapat diabetes semasa hamil.
  • Ada lebih tinggi risiko ibu mendapat tekanan darah tinggi dan pre-eklampsia semasa hamil.
  • Ada lebih tinggi risiko ibu ada masalah kekurangan darah merah.
  • Risiko kematian bayi menjadi lebih tinggi jika kehamilan kembar dibenarkan melebihi 38 minggu, maka ibu perlu melahirkan kedua-dua bayi selewat-lewatnya 38 minggu kehamilan, sama ada di induce atau pembedahan Caesar, untuk mengurangkan risiko stillbirth atau kematian bayi.
  • Akhir sekali ada juga risiko kembar siam

Sekiranya anda dikurniakan mengandung anak kembar, kami doktor O&G dan bidan-bidan bertauliah akan berusaha lebih kuat untuk membantu anda sepanjang tempoh kehamilan dan bersalin dengan selamat.

Tetapi ini bermakna anda perlu datang dengan lebih kerap ke klinik untuk memantau kesihatan anda dan kesihatan dua bayi dalam kandungan.

Apakah faktor yang boleh mendapat kembar?

Kehamilan kembar

Sesetengah wanita lebih cenderung mendapat kembar lebih-lebih lagi:

  1. Umur lingkungan 30-an atau lebih tua
  2. Mengambil ubat kesuburan sebelum mengandung
  3. Menjalani prosidur IVF (bayi tabung uji)
  4. Ras: kembar lebih kerap di kalangan wanita kulit hitam (Africa) dari wanita Asia atau Eropah (kulit putih)
  5. Kaum keluarga (ibu, bapa, kakak dan seumpamanya) pernah mengandung kembar.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: myhealth, Dr Imelda Balchin

Baca juga: 

https://my.theasianparent.compergerakan-bayi-kembar

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!