Anda kini sedang hamil dan masih tertanya-tanya keadaan anak dalam kandungan? Mungkin ada yang teringin mengandung anak kembar. Jadi apakah tanda hamil kembar? Mungkinkah anda sedang alaminya?
Jika anda ada ahli keluarga kembar, anda berkemungkinan besar juga akan melahirkan bayi kembar. Namun, selain faktor genetik, terdapat tanda hamil kembar yang boleh dikenal pasti.
Namun, ia tidak semestinya. Jom kami kongsikan tanda-tanda jika seseorang wanita itu hamil anak kembar.
Jenis-Jenis Kembar
Siapa yang tak teruja kan kalau dapat tahu bayi yang dikandung adalah kembar? Lagi happy kalau kembar sepasang! Menurut CDC, kelahiran kembar telah menyumbang kepada 32 daripada setiap kelahiran bayi.
Malah terdapat dalam kalangan wanita yang memiliki peluang tinggi untuk hamil kembar. Walaupun begitu, bukan semua kembar yang dilahirkan mempunyai wajah yang seiras, ada juga yang dilahirkan berlainan wajah sama sekali. Terdapat beberapa jenis kembar yang perlu ibu hamil tahu iaitu :
#1. Kembar seiras ( monozygotic)
Kembar jenis ini berkembang menggunakan satu telur yang telah pun disenyawakan. Mereka juga mungkin akan berkongsi air ketuban dan uri yang sama bergantung kepada masa telur yang disenyawakan itu pecah. Namun kembar seiras ini jarang berlaku dan direkodkan hanya 3 hingga 4 dalam setiap kelahiran di seluruh dunia.
Kebiasaannya, kembar seiras mempunyai ciri-ciri jantina dan warna mata yang sama. Walaupun seiras, tetapi ada juga sedikit perbezaan sama ada dari segi penampilan, alahan atau personaliti disebabkan beberapa faktor seperti kedudukan mereka di dalam rahim.
#2. Kembar tak seiras (dizygotic)
Kembar tak seiras berlaku apabila dua telur isteri yang berbeza bersenyawa dengan dua sperma suami dan menghasilkan dua embrio. Ia terjadi apabila isteri mengeluarkan dua telur pada masa yang sama ovulasi. Kembar tak seiras ini juga tidak mempunyai rupa yang seiras kerana mereka tidak berkongsi DNA yang sama dan boleh berbeza jantina.
#3. Kembar siam
Manakala untuk jenis kembar yang seterusnya pula adalah kembar siam. Kelahiran kembar siam ini adalah sangat jarang terjadi dan direkodkan terjadi 1 daripada 50,000 hingga 100,000 kelahiran.
Kembar siam terjadi apabila embrio yang mengandungi bayi kembar tidak dipisahkan dengan sepenuhnya dan menyebabkan anggota tubuh kedua-kedua janin tersebut melekat di antara satu sama lain. Anggota badan yang selalu melekat adalah bahagian kepala, dada, perut, tulang belakang dan pelvis.
Pembedahan akan dilakukan untuk memisahkannya bergantung pada tempat bercantum, bilangan serta jenis organ yang dikongsi.
#4. Kembar cermin
Kembar cermin pula terjadi apabila telur yang telah disenyawakan berpecah sedikit lambat daripada biasa. Kembar jenis ini mempunyai ciri-ciri yang berlawanan contohnya jika seorang adalah kidal, kembar seorang lagi boleh gunakan tangan kanannya, begitu juga untuk tanda lahir dan lain-lain lagi. Terdapat kira-kira 25% daripada kembar seiras adalah kembar cermin.
Untuk gandaan kembar yang lain seperti kembar tiga, ia hanya berlaku dalam 1 setiap 10,000 kelahiran manakala bagi kembar empat pula ia hanya terjadi 1 dalam 700,000 kelahiran. Kembar lima pula selalu berlaku dalam 1 dalam 60,000,000 kelahiran.
Beza Mengandung Anak Kembar & Bayi Tunggal
Terdapat beberapa tanda untuk membezakan anda sedang mengandung kembar atau bayi tunggal iaitu :
- Berisiko tinggi mengalami praeklampsia/tekanan darah yang meningkat pada waktu kehamilan.
- Berisiko tinggi untuk menghidapi diabetes gestational/kencing manis semasa kehamilan.
- Berisiko untuk kelahiran secara pembedahan.
- Lebih banyak temujanji rawatan untuk elakkan sebarang komplikasi.
- Berkemungkinan untuk bersalin lebih awal.
- Kerap mengalami kesukaran untuk bernafas.
- Jantung berdegup dengan lebih laju.
- Makan dengan kadar yang banyak.
- Kerap buang air kecil.
Tanda Hamil Kembar Yang Perlu Anda Tahu
Berikut adalah beberapa tanda mengandung kembar yang mungkin berlaku jika seseorang ibu hamil itu hamil lebih daripada seorang bayi.
#1. Tanda hamil kembar berat badan naik mendadak
Tanda mengandung anak kembar yang boleh dikenal pasti adalah daripada segi berat badan ibu. Apabila berat badan meningkat hingga 5 kg di trimester pertama, itu merupakan tanda mengandung anak kembar. Malah, ukuran rahim dan jumlah darah juga meningkat lebih besar berbanding mereka yang hamil seorang bayi.
Kemudian di trimester kedua, ibu hamil janin kembar akan naik berat badan sehingga 7 ke 12 kg.
#2. Usia kandungan masih baru, tapi perut nampak besar
Tanda mengandung anak kembar juga dapat dilihat apabila perut ibu besar meskipun usia kandungan baru beberapa minggu. Barangkali ada dua janin dalam rahim ibu, ya?
Apapun ibu perlu segera lakukan imbasan ke atas kandungan supaya penjagaan yang lebih teliti dapat dilakukan.
#3. Tanda hamil kembar mual anda semakin teruk
Lebih 50% ibu hamil kembar mengalami mual di waktu pagi. Ia cenderung berlaku, berbanding ibu yang hamil tunggal.
#4. Gerakan janin lebih awal
Ramai ibu yang hamil kembar mengatakan gerakan janin lebih awal dan semakin kerap. Mungkin kerana terdapatnya dua janin, maka ibu lebih mudah rasai pergerakan bayi.
Namun begitu, menurut pakar sakit puan, gerakan yang dirasai tidak menentukan jumlah janin dalam rahim ibu.
#5. Terdapat dua degupan jantung
Tanda mengandung anak kembar juga boleh dikenal pasti ketika ibu menjalani pemeriksaan kehamilan. Setelah itu, didapati terdapat dua degupan jantung.
#6. Pemeriksaan AFP sangat tinggi
Pada trimester kedua, pemeriksaan alpha fetoprotein akan dilakukan. Ia dibuat untuk melihat sebarang kemungkinan bayi lahir cacat dan mengukur jumlah protein tertentu yang dikeluarkan jantung bayi.
Namun bila doktor mendapati hasil ujiannya tinggi, kemungkinan itu tanda mengandung anak kembar. Akan tetapi, hasil ujian AFP juga boleh jadi tanda janin mengalami masalah dalam kandungan dan doktor akan melakukan pemeriksaan USG scan untuk lebih terperinci.
#7. Penat yang melampau
Mengandung anak kembar juga membuatkan ibu rasa penat melampau. Ini salah satu tanda mengandung anak kembar yang ibu patut tahu.
Hal ini kerana, tubuh ibu akan bekerja dua kali ganda untuk memberi nutrisi dan merawat tubuh demi perkembangan janin dalam rahim ibu.
#8. Pemeriksaan USG scan
Apabila usia kehamilan sudah matang, pemeriksaan USG akan dilakukan untuk memudahkan ibu dan doktor melihat adanya janin kembar dalam kandungan itu.
#9. Peningkatan hormon HCG
Antara tanda hamil anak kembar juga apabila terjadinya peningkatan Human Chorionic Gonadotropin atau HCG yang dihasilkan dari plasenta.
#10. Faktor genetik
Kebanyakan kehamilan kembar juga terjadi apabila salah seorang daripada anda tak kira suami ataupun isteri memiliki sejarah anggota keluarga yang juga kembar. Ini menjadikan anda lebih berisiko untuk mengandung kembar.
Siapa Berpotensi Hamil Kembar?
Genetik memang memainkan peranan untuk kehamilan anak kembar. Tetapi mungkin ada faktor lain yang menyebabkan seseorang itu berpotensi mengandung kembar. Beberapa faktor boleh meningkatkan kemungkinan wanita hamil kembar. Ia termasuklah:
#1. Sejarah keluarga
Seseorang wanita itu mempunya peluang lebih tinggi untuk mendapat anak kembar sekiranya dia mempunyai sejarah keluarga kembar. Selain itu, sejarah keluarga kembar di sebelah ibu meningkatkan kemungkinan ini berbanding sejarah keluarga kembar di sebelah bapa.
Walaubagaimanapun, ini hanya berlaku sekiranya sejarah keluarga itu berlaku bukan daripada persenyawaan IVF dan sebagainya.
Menurut kajian, wanita yang merupakan kembar bukan seiras akan menghasilkan kembar dalam kira-kira satu daripada setiap 60 kelahiran. Bagi lelaki yang merupakan kembar bukan seiras, peluang untuk hamil kembar hanyalah satu dalam setiap 125 kelahiran.
Sesetengah orang percaya bahawa kembar boleh melangkau generasi, bermakna seseorang itu berpotensi mempunyai anak kembar jika salah seorang datuk dan nenek mereka ada kembar.
#2. Rawatan kesuburan
Sekiranya seseorang membuat rawatan kesuburan, mereka berpotensi mengandung kembar. Pelbagai jenis rawatan kesuburan termasuk IVF dan IUI boleh meningkatkan kemungkinan mengandung kembar dengan cara yang berbeza.
Sesetengah ubat kesuburan berfungsi dengan merangsang ovari wanita, yang kadangkala boleh menyebabkan mereka mengeluarkan lebih daripada satu telur. Jika sperma menyuburkan kedua-dua telur ini, ini boleh mengakibatkan kembar.
Persenyawaan in vitro (IVF) juga boleh meningkatkan peluang untuk mengandung anak kembar. Untuk meningkatkan kemungkinan kejayaan, profesional penjagaan kesihatan boleh meletakkan lebih daripada satu embrio ke dalam rahim. Kembar boleh berlaku jika kedua-dua embrio implan dan berkembang dengan jayanya.
Kehamilan berbilang membawa risiko tambahan, jadi profesional penjagaan kesihatan biasanya akan mengehadkan bilangan embrio yang dipindahkan ke rahim wanita untuk mengurangkan peluang kehamilan dengan kembar, kembar tiga atau lebih.
#3. Umur
Wanita yang berumur 30 tahun ke atas berkemungkinan besar mengandung anak kembar. Sebabnya ialah wanita pada usia ini lebih berkemungkinan daripada wanita muda untuk mengeluarkan lebih daripada satu telur semasa kitaran pembiakan mereka.
Jika sperma menyuburkan dua telur yang berasingan, kehamilan kembar boleh berlaku.
#4. Tinggi & berat
Sesetengah penyelidik mendakwa bahawa orang yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang lebih tinggi mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mengandung kembar.
Orang yang mempunyai BMI lebih daripada 30 sebelum pembenihan lebih berkemungkinan melahirkan anak kembar tidak seiras.
Kajian juga menunjukkan bahawa bagi orang yang berukuran 164 cm atau lebih tinggi, kemungkinan relatif untuk mendapat anak kembar adalah 1.5–2 kali lebih tinggi daripada mereka yang mempunyai ketinggian di bawah 155 cm.
Tips Mendapatkan Anak Kembar
Tidak dapat dipastikan secara jelas faktor yang membolehkan seseorang wanita itu pasti mengandung kembar. Namun ada beberpa faktor yang membolehkan anda mengandung kembar. Ia termasuklah:
- Diet – Ada kajian yang menunjukkan mereka yang makan lebih banyak produk tenusu berpotensi mengandung kembar. Ia berdasarkan teori hormon pertumbuhan yang ada pada lembu akan mempengaruhi hormon pada manusia.
- Rawatan kesuburan (IVF, IUI) – Pengambilan ubat kesuburan adalah salah satu cara yang paling biasa untuk hamil anak kembar. Biasanya ini membabitkan mereka yang tidak boleh mengandung secara semulajadi. Mereka meningkatkan kesuburan dengan merangsang pengeluaran telur. Jika lebih banyak telur dihasilkan, kemungkinan lebih daripada satu telur akan dikeluarkan semasa ovulasi juga meningkat.
Risiko Hamil Anak Kembar
Saiz rahim manusia bukan saja muat untuk menampung seorang bayi, malah juga dua orang bayi, tetapi semakin ramai, semakin sempit. Mengandung bayi kembar berbilang meningkatkan risiko komplikasi kelahiran, malah boleh membahayakan nyawa ibu serta anak-anak.
Antara risiko mengandung kembar berbilang adalah:
- Keguguran awal atau lewat sewaktu hamil
- Ibu mendapat diabetes gestasi
- Kematian bayi/bayi-bayi dalam kandungan disebabkan diabetes gestasi
- Hipertensi disebabkan kehamilan
- Risiko kematian bayi dalam bulan pertama selepas kelahiran adalah lima kali ganda berbanding kelahiran biasa. Antara sebab kematian ialah bayi tidak cukup bulan, bayi bersaiz kecil, berat badan terlalu rendah dan kecacatan termasuk palsi serebum terutamanya dalam kalangan bayi tidak cukup bulan.
- Ibu hamil boleh mendapat anemia atau haemoglobin rendah sewaktu mengandung. Hemoglobin merupakan alat pengangkutan untuk oksigen dalam badan. Oksigen yang rendah akan menjejaskan pertumbuhan bayi-bayi dalam rahim.
- Ibu mengalami pendarahan sewaktu melahirkan atau sebelum melahirkan.
- Ibu mengalami gangguan emosi. Proses IVF menyebabkan emosi terganggu. Jika berjaya hamil, tetapi bayi tidak cukup bulan dan meninggal, dikhuatiri ibu akan menghadapi kemurungan.
- Pemulihan selepas melahirkan bayi kembar berbilang adalah lemah dan perlahan menyebabkan kemurungan selepas bersalin.
Bila lihat semua tanda-tanda ini, sudah tentu anda yang turut mempunyai naluri ibu mengandung kembar yang cukup tinggi ini akan terus mengiyakannya! Tentu teruja kan bila tahu sedang hamil anak kembar? Lepas ini banyaklah perkara yang perlu dilakukan untuk menyambut kehadiran bayi kembar anda. Jadi didoakan semoga semuanya baik-baik sahaja untuk ibu dan juga bayi.
Semoga bermanfaat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Dapat Firasat Hamil Kembar? Ini 7 Tanda Yang Ibu Perlu Alert Sebagai Persediaan Awal
Baca juga: Awal Scan Ingatkan Kembar, Doktor Terkejut Bayi Lahir Kepala Dua Pada Satu Badan
Baca juga: Wanita Hamil Kembar 4, Lahirkan Dua Bayi Lebih Awal, Dua Lagi Masih Dalam Kandungan
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!