Hidupkan Solat Tarawih Di Rumah, Suami Isteri Makin Sayang & Anak Jadi Lebih Disiplin
Kelebihan solat tarawih sepanjang Ramadhan bukan sahaja memperoleh ganjaran pahala, tetapi turut menjadikan hubungan suami isteri erat dan semakin bahagia.
Bulan Ramadhan adalah bulan istimewa yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kerana di dalamnya terdapat pelbagai keistimewaan seperti dijanjikan pahala berlipat kali ganda, kelebihan solat tarawih bersama keluarga serta menghidupkan amalan bersedekah.
Meskipun pada tahun ini, sambutan bulan puasa sedikit terhad ekoran pandemik Covid-19 yang menyerang dunia, namun ia sebenarnya mendatangkan hikmah tersembunyi dalam hubungan kekeluargaan.
Kelebihan solat tarawih bersama isteri
Jika sebelum ini sudah menjadi kebiasaan anda untuk menunaikan solat tarawih di masjid atau surau, tetapi tahun ini hanya dibolehkan melakukannya di rumah sahaja bersama isteri dan anak-anak.
Antara kelebihan solat tarawih berjemaah ialah:
#1. Suami dan isteri mempunyai waktu berdua lebih lama
Jika sebelum ini anda dan pasangan begitu sibuk dengan tugasan masing-masing, waktu inilah yang paling sesuai untuk diluangkan bersama-sama. Momen paling indah bagi seorang isteri adalah suami mengajaknya untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Anda juga berasa lebih dekat denganNya dan diberi peluang untuk memohon doa yang baik-baik sahaja agar hubungan rumah tangga kekal hingga ke syurga.
#2. Meningkatkan perasaan kasih sayang
Setelah melakukan solat berjemaah, ia pasti akan diiringi dengan memohon doa bersama. Ketika inilah ketua keluarga mampu menyebutkan harapan untuk kesihatan dan kebaikan seluruh ahli keluarga.
Setiap baris doa yang diminta oleh suami tentu sahaja akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Anda juga akan berasa lebih tenang dan semakin menghargai pasangan antara satu sama lain.
Bukan itu sahaja, ambil peluang ini untuk saling memohon maaf sekiranya ada melakukan salah silap sepanjang siang hari dan lupakan segala persengketaan yang telah berlaku.
#3. Menjadikan peringatan untuk isteri
Tugas seorang makmum adalah hanya mengikuti imam. Mengajak isteri melakukan solat tarawih berjemaah mempunyai manfaat sebagai peringatan kepada anda bahawa perlu sentiasa menghormati suami sebagai ketua dalam keluarga.
Bukan itu sahaja, amalan solat berjemaah ini turut memberikan keinsafan diri kepada anda serta pasangan akan kepentingan menjaga hubungan baik dengan sang pencipta.
#4. Suami menyedari tanggungjawab dalam keluarga
Jika pada siang hari suami sibuk dengan urusan kerja sehingga perlu melakukan overtime untuk menyara keperluan anak-anak, luangkan sedikit masa selepas berbuka untuk melakukan solat sunat tarawih.
Kelebihan solat tarawih ini mampu membuatkan anda lebih dekat dengan isteri dan anak kerana mereka menyedari kemampuan diri sebagai seorang imam yang baik. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menyampaikan sedikit tazkirah atau kisah-kisah Nabi terdahulu untuk mengambil iktibar agar tidak melakukan dosa-dosa besar.
#5. Menjadikan diri lebih berdisiplin
Usai sahaja waktu berbuka, pastinya perut akan berasa lebih kenyang sehingga anda dan anak-anak ingin santai di atas sofa sahaja, kan?
Namun sekiranya pada awal Ramadhan, ketua keluarga mengingatkan kepada isteri dan anak tersayang agar menikmati hidangan tanpa berlebihan supaya lebih khusyuk melakukan ibadat tarawih dapat menjadikan mereka lebih berdisiplin.
Justeru, tidak hairanlah selesai sahaja waktu berbuka, anak-anak sudah teruja menunggu si ayah dan menghamparkan sejadah untuk solat bersama-sama kerana mereka sudah dibiasakan dengan tabiat ini.
Ramai yang mengabaikan solat berjemaah
Solat adalah tunggak dan tunjang ibadah dalam semua kebaikan Ramadhan termasuklah berpuasa. Anda boleh menilai sendiri berapa ramai golongan ibu ayah yang mengutamakan anak-anak bangun sahur dan puasa, namun mengabaikan kepentingan solat berjemaah di rumah.
Dengan menghidupkan amalan-amalan sunat di dalam rumah, ia memberikan pelbagai rahmat untuk seisi keluarga termasuklah kesihatan fizikal, mental dan meningkatkan hubungan suami isteri.
Justeru, tidak hairanlah jika anda berasa lebih baik dan tenang dalam mengharungi setiap dugaan sepanjang tempoh perintah kawalan ini kerana iman dalam diri sudah semakin bertambah.
Walaupun apa perkara yang dilakukan sekalipun, ia amat bergantung kepada niat. Jika anda ikhlas melakukannya demi mendapatkan keredhaan Ilahi, pasti dapat merasai kemanisan dalam setiap perjalanan kehidupan.
Sumber: Popmama
Kredit foto: Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: