Bayi & Muzik, Ini Sebab Utama Kenapa Anda Perlu Kenalkan Anak Anda dengan Muzik

Anak anda boleh dapat banyak manfaat dengan mendengar lagu? Jom ketahui apakah manfaat yang boleh anda dan anak anda dapati disini!

Dari saat mula anda memperkenalkan bayi anda dengan lagu sewaktu berada dalam kandungan sehinggalah ke saat anda mendodoikan anak anda tidur dengan lagu atau berselawat. Segalanya bermula dengan nada atau muzik.

Setiap bayi dilahirkan untuk menyukai muzik dan pada kebiasaannya, bayi atau kanak-kanak akan memberi respons apabila mendengar alunan lagu.

Tidak percaya? Cuba lihat kanak-kanak lain setiap kali mereka mendengar alunan lagu kegemaran mereka dimainkan? Riuh satu rumah dengan telatah mereka berjoget dan menyanyi. Ah, riang hati rasanya.

Mendengar muzik sememangnya menyeronokkan. Tapi tahukah anda terdapat banyak manfaat yang anak anda peroleh sewaktu mendengarnya? Bukan sekadar dengar kosong sahaja, tetapi kalau ibu-ibu nak tahu, muzik sebenarnya boleh membantu perkembangan minda anak anda.

Berminat nak tahu lebih lanjut? Jom kita baca manfaat dan kenapa anda perlu kenalkan anak anda dengan muzik.

Mengapa harus anda memperkenalkan anak anda dengan muzik?

Bayi & Muzik, Ini Sebab Utama Kenapa Anda Perlu Kenalkan Anak Anda dengan Muzik

Kredit: Pexels

#1 Membantu untuk meningkatkan mood bayi

Bayi anda nampak tak ceria dengan muka masam sahaja? Apa kata anda bagi anak anda dengar lagu?

Kalau kita yang dewasa ini pun menyukai lagu dan alunan irama, apatah lagi kanak-kanak! Muzik dan alunan lagu berupaya membuatkan bayi kita bertambah ceria dan gembira! Daripada mood yang tidak baik kepada mood yang tenang. Kalau anak lihat anak anda tertawa riang dan gembira apabila mendengar sesebuah lagu, ia bermaksud anak anda menyukai dan berasa seronok mendengar lagu tersebut.

Apa jenis lagu yang boleh si ibu mainkan? Si ibu boleh memainkan lagu yang sesuai untuk bayi, sesuatu yang rancak dan juga sesuatu yang berentak perlahan apabila bayi ingin tidur. Tapi, janganlah mainkan lagu terlalu kuat ya kerana anak anda masih kecil.

#2 Muzik merapatkan hubungan antara anak dan ibu

Percaya atau tidak tetapi muzik boleh menambahkan lagi rasa cinta anak kepada si ibu. Ini adalah masa terbaik untuk si ibu berkaraoke dan menari bersama anak. Angkat anak dan gerakkan anak anda mengikut irama muzik dan mari menari bersamanya! Ini akan merapatkan lagi hubungan antara anak dan ibu dan mewujudkan satu perasaan selesa dan gembira untuk anak anda.

Anak anda akan memimik pergerakan anda dan memerhatikan anda apabila anda menyanyi. Sekali gus, anak anda boleh belajar beberapa perkara baru seperti gerakan dan sekaligus, memperbaiki kawalan motor anak anda. Untuk pemilihan lagu, cuba pilih lagu-lagu seperti nursery rhyme atau lagu kanak-kanak seperti dalam kartun Didi & Friends yang mudah diikuti oleh anak anda. Lirik lagu yang mudah-mudah sahaja! 

#3 Muzik membantu anak anda memproses ucapan baru dan bunyi

Bayi & Muzik, Ini Sebab Utama Kenapa Anda Perlu Kenalkan Anak Anda dengan Muzik

Kredit: Pexels

Menurut kajian daripada pakar saintis di University of Washington’s Institute untuk Learning & Brain Sciences (I-LABS), dapatan ini telah menunjukkan bahawa muzik membantu bayi untuk memproses ucapan baru dan mengenalpasti bunyi. 

Ini turut menunjukkan apabila bayi didedahkan dengan muzik pada peringkat awal, ianya sangat membantu dalam perkembangan kognitif otak bayi apabila mereka mendengar muzik. Ia baik untuk perkembangan otak dan minda bayi apabila mereka mula belajar untuk menangkap bunyi. Malah, ia turut membantu anak anda untuk mengenali dan mengenal pasti pola rentak dalam lagu. Ini sebagai permulaan untuk anak anda dapat mengenal bunyi yang boleh membawa makna dan seterusnya membantu anak anda untuk berkomunikasi. 

#4 Muzik membantu bayi membina koordinasi tangan dan daya tumpu

Bayi & Muzik, Ini Sebab Utama Kenapa Anda Perlu Kenalkan Anak Anda dengan Muzik

Kredit: Pexels

Walaupun anak anda masih tidak memahami maksud serta makna perkataan ataupun lirik lagu, tidak mengapa! Ini kerana anak anda masih boleh melatih pergerakan tangan dan koordinasinya menerusi gerakan daripada lagu. Budak-budak kecil memang mudah tertarik dengan lagu. Anda boleh sahaja melatih dan menggerakkan tangan anda anda untuk mengikut rentak lagu.

Selain itu, muzik boleh meningkatkan daya tumpu anak anda. Apabila anak anda mendengar lagu, ia akan membantu anak anda bertenang dan meningkatkan fokus. Apabila anak anda berasa relaks, barulah anak anda boleh menumpukan perhatian. Sewaktu muzik dipasang, anak anda akan menjadi lebih peka dengan lagu yang dipasang. Lagi-lagi kalau anda yang menari mengikut rentak. Memang anak anda akan tertumpu kepada anak sahaja. 

Aktiviti untuk ibu dan anak

  • Bermain bersama anak dengan menggunakan alat permainan kanak-kanak yang mempunyai muzik.
  • Gunakan alat permainan lagu yang mempunyai bunyi berbeza-beza untuk bayi mengenal jenis-jenis bunyi.
  • Penggunaan iPad dan app berkaitan boleh membantu anak mengenal jenis bunyi.
  • Ajak anak menari dan menyanyi (tepuk tangan, gerakkan badan anak).
  • Sentiasa beri sokongan kepada anak dan galakkan anak untuk respons pada bunyi ataupun lagu.

Sumber: Unicef.org

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 5 jenis muzik yang akan buat bayi anda tidur semudah ABC!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!