Seawal Bilakah Anak Yang Dijangkiti Covid-19 Boleh Ambil Vaksin? Ini Jawapan Doktor

Kepentingan vaksin Covid-19 terhadap kanak-kanak dikatakan mampu merendahkan risiko mendapat sindrom keradangan pelbagai sistem (MISC).

Tidak hanya orang dewasa, kanak-kanak juga antara golongan yang berisiko tinggi sekiranya dijangkiti dengan virus Covid-19. Meskipun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan kepentingan vaksin kepada kanak-kanak, namun masih ada sesetengah ibu ayah enggan memberikannya dengan alasan bimbang kesan sampingan vaksin tersebut.

Apa yang boleh anda baca dalam artikel ini?

  • Kepentingan vaksin Covid-19: bilakah waktu sesuai untuk anak yang sudah dijangkiti terima suntikan ini?
  • Kepentingan vaksin Covid-19, ibu ayah perlu bawa anak dapatkan suntikan
  • Kesan jangka panjang (long covid) terhadap kanak-kanak

Sebenarnya tahukah anda bahawa kesan lagi besar boleh berlaku jika anak-anak yang tidak divaksin ini sekiranya dijangkiti Covid-19? Ia boleh meragut nyawa mereka!

Kepentingan vaksin Covid-19: bilakah waktu sesuai untuk anak yang sudah dijangkiti terima suntikan ini?

vaksin covid-19 kanak-kanak

foto: astro awani

Menurut perkongsian oleh seorang petugas perubatan di Facebook miliknya, Hana Hadzrami, dia menerima banyak persoalan daripada ibu ayah mengenai seawal manakah kanak-kanak yang baru dijangkiti Covid boleh ambil vaksinasi.

Maklumlah ramai betul kanak-kanak telah dijangkiti Covid-19 sekarang ini berbanding dengan orang dewasa.

Jawapannya ialah bergantung.

Jika anak mengalami simptom ringan iaitu (kategori 1 dan 2), maka boleh ambil vaksinasi sebaik sahaja tamat kuarantin dan sudah sihat (mana-mana satu yang lebih lama).

Sekiranya anda mendapat MISC iaitu kategori bahaya, maka vaksinasi hanya diberikan selepas tamat tempoh 90 hari selepas diagnosis ataupun setelah sembuh (mana-mana satu yang lebih lama).

Yang anak belum dijangkiti Covid-19, cepat-cepatlah ambil vaksin. Sekurang-kurangnya ibu ayah boleh elakkan anak daripada terkena sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC) yang boleh menyebabkan kematian jika dijangkiti Covid-19.

Usah diharapkan sangat imuniti semula jadi selepas dijangkiti Covid. Kena ingat ramai pesakit yang terkena jangkitan Covid berulang 2 hingga 3 kali ya!

Yang tak nak berikan anak vaksin tu duduk diam-diam tak payah menyibuk komen sini.

Kepentingan vaksin Covid-19, ibu ayah perlu bawa anak dapatkan suntikan

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata kanak-kanak yang pernah dijangkiti Covid-19 dan pulih sepenuhnya perlu melengkapkan vaksinasi.

covid kanak-kanak

”Kita dapati meskipun secara umum jangkitan ini adalah ringan, besar kemungkinan boleh sembuh sepenuhnya untuk tempoh tertentu.”

”Walau bagaimanapun ada sebahagian kes menyebabkan keadaan tidak dijangka, kanak-kanak terdedah dengan risiko berlakunya radang dalam pelbagai organ (MISC). Ia boleh mengakibatkan komplikasi serius dan meragut nyawa” jelasnya.

Kesan jangka panjang (long covid) terhadap kanak-kanak

Beliau mengulas tentang keadaan semasa membabitkan kesan jangka panjang (long covid) yang dialami oleh sesetengah kanak-kanak akibat dijangkiti wabak itu.

Sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) akibat jangkitan Covid-19.

Sehingga kini, tujuh kes kematian kanak-kanak disebabkan oleh MISC susulan jangkitan Covid-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat risiko Long-Covid (sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan).

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatalogi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin mengatakan bahawa ibu ayah tidak perlu bimbang kesan selepas divaksin kerana vaksin yang diberikan sudah melepasi kajian dan memiliki peratus keberkesanan tinggi.

Manakala Profesor Dr Amaluddin Ahmad menjelaskan, ramai ibu ayah rasa bimbang anak-anak yang divaksin mendapat sindrom keradangan pelbagai sistem (MISC).

long covid kanak-kanak

”Ada kemungkinan anak yang mengambil vaksin mengalami gejala MISC, namun jika anak telah divaksin ini mendapat jangkitan Covid-19, mereka berdepan risiko 37 kali lebih rendah untuk mengalami kesan kesihatan tersebut.” katanya.

Tambahnya lagi, dos yang diberikan kepada kanak-kanak pula hanyalah satu pertiga daripada dos orang dewasa, yang mana ia adalah rendah.

”Kanak-kanak yang kembali ke sekolah perlu dilindungi dengan vaksin. Guru juga perlu memastikan tidak semua murid keluar rehat secara serentak kerana ketika makan, mereka menanggalkan pelitup muka.” katanya.

Justeru ibu ayah hendaklah mendapatkan maklumat yang sahih dan tidak terpengaruh dengan ‘gosip liar’ mengenai kepentingan vaksin Covid-19 terhadap kanak-kanak.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Anak 3 Tahun Dijangkiti Covid-19 Buat Kali Ketiga, Ibu Menyesal Tak Sudah Bawa Pergi Bercuti

Baca juga: Nak Vaksin Anak Ke Tak? Doktor Tampil Perjelaskan INFO Sebenar Ibu Ayah Perlu Tahu

Baca juga: Terima Suntikan Vaksin Ketika Hamil, Wanita Lahirkan Bayi Dengan Antibodi Covid-19

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!