Kepit Pin Tudung Di Celah Bibir, Wanita Ini Tertelan Sehingga Masuk Ke Paru-Paru
Tahukah anda bahawa cara pemakaian kerongsang tudung yang dikepit pada celah bibir sangat bahaya? Ia boleh membawa kepada risiko maut jika tertelan!
Setiap wanita yang mengenakan tudung atau selendang pasti akan memiliki pelbagai jenis dan saiz kerongsang tudung bagi menggayakan dengan kemas dan selesa.
Namun, tabiat kebanyakan para wanita masa kini akan meletakkan jarum peniti atau kerongsang di bibir atau menggigitnya dengan gigi bagi memudahkan mereka untuk menggunakannya dengan cepat.
Bahaya kerongsang tudung
Namun, tahukah anda bahawa cara mengepit kerongsang tudung pada bahagian mulut boleh membahayakan nyawa diri sendiri atau orang lain?
Menurut perkongsian Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan di laman Facebook UKMMC, terdapat kes telah dicatatkan iaitu seorang wanita terpaksa melalui prosedur rigid bronchoscopy bagi mengeluarkan sebatang pin tudung pada bahagian kiri paru-parunya.
Kejadian dikatakan berlaku adalah disebabkan oleh wanita berkenaan telah mengepit pin tudung di bibir ketika dirinya hendak mengenakan tudung.
Menurut Dr. Kamarul, lazimnya kejadian ini berlaku disebabkan oleh seseorang itu secara tidak sengaja telah terbatuk, terbersin, atau tarik nafas yang membuatkan pin tudung berkenaan terlucut dari bibir ketika menggayakan tudung.
Tambahnya lagi, kes sebegini bukanlah kali pertama telah terjadi kerana rata-rata wanita turut melakukan perkara yang sama ketika mereka ingin memakai tudung, lebih-lebih memakai selendang dengan pelbagai gaya memerlukan banyak pin dan jarum peniti.
Oleh hal yang demikian, anda perlu mengubah tabiat ini dengan sepenuhnya. Berhenti kepit pin tudung di bibir lagi kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Cara menyimpan barang tajam di rumah
#1. Susun barangan tajam dalam laci berkunci
Pisau, garpu atau sebarang objek tajam biarpun dianggap biasa dan tidak merbahaya oleh orang dewasa, boleh berubah menjadi objek mencederakan anak-anak yang tidak memahami bahaya yang menanti mereka.
Semua objek tajam perlu disimpan dalam laci berkunci ataupun jika tidak ada†tempat simpanan khas, boleh disimpan di tempat lebih tinggi dan tidak mampu dicapai oleh anak.
#2. Manfaatkan kabinet rumah
Bagi sebarang objek yang dianggap bahaya untuk anak-anak kecil, pastikan anda meletakkannya dalam kabinet rumah dan menguncinya.
Bukan itu sahaja, pastikan ketinggian kabinet yang menempatkan barang tajam di dalam rumah tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak dengan mudah.
Sebagai contoh, gelas atau pinggan kaca elakkan menjadi ‘pameran’ di atas meja makan kerana anak-anak mungkin boleh memanjat untuk mencapainya dengan menggunakan kerusi sedia ada.
#3. Masukkan objek kecil dalam bekas khas
Jangan tidak tahu, objek kecil adalah sangat bahaya bagi anak yang masih kecil kerana ia boleh menyebabkan mereka tercekik atau mengalami kecederaan.
Oleh itu, anda perlu mendapatkan bekas khas yang boleh ditutup dengan rapat agar ia tidak tercicir ke merata-rata tempat.
Jangan salahkan anak jika mereka menjumpai barangan kecil yang berbahaya berkenaan seperti pin tudung, pengepit kuku kanak-kanak atau jarum peniti kerana kadang-kadang anda sendiri terlupa untuk mengumpulkan kesemuanya ke dalam bekas tertutup.
Mata kasar anda mungkin tidak dapat melihat objek yang jatuh di atas lantai, namun penglihatan anak-anak cukup tajam kerana mereka mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi.
#4. Elakkan menggunakan alas meja
Jika anda meletakkan gelas, pisau atau makanan dan minuman yang panas jauh daripada hujung meja dan kaunter, elakkan dari mengenakan sebarang pelapik meja atau alas pinggan kerana anak boleh menariknya sekali dengan barang bahaya yang berada di atasnya.
Sangat penting untuk anda memeriksa keselamatan di rumah. Selain itu pastikan penjaga, pengasuh atau orang gaji di rumah anda sedar akan perkara-perkara yang berbahaya untuk anak kesayangan anda.
#4. Balut barangan tajam
Sekiranya barang tajam tidak dipakai pada setiap masa, pastikan anda membalut sahaja objek berkenaan sebagai langkah keselamatan.
Hal ini juga mampu mengelakkan sesiapa sahaja yang menjumpai objek tajam ini dan boleh memberikan kecederaan yang teruk kepada mereka.
Bayangkan jika sekelip mata anak menjumpai barangan bahaya ini tanpa anda sedari, ia sekaligus membuatkan anak tertarik untuk memegangnya kerana menganggap ia sebagai permainan.
Oleh itu, luangkan sedikit masa untuk membalut barangan tajam yang terdapat di dalam rumah agar dapat menghindarkan diri dari sebarang masalah.
#5. Alihkan barangan berbahaya
Hal ini menjadi tanggungjawab anda bersama suami untuk mengalihkan segala barangan yang berbahaya kepada anak kecil dari bilik dan ruang yang sering anak bermain.
Gunting, pemanas air,atau produk pencuci adalah antara barangan yang perlu dijauhkan dari pandangan anak agar mereka tidak tertarik terhadapnya.
Meskipun anda berasa rumah kediaman anda cukup selamat, namun perlu dipraktikkan juga langkah-langkah keselamatan dengan sentiasa mengawasi setiap pergerakan anak sejak anak mula pandai merangkak lagi.
Sumber: Free Malaysia Today
Gambar hanya sekadar hiasan, kredit foto: Tajria
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: