Anak Suka Cakap Kasar & Kotor, Ibu Ayah Jangan Salahkan Anak, Tengok Dulu Sekitar Mereka
Anak mula mengeluarkan bercakap kasar dan negatif, jangan ambil ringan aspek komunikasi keluarga ini agar ia tidak sebati dalam diri anak-anak!
Sedarkah anda bahawa komunikasi keluarga atau orang sekeliling anak akan memberi pengaruh terhadap gaya pertuturan mereka?
Bagi anak yang baru belajar, mereka tidak hanya bercakap perkataan yang baik sahaja, malah mereka akan mengikuti perkataan negatif.
Hal ini kerana pada usia mereka yang terlalu kecil tidak mampu untuk membezakan perkataan yang sopan atau kurang sopan.
Pengulangan kata yang sama membolehkan anak mengingati dan mengucapkan perkara yang sama seperti yang didengar.
Cara komunikasi keluarga yang berkesan
Perjalanan membesarkan anak merupakan detik yang paling tidak dapat dilupakan bagi ibu ayah. Ditatang bagai minyak yang penuh dari bayi sehinggalah mereka menjadi dewasa.
Waktu yang terluang pula banyak dipenuhi dengan aktiviti bersama keluarga sama ada mencuci halaman rumah, menyediakan makanan kegemaran dan juga bergurau senda dengan anak-anak.
Pastinya proses komunikasi keluarga dengan anak menjadi hal yang cukup mengujakan dengan telatah anak yang membesar dengan gembira.
#1. Kata-kata negatif & buruk
Kata-kata negatif perlu dielakkan dari anak kecil. Meskipun anda mampu mengawalnya ketika anak berada di rumah, tetapi ia menjadi tidak mustahil untuk anak terdedah dengan perkataan ini ketika bersama orang lain.
Pastinya ia menjadi hal yang cukup mengejutkan kerana mereka terpengaruh dengan cara kawan-kawan sebaya atau ahli keluarga lain bercakap.
Tidak hanya itu paparan televisyen, persekitaran di rumah pengasuh atau siaran radio juga menyebabkan anak menerima sahaja apa yang didengar oleh mereka.
#2. Kebebasan berkata-kata
Apabila anak buat pertama kali mengeluarkan kata, ibu ayah pasti akan berasa cukup teruja. Makin mereka meningkat usia, semakin bertambah perbendaharaan kata yang dipelajari.
Jika anda menyedari bahawa anak seolah-olah meniru setiap komunikasi keluarga anda dan pasangan, berikan sahaja kebebasan untuk anak belajar bercakap selagi ia tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.
Untuk permulaan, mungkin anda tidak berasa selesa dan agak bimbang, tapi lama kelamaan anda akan baik sahaja kerana anak memerlukan sedikit masa untuk menyebuat sesuatu perkataan.
#3. Bantu tingkatkan kata baharu
Dalam mengajarkan anak bertutur perkataan yang baik, ibu ayah antara orang yang paling dekat dan perlu sama-sama memainkan peranan.
Menyedari anak akan meniru setiap tindakan serta percakapan anda, luangkan sedikit masa untuk mendidik anak mengenali perkataan baru bagi menambahkan lagi bilangan katanya.
Tidak salah untuk anda melayan anak dengan berbual dengan mereka. Boleh juga mengajarkan mereka dengan penggunaan bahasa asing seperti Inggeris dan Mandarin.
#4. Komunikasi dengan jelas
Perkara normal yang dihadapi oleh anak kecil adalah mereka pelat ketika berkomunikasi. Penyebutan perkataan yang baru menjadi sedikit sukar pada permulaannya kerana anak tidak terbiasa.
Jika anda mendapati anak menghadapi kesukaran ini, pastikan anda membantunya untuk bercakap dengan betul dan jelas.
Tunjukkan pergerakan mulut anda yang perlu mereka turuti dan minta anak menyebutkannya dengan baik.
#5. Terangkan sebab & akibat
Jika ibu ayah berhadapan dengan situasi anak pulang dari taska dan secara tiba-tiba percakapannya mengandungi perkataan yang tidak ‘sedap didengar’, jangan terus memukul anak.
Ambil langkah untuk membuang perkataan yang tidak baik dalam diri anak dengan cara anda berinteraksi dengan mereka.
Dekatkan diri dengan anak dan jelaskan pada mereka bahawa percakapan sedemikian tidak baik. Ibu ayah juga perlu memainkan sentuhan emosi terhadap anak dengan menceritakan akibat jika mereka mengeluarkan kata-kata tersebut.
Dengan ini, mereka pastinya akan berasa serik dan tidak akan mengulangi lagi perkataan yang tidak baik dalam pertuturan seharian.
#6. Berikan pujian terhadap anak
Ramai ibu ayah tidak sedar akan kepentingan memberi pujian kepada anak untuk setiap perkara yang mereka lakukan.
Sebenarnya, pujian yang berunsur kata-kata positif mampu merangsang perkembangan si manja untuk bersemangat mempelajari sesuatu yang baru.
Jika anda sentiasa mewujudkan suasana persekitaran yang positif untuk anak kecil, pastinya mereka juga akan berkelakuan baik dengan menuturkan perkara yang positif juga.
Contohnya, jika anak mengucapkan terima kasih, anda boleh memuji mereka dengan ‘’Bagusnya anak kesayangan ibu. Sudah pandai ucap terima kasih dekat ibu.’’
Kata-kata dorongan kepada si kecil juga mampu mendidik mereka untuk menjadi anak yang lebih baik.
Jika anak terbiasa mengungkapkan kata yang sopan ketika bersama ibu ayah, semestinya nanti apabila bersama dengan orang lain, mereka turut bertindak perkara yang sama.
Oleh hal yang demikian, ibu ayah perlu mengawal persekitaran anak dan cara anda berkomunikasi di hadapan mereka bagi mengelakkan perkataan ini sebati dengan diri anak.
Sumber: Pa&Ma
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: