Kes Baru Mpox (Cacar Monyet) Clade II Dikesan di Malaysia, Pesakit Tiada Sejarah Perjalanan Ke Luar Negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan pesakit daripada 58 kes disyaki monkey pox telah disahkan positif mpox varian clade II.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat satu kes baharu monkey pox atau cacar monyet yang dilaporkan di Malaysia. Perkara itu telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan KKM pada Selasa lalu, pesakit adalah seorang warganegara Malaysia yang mula menunjukkan gejala seperti demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September. Sehari kemudian, ruam mula muncul pada badannya.

Apa yang mengejutkan, pesakit ini tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.

“Pesakit kini sedang menjalani isolasi dan keadaannya dilaporkan stabil. KKM sedang mengenal pasti semua kontak rapat pesakit dan akan memantau kesihatan mereka mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat.

Untuk tahun ini, daripada 58 kes disyaki monkey pox (mpox) yang telah dirujuk kepada KKM, hanya satu kes yang telah dilaporkan.

Kes tersebut telah disahkan positif mpox clade II pada 16 September 2024.

“Semua kes-kes lain yang dilaporkan sebelum ini melibatkan aktiviti berisiko tinggi dan semua pesakit telah pulih tanpa kematian dilaporkan,” jelas KKM.

Bagi menangani situasi ini, KKM telah mengaktifkan Bilik Gerakan Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan sejak 16 Ogos lalu.

“CPRC Kebangsaan terus memantau perkembangan mpox dan menyelaraskan tindakan kesiapsiagaan serta respons yang diperlukan,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Datuk Dr. Muhammad Radzi turut mengingatkan bahawa orang ramai boleh mengambil beberapa langkah berjaga-jaga.

Antaranya:

  1. Individu berisiko tinggi yang bergejala mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam/lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti Kesihatan terdekat.
  2. Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual
  3. Amalkan kawalan Kesihatan kendiri seperti mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand santiser).

Pengamal perubatan di barisan hadapan juga diminta untuk terus peka terhadap individu yang bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan.

Untuk info, mpox telah diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam pada peringkat antarabangsa kali kedua pada 14 Ogos berikutan penularan pantas varian klad 1b dari Republik Demokratik Congo dan negara-negara jiran di Afrika.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Cacar Monyet Pada Kanak-Kanak, Ibu Ayah Perhatikan Gejala Awal Mpox Elak Anak Dijangkiti

Baca juga: Cacar Monyet (Monkeypox/Mpox): Apa Itu Cacar Monyet, Punca, Gejala & Cara Pencegahan

Baca juga: Kebenaran Tentang Cacar Air: Mitos & Fakta

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!