Perbezaan Taska Dan Tadika Untuk Anak, Ini Info Lengkap Bagi Mengelakkan Ibu Ayah Keliru
Taska dan tadika ada bezanya. Bagi anda yang baru menjadi ibu ayah, pastinya merancang untuk hantar anak ke taska sebelum pergi kerja, kan?
Tidak dinafikan bahawa anak kecil pada zaman kini terdedah dengan pelbagai maklumat dan didikan yang diperoleh melalui hujung jari sahaja.
Walau bagaimanapun ada segelintir ibu ayah mengaku bahawa mereka berasa keliru dengan istilah tadika, taska, nursery dan pusat jagaan kanak-kanak. Adakah ia sama atau berbeza?
Kepentingan pendidikan awal kanak kanak, ini perbezaan taska dan tadika yang perlu ibu ayah tahu
Pendidikan awal kanak kanak adalah pendidikan tidak rasmi untuk anak kecil di bawah umur 6 tahun. Di Malaysia, terdapat dua jenis pendidikan awal kanak kanak yang bertujuan untuk menyiapkan anak kecil dengan pengetahuan asas sebelum memulakan pendidikan rasmi apabila masuk Tahun 1 di sekolah.
Pendidikan awal kanak-kanak tersebut adalah:
- Taska, nurseri atau pusat penjagaan
- Tadika
Apakah perbezaan kedua-dua pendidikan awal ini?
1 -Taska/Nursery/Pusat penjagaan kanak-kanak
- “Taska” adalah kata singkat untuk taman asuhan kanak-kanak.
- Maksud taska adalah mana-mana premis yang menerima masuk empat orang atau lebih bayi berusia bawah empat tahun yang dijaga dalam satu isi rumah dan dibayar dengan upah.
- Kebiasaannya, aktiviti taska diatur mengikut kesesuaian usia si manja bagi merangsang daya sensori, mengembangkan kemahiran motor dan meningkatkan keupayaan bercakap
- Mungkin menyediakan aktiviti atau program yang sesuai untuk kanak-kanak disamping penjagaan biasa.
- Taska di rumah: kurang dari 10 kanak-kanak. Taska di pusat: 10 atau lebih kanak-kanak.
- Semua penjaga kanak-kanak wajib menjalankan kursus 10 hari (Kursus Asuhan Kanak-Kanak Asas, KAAK) yang ditentukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Setiap pusat penjagaan kanak-kanak di Malaysia mesti didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MWFCD).
MWFCD bertanggungjawab ke atas kelulusan dan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak di Malaysia. JKM pula berfungsi sebagai pengawal dan penyelaras utama program penjagaan kanak-kanak dan pendidikan awal (ECCE ).
Walaubagaimanapun, tiada garis panduan kurikulum khusus untuk mereka yang menyediakan perkhimatan ini.
Oleh itu, ia adalah sangat penting ibu bapa selidik dahulu dan jangan terburu-buru apabila memilih pusat jagaan kanak-kanak untuk anak.
2 – Tadika/Kindergarten/Preschool
- “Tadika” adalah kata singkat untuk taman didikan kanak-kanak
- Ia juga dikenali sebagai kindergarten atau preschool dalam Bahasa Inggeris.
- Maksud tadika adalah mana-mana premis yang menerima masuk lebih dari empat orang kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun.
- Menyediakan aktiviti pembelajaran akademik yang berasaskan mata pelajaran.
- Latihan tadika memberi peluang untuk kanak-kanak belajar berkomunikasi, bersosial dan pelbagai aktiviti yang positif.
- Tiada sekatan jenis bahasa yang digunakan; Bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil.
- Bahasa kebangsaan mesti diajar sebagai subjek.
- Dijalankan di pusat: 10 atau lebih kanak-kanak.
- Semua guru yang mengajar di prasekolah dilatih dan disahkan dengan sekurang-kurangnya diploma dalam bidang Perguruan. Kebanyakan mereka mempunyai ijazah atau sarjana dalam pendidikan awal kanak-kanak.
- Mungkin juga menyediakan perkhidmatan pusat jagaan harian terutama untuk kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang bekerja
Tadika, kindergarten dan preschool adalah di bawah jagaan 3 kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; dan Jabatan Perpaduan Negara.
Pada tahun 2003, KPM telahpun menetapkan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang perlu diikut oleh semua sekolah prasekolah.
Kurikulum ini bertujuan untuk membangunkan kemahiran sosial, intelek, fizikal, rohani dan nilai estetik kanak-kanak. Program tambahan yang ditawarkan oleh prasekolah mesti diluluskan oleh KPM terlebih dahulu.
Tadika KEMAS menjadi pilihan kebanyakan ibu ayah yang kurang berkemampuan
Ramai masyarakat memandang rendah pada tahap kemampuan dan pembelajaran di tadika KEMAS.
Tapi bagi mereka yang kurang berkemampuan, tadika Kemas adalah pilihan terbaik kerana kos pembelajaran teramat murah.
Apatah lagi, kebanyakkan guru guru tadika kemas juga mempunyai pengalaman mendalam dan perlu menyertai kursus Guru Tadika KEMAS sebelum dibenarkan mengajar.
Program yang disediakan memberi peluang pendidikan awal kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun berkonsepkan “belajar melalui bermain”. Ia selaras dengan sifat semulajadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba.
Baju tadika KEMAS adalah berwarna biru muda, manakala seluar atau kain berwarna biru gelap.
Jika anda mempunyai anak yang bakal memasuki tadika KEMAS, ini panduan lengkap mengenai pendaftaran tadika kemas 2023:
- Pastikan anda daftar online akaun di laman web portal kemas.gov.my atau di portal mygoverment malaysia.gov.my terlebih dahulu
- Kemudian, anda perlu daftar akaun kanak kanak untuk anak anda di portal mygoverment, www.malaysia.gov.my/portalprotected/familyprofile
- Langkah seterusnya adalah mula buat pendaftaran untuk anda melalui link pautan ini, https://enrol.kemas.gov.my
- Isikan maklumat yang diperlukan selengkapnya
- Selepas permohonan berjaya dihantar secara online, anda perlu buat salinan bukti permohonan yang anda lakukan dan bawa salinan dokumen penting yang diperlukan untuk dihantar ke tadika yang terdekat (near me) dan menjadi pilihan anda
Tadika PASTI tawarkan pendidikan berteraskan Islam
PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ni. Kelas-kelas PASTI di semua negeri terus bertambah dari sehari ke sehari.
Kini, tadika PASTI telah diiktiraf oleh pelbagai pihak dan dianggap prasekolah berteraskan Islam yang terbaik di MalayaCetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bermula sejak akhir tahun 1970-an.
Yuran tadika pasti 2022 adalah amat berpatutan. Untuk proses pendaftaran adalah lebih kurang RM284, dan yuran bulanan dikenakan sebanyak RM90. Walau bagaimanapun ia mungkin berbeza mengikut lokasi serta negeri.
Tadika perpaduan untuk kanak-kanak empat hingga enam tahun
Tadika perpaduan merupakan salah satu tadika di bawah Rancangan Perhubungan Masyarakat di bandar dan pinggir bandar khususnya kawasan yang mempunyai rukun tetangga.
Ia diwujudkan bagi membolehkan kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun menghayati nilai perpaduan, hidup bermasyarakat dan persediaan ke alam persekolahan.
Antara program yang dilakukan di tabika Perpaduan seperti kelas fardhu Ain, melukis, mewarna, membaca, bercerita, tarian, pakaian beragam, permainan muzik, sukaneka, lawatan sambil belajar, sambutan hari peristiwa seperti Aidilfitri dan kemerdekaan.
Ibu ayah yang berkemampuan cenderung memilih tadika swasta
Antara sebab mengapa ramai ibu ayah pada hari ini memilih tadika swasta untuk anak adalah:
- guru tadika yang berpengalaman,
- berdekatan tempat tinggal,
- kemudahan sekolah yang terbaik,
- pakej makanan sihat untuk anak
- silibus dan aktiviti yang menarik
Berikut beberapa senarai tadika swasta yang dikatakan terbaik untuk anak-anak:
- Tadika Q-Dees
- Tadika Little Caliph
- Smart Reader
- Tadika & Taska Brainy Brunch
- Tadika Genius Aulad
Kesimpulannya, pendidikan awal kanak kanak adalah penting memandangkan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan kualiti prasekolah di seluruh Malaysia.
Kanak-kanak adalah pengganti kita untuk masa depan. Oleh itu, mereka berhak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang.
Setiap kanak-kanak adalah unik, dan ia adalah tugas ibu bapa untuk memilih prasekolah yang sesuai untuk memenuhi keperluan anak mereka. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Frontliner Kembali Bekerja, Sebak Ibu Ini Hantar Bayi Kembar 3 Ke Taska Buat Pertama Kali
Baca juga: Suami Terlajak Tidur Hingga Maghrib, Isteri Istighfar Panjang Anak-Anak Belum Ambil Di Taska
Baca juga: Pihak Taska Salah Cara Angkat Anak, Ibu Terkilan Tangan Anak Lembik & Tulang Terkeluar Dari Sendi