Setiap ibu dan ayah pastinya menginginkan anak mereka dijaga dan dibelai sendiri. Namun bagi ibu yang bekerjaya pastinya mempunyai kekangan dalam membesarkan anak dan perlu cari pengasuh anak bagi menjaga si manja ketika ibu dan ayah bekerja.
Harus diingat, mencari pengasuh anak bukan bukan sesuatu yang mudah dan hanya tangkap muat saja, kena pilih yang betul-betul yang menjaga kerana tempoh masa anak kita menghabiskan masa di rumah pengasuh adalah lama.
Jadi cari pengasuh anak ini bukanlah kerja mudah yang boleh dipandang remeh. Tidak kira sama ada anda pilih pengasuh persendirian, taska, atau taman jagaan, apa yang pasti kegembiraan dan keselamatan anak anda harus jadi keutamaan.
Mengapa Ada Sesetengah Ibu Cari Pengasuh Anak?
Meletakkan anak dibawah jagaan pengasuh merupakan satu keputusan yang sangat berat bagi ibu dan ayah kerana merasakan bersalah apabila tidak dapat bersama dengan mereka.
Banyak persoalan bermain di fikiran ibu dan ayah seperti adakah anak mereka selesa dan selamat di bawah jagaan pengasuh, adakah anak rasa terabai dan terasing atau adakah pengasuh menjaga anak anda dengan sepenuh hati?
Tetapi banyak faktor yang menyebabkan ibu terpaksa meninggalkan anak di bawah jagaan pengasuh. Antara sebab-sebab utama ibu cari pengasuh anak ialah:
- Ibu perlu bekerja untuk tanggung keluarga
- Ibu menyambung pelajaran
- Ibu yang sakit memerlukan tempoh rawatan yang lama di hospital
- Ibu yang mempunyai masalah mental yang cenderung mencederakan diri atau bayi (ibu meroyan, kemurungan atau skizofrenia).
Tip Cari Pengasuh Bayi Terbaik Untuk Anak-Anak
Pengalaman ini dikongsikan seorang ibu, Nurul Hilaliah Yussof, yang pernah menolak lima pengasuh bagi mencari pengasuh yang terbaik untuk anaknya. Mungkin ibu bapa di luar sana boleh guna tips ibu ini! Antara yang perlu diberi perhatian termasuklah:
#1. Tengok keadaan rumah
Biasanya jika pengasuh itu benar-benar pengasuh yang bertanggungjawab dan dia tiada apa untuk disorokkan daripada anda, tiada tidak kisah untuk bawa anda tour atau masuk dalam premis.
Mereka akan tunjukkan kepada anda setiap sudut rumah atau pusat jagaan yang mereka usahakan bagi memastikan anda betul-betul tahu persekitaran yang bakal anak anda diami.
Jika bersih rumah atau tempat jagaan itu, besar potensi untuk anak anda dijaga dengan baik dengan kebersihan yang sentiasa terjaga.
#2. Tengok anak lain atau anak pengasuh
Jika anak pengasuh elok kelakuannya, benda sama akan diajar pada anak kita. Benda sama juga yang mereka akan didik anak kita. Jika elok perlakuan mereka,
Jika tutur kata terlalu kasar, ada kemungkinan anak kita akan mengikut nanti. Jadi penting untuk anda pantau persekitaran anak anda itu.
#3. Berapa ramai anak jagaan
Satu pengasuh yang ideal maksimum tiga saja anak jagaan. Jadi lihatlah berapa ramai kanak-kanak yang dijaga. Jika rumah jagaan, ada perimeter untuk setiap anak.
Jadi, anda perlu tahu dan tanya sendiri pada pusat jagaan berapa anak asuhan mereka bagi memastikan tidak terlalu ramai dan anak anda ada cukup perhatian.
#4. Kenali pengasuh
Anda perlu kenal pengasuh anda. Di mana asal mereka dan sebagainya. Jika pusat jagaan anda perlu periksa sama ada ia berdaftar atau sebaliknya. Maklumat berkenaan sangat penting untuk anda ketahui sebelum menghantar anak.
Jika pusat jagaan berdaftar, sudah pasti pengasuhnya bertauliah untuk menjaga kanak-kanak.
#5. Hantar lebih awal
Jika anda sudah tahu anda akan bekerja, seelok-eloknya hantar anak lebih awal. Sebulan awal atau dua minggu awal untuk anda biasakan anak anda dan juga jadual anda.
Beri anak masa untuk sesuaikan diri mereka dengan pengasuh yang baharu. Masa dua minggu cukup untuk anda jadikan rutin pada anak anda.
#6. Pastikan pengasuh tahu uruskan susu badan jika anda breastfeed
Jika anda breastfeed, pastikan pengasuh tahu handle susu badan. Ini kerana jika terlebih panas susu badan boleh rosak. Jadi jika pengasuh tidak pernah handle susu badan, anda boleh ajar mereka caranya.
#7. Prihatin dengan naluri keibuan anda
Jika anda masuk ke premis itu anda rasa senang hati, maka potensi besar untuk anak anda dijaga dengan baik. Jika rasa tidak sedap hati atau ada sesuatu yang buat hati anda rasa tidak enak, elaklah hantar anak ke situ.
Naluri ibu sangat penting ya ibu-ibu. Jika anda rasa tidak sedap hati, tidak perlulah hantar anak anda ke tempat yang berkenaan. Carilah tempat lain yang buat hati anda tenang bila anda letakkan anak di sana.
#8. Tanya rutin harian pengasuh
Jika taska atau tempat jagaan memang tiada masalah kerana mereka tidak akan ke mana-mana. Tetapi bagi pengasuh di rumah mereka mungkin ada rutin harian seperti hantar anak ke sekolah dan sebagainya.
Jadi anda perlu tahu rutin harian mereka kerana jika hantar anak ke sekolah, mungkin dia perlu bawa anak anda sekali dan sebagainya.
Perkara Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Buat Keputusan
Berikut merupakan antara perkara-perkara ibu dan ayah yang perlu pertimbangkan sebelum menghantar anak ke pusat jagaan bayi atau pengasuh harian:
1. Pengasuh di rumah atau pusat asuhan?
Kedua-dua pilihan ini mempunyai kebaikan dan keburukkannya yang tersendiri. Jadi sebelum membuat keputusan ibu dan ayah perlu mempertimbangkan mana yang terbaik untuk anak dan diri sendiri.
Kelebihan pengasuh di rumah termasuk:
- Boleh memilih pengasuh yang jaga budak dengan kuantiti yang sedikit.
- Mempunyai pilihan yang berhampiran kediaman.
- Anak kurang sakit kerana tidak ramai kanak-kanak.
Keburukan pengasuh di rumah:
- Jika pengasuh bercuti atau mempunyai hal kecemasan ini akan menyebabkan ibu terpaksa turut mengambil cuti untuk menjaga anak.
- Pengasuh tidak mempunyai lesen atau berdaftar.
- Kes-kes terpencil (termasuk dera, pukul atau kematian)
Di pusat asuhan pula, ini kelebihannya:
- Lebih selamat kerana pusat asuhan berdaftar dan di bawah Kementerian Pendidikan.
- Anak-anak lebih ramai namun bagus untuk si manja bersosial dan belajar berdikari.
- Lebih memudahkan ibu dan ayah kerana mereka mempunyai struktur waktu bekerja.
- Menyediakan aktiviti yang berasaskan pendidikan dan kemahiran bagi membantu anak-anak.
Keburukan pusat asuhan anak-anak pula:
- Anak-anak lebih mudah mendapat jangkitan seperti batuk, deman, selsema atau penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).
- Ada sesetengah pusat jagaan kanak-kanak menerima terlalu ramai anak kecil, menyebabkan tidak semua anak dapat layanan sama rata.
- Kes-kes terpencil (termasuk dera atau pukul).
2. Keselamatan
Perhatikan keadaan rumah atau pusat asuhan sebelum anda memilih untuk menghantar anak ke tempat tersebut. Adakah ruang bermain, ruang tidur dengan dapur memasak ada penghadang yang menghalang anak untuk pergi ke dapur?
Bagaimana pula dengan pintu bilik air? Adakah ia akan sentiasa di kunci dan tiada air yang bertakung contoh baldi atau kolah atau perhatikan kawasan-kawasan yang tinggi seperti tangga mempunyai penghadang?
Perhatikan juga tahap kebersihan di tempat tersebut. Rumah atau pusat asuhan yang kotor boleh menyebabkan anak jatuh sakit seperti cirit birit.
3. Fasiliti
Sekiranya rumah pengasuh atau pusat asuhan mempunyai kamera litar tertutup ia adalah perkara yang bagus. Anda boleh muat turun aplikasi yang menggunakan sistem mereka ini agar dapat memerhatikan anak sewaktu anda bekerja.
Selain itu kemudahan seperti penghawa dingin, penapis air dan udara, taman atau bilik permainan dan sebagainya juga penting untuk keselesaan anak semasa bawah jagaan mereka. Lagi-lagi jika anak kini di usia yang lasak, dan mereka memerlukan ruang yang luas untuk bermain.
4. Jarak dan Kos
Faktor jarak dan kos juga perlu dipertimbangkan agar tidak membebankan ibu dan ayah. Jika jarak antara tempat kerja dengan rumah atau pusat asuhan berhampiran, ini memudahkan ibu dan ayah untuk melihat anak mereka sekira berlakunya kecemasan. Selain itu, kos bayaran tambahan masa juga dapat dielakkan.
Kos pusat jagaan anak-anak bergantung kepada kemampuan ibu dan ayah serta sistem pendidikan yang anda lebih gemarkan. Sebagai contoh, jika anda menghantar anak ke pusat jagaan berasaskan sistem Montessori sejak kecil lagi, harganya mahal berbanding taska biasa.
Kos ini juga melibatkan aktiviti yang mereka tawarkan. Sebagai contoh, ada pusat jagaan menawarkan kelas agama (bacaan Al-Quran asas) dan akan memakan sedikit perbelanjaan. Ada pula sesetengah taska akan lakukan class trip ke luar bagi mengembangkan lagi minda anak.
5. Lain-lain
Pastikan orang yang berada dalam rumah pengasuh bukan seorang perokok atau yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Sekiranya anak anda mempunyai masalah kesihatan seperti asma, kulit sensitif atau sebagainya, cari pengasuh yang tidak membela sebarang binatang adalah digalakkan.
Sekiranya hantar ke rumah pengasuh, perhatikan juga keadaan atau kelakukan ahli keluarga tersebut untuk mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini. Contohnya adab bercakap, kebersihan dan sebagainya.
Jenis-jenis Soalan Yang Anda Harus Tanya Semasa Cari Pengasuh Anak
Proses mencari pengasuh bayi bukanlah sesuatu yang boleh dia ambil ringan. Sebelum anda membuat kepetusan memilih pengasuh yang terbaik, anda bolehlah terlebih dahulu menanyakan soalan-soalan yang berikut kepada bakal pengasuh anak anda.
- Latar belakang pengasuh seperti sebelum ini kerja apa, pernah mengasuh bayi atau tidak, rutin harian pengasuh atau jika ibu membekalkan susu badan tanya pandai handle EBM atapun tidak.
- Berapa kadar bayaran sebulan dan kadar bayaran lebih masa?
- Berapa jumlah bayi atau kanak-kanak lain yang diasuh?
- Jumlah pengasuh yang mengasuh.
- Adakah rumah pengasuh, taska atau pusat asuhan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV)?
- Adakah pengasuh, taska atau pusat asuhan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)?
- Keadaan rumah, taska atau pusat asuhan seperti ada berapa bilik, bilik air dan ruang yang lain.
- Makanan perlu bawa sendiri atau disediakan (sekiranya bayi sudah boleh makan).
- Adakah ahli keluarga di rumah pengasuh seorang perokok?
- Adakah pengasuh membela binatang di rumah asuhan?
- Jika pengasuh mengasuh di rumah, tanyakan mengenai ahli keluarga lain yang ada semasa anak anda di rumah pengasuh.
- Perkhidmatan atau fasiliti lain yang ada seperti mesin penapis air, penghawa dingin, bilik bermain, ajar asas membaca/mengaji dan sebagainya.
- Syarat lain yang pengasuh tetapkan contohnya seperti mahu cuti pada cuti umum atau cuti yang berkaitan.
Tanda Amaran Yang Anda Perlu Tekankan
1. Anak tidak ceria dan meragam
Sekiranya anak anda tidak ceria dan meragam setiap kali mahu di hantar kepada pengasuh atau pusat asuhan, ini mungkin petanda anda perlu mencari pengasuh anak yang baru.
Tetapi jangan terburu-buru. Bagi masa kepada anak anda sekurang-kurangnya seminggu untuk dia menyesuaikan diri dan perhatikan bahasa tubuh anak anda.
Pada awalnya dia mungkin masih tidak biasa, rasa terasing atau takut. Sekiranya masih berlanjutan, anda boleh pertimbangkan untuk mencari pengasuh anak yang lain.
2. Kecederaan mental dan fizikal anak
Selain itu sekiranya terdapat kecederaan fikizal di tubuh badan anak anda seperti lebam, kesan cubitan, gigitan atau luka. Berbincang dan bertanya kepada pengasuh bagaimana anak anda mendapat kecederaan tersebut.
Mungkin kecederaan berlaku semasa anak anda bermain dengan budak yang lain dan berlaku secara tidak sengaja. Jika ada kamera litar tertutup minta mereka untuk anda melihat dan periksa apa yang berlaku.
Sekiranya kecederaan itu berulang, anda harus menukar kepada pengasuh atau pusat asuhan yang lain.
3. Anak anda kotor dan tidak terurus
Ibu mana yang tidak kecewa sekiranya anak tidak dijaga dengan baik. Apabila anda ambil semula anak daripada pengasuh, lampin pakai buang anak anda sentiasa penuh, baju dan lampin yang dibekalkan hanya diguna sepasang atau dua sahaja.
Anak juga sentiasa lapar dan susu yang dibekalkan tidak habis atau kurang diberi kepada anak.
4. Tingkah laku pengasuh yang aneh
Kadangkala ibu boleh lakukan pemeriksaan secara mengejut untuk mengetahui keadaan anak semasa di bawah jagaan pengasuh.
Sekiranya pengasuh melayan anak dengan kasar, hanya berpura-pura ambil berat di depan ibu dan ayah serta tidak pedulikan anak, ibu boleh pertimbangkan untuk menukar pengasuh.
Tanya atau risik-risik keperibadian pengasuh dengan orang terdekat seperti jiran atau ibu yang lain. Tanya sekiranya pengasuh ada meninggi suara, memukul atau jiran mendengar tangisan bayi atau kanak-kanak untuk tempoh yang lama.
5. Keadaan rumah atau pusat asuhan
Kebersihan adalah antara aspek yang penting dalam pemilihan pengasuh. Elakkan dari memilih rumah atau pusat asuhan yang kotor.
Selain itu, elakkan tempat asuhan yang mempunyai bilangan anak asuhan yang ramai. Bayi atau kanak-kanak memerlukan penjagaan yang rapi.
Jika bilangan anak asuhan terlalu ramai dikhuatiri menyebabkan pengasuh tidak dapat menjaga anak dengan baik dan teliti.
Kami harap artikel ini dapat membantu anda mencari pengasuh anak yang baik.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 petanda anda dapat atau ada pengasuh yang tidak baik
Baca juga: Nak Tahu Bagus Ke Tak, Ini 11 Soalan WAJIB Ditanya Pada Bakal Pengasuh Anak
Baca juga: Pengasuh Didakwa Beri Bayi Ubat Tidur & Anxiety, Sampai Budak Itu Lemah Dan Mengantuk Sepanjang Hari
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!