Dalam dunia yang semakin kompleks, pendidikan awal tentang keselamatan tubuh badan menjadi satu keperluan penting. Salah satu topik yang semakin ditekankan oleh pakar kanak-kanak dan kaunselor adalah tentang sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat.
Ia bukan sahaja melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi, malah membina keyakinan dan pemahaman diri terhadap sempadan peribadi.
Maksud Sentuhan Selamat dan Sentuhan Tidak Selamat
Sentuhan selamat adalah sentuhan yang membuatkan seseorang berasa selesa, disayangi dan dihormati. Ia biasanya diberikan oleh orang yang dipercayai seperti ibu bapa, datuk dan nenek, atau guru dalam konteks yang sesuai.
Sentuhan tidak selamat pula adalah sebarang bentuk sentuhan yang membuatkan seseorang berasa takut, tidak selesa, malu, bingung atau tertekan. Ia termasuk sentuhan fizikal yang tidak diingini, sama ada secara tersembunyi atau terbuka.

Penting untuk membezakan antara sentuhan selamat dan tidak selamat kerana ia berkait rapat dengan perlindungan tubuh anak daripada penderaan seksual, fizikal atau emosi.
Apa Itu Sentuhan Selamat?
Sentuhan selamat termasuk:
-
Pelukan dari ibu bapa yang menyokong dan menenangkan
-
Ciuman selamat di dahi dari ahli keluarga dalam konteks budaya
-
Pegangan tangan ketika melintas jalan
-
Menepuk bahu sebagai tanda galakan
-
Rawatan perubatan oleh doktor dengan kehadiran penjaga
Sentuhan selamat memberi rasa yakin, dilindungi, dan tenang. Ia juga membina ikatan emosi yang sihat antara anak dan orang dewasa yang dipercayai
Apa Itu Sentuhan Tidak Selamat?
Sentuhan tidak selamat termasuk:
-
Menyentuh bahagian sulit tubuh anak tanpa sebab perubatan yang sah
-
Menyuruh anak menyentuh tubuh orang dewasa
-
Meraba, mencium bibir, atau memeluk dengan cara tidak sesuai
-
Menggunakan alasan permainan untuk menyentuh bahagian sulit anak
-
Sentuhan paksa atau menyakitkan yang menyebabkan trauma fizikal atau emosi
Kadang-kadang, sentuhan tidak selamat boleh datang daripada orang yang dikenali atau dipercayai anak. Ini menjadikan pendidikan awal tentang sempadan tubuh sangat penting.
Zon Tubuh Dilarang Sentuh
Berikut merupakan senarai zon dan anggota tubuh yang HANYA boleh disentuh oleh diri sendiri atau oleh individu tertentu dalam situasi yang sesuai (seperti pemeriksaan perubatan dengan kehadiran ibu bapa):
-
Mulut
-
Kawasan di antara paha
-
Punggung
-
Dada
-
Bahagian kemaluan

Pastikan anak-anak memahami bahawa 5 bahagian ini adalah bahagian peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa tanpa kebenaran.
Sekiranya ada individu yang cuba menyentuh mana-mana kawasan ini, ajarkan anak anda untuk berkata “tidak”, menjauhkan diri, dan segera memberitahu orang dewasa yang dipercayai.
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Ada Sesiapa Menyentuh?
Kanak-kanak perlu diajar tiga langkah penting:
-
Katakan “Tidak!”: Ajar mereka menyuarakan penolakan dengan tegas dan kuat.
-
Larikan diri dari tempat itu: Jika rasa tak selamat, beritahu mereka bahawa lebih baik keluar dari situasi itu dengan segera.
-
Beritahu orang dewasa yang dipercayai: Seperti ibu, ayah, cikgu atau penjaga lain. Sokongan dan pendedahan awal penting untuk elakkan perkara berulang.
Kadang-kadang, pelaku mengugut atau memujuk anak supaya diam. Inilah sebabnya mengapa anak perlu tahu bahawa mereka tidak bersalah dan berhak bersuara.
Sains Disebalik Sentuhan yang Dilarang
Mengapa Penting Mengajar Anak-Anak Tentang Sentuhan?
Mendidik anak-anak tentang sentuhan selamat dan tidak selamat bukan sekadar memberi mereka pengetahuan asas, tetapi juga membina sistem pertahanan diri yang penting untuk kesejahteraan emosi dan fizikal mereka.
Berikut adalah sebab-sebab utama mengapa pendidikan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat penting:
1. Membantu Anak Mengenal Sempadan Tubuh
Setiap individu mempunyai hak ke atas tubuh badan mereka sendiri dan konsep ini perlu diterapkan sejak kecil. Apabila anak-anak diajar bahawa tubuh mereka adalah milik mereka, mereka akan lebih memahami bahawa:
-
Tiada sesiapa pun berhak menyentuh tubuh mereka tanpa keizinan.
-
Mereka mempunyai kuasa untuk berkata “tidak” terhadap sentuhan yang tidak menyenangkan atau membuat mereka tidak selesa.
-
Bahagian tubuh tertentu merupakan kawasan peribadi dan harus dilindungi.
Pemahaman tentang sempadan ini sangat penting untuk mencegah pencerobohan fizikal dan seksual. Ia juga memberi asas kepada anak-anak untuk menghormati tubuh orang lain kelak.
2. Membina Keyakinan Diri dan Keberanian Untuk Bersuara
Apabila anak memahami hak mereka terhadap tubuh sendiri, mereka secara tidak langsung akan lebih yakin untuk meluahkan rasa tidak selesa jika sesuatu yang tidak kena berlaku.
Ini termasuk:
-
Berani menolak sentuhan daripada orang dewasa yang melampaui batas
-
Tahu bahawa mereka tidak perlu akur kepada tekanan, pujukan atau ugutan
-
Berani melaporkan kepada ibu bapa, guru atau individu yang mereka percayai
Keyakinan ini sangat penting kerana pemangsa sering mengeksploitasi rasa takut atau kekeliruan dalam diri kanak-kanak yang tidak tahu hak mereka.
3. Melindungi Anak Daripada Bahaya Penderaan
Salah satu sebab ramai mangsa penderaan seksual tidak bersuara atau tidak sedar diri sedang didera, adalah kerana mereka tidak pernah diajar tentang sentuhan tidak selamat. Tanpa pendidikan ini:
-
Anak mungkin menyangka sentuhan tersebut adalah normal
-
Pemangsa mudah memanipulasi dengan berkata ia adalah rahsia istimewa atau “permainan.”
-
Anak tidak tahu kepada siapa mereka boleh mengadu
Pendidikan awal boleh mencegah penderaan berlaku, atau sekurang-kurangnya mempercepatkan proses melaporkan jika sudah berlaku. Ia boleh menyelamatkan anak daripada trauma jangka panjang yang sangat merosakkan.
4. Memudahkan Perbualan Terbuka Dengan Ibu Bapa
Anak-anak yang dibesarkan dengan komunikasi terbuka tentang tubuh, emosi dan keselamatan diri akan lebih mudah berkongsi perasaan dan pengalaman. Dengan ini:
-
Anak tidak takut untuk memberitahu ibu bapa jika sesuatu yang pelik atau mencurigakan berlaku
-
Anak tahu bahawa ibu bapa tidak akan marah atau menyalahkan mereka
-
Kepercayaan dua hala akan terbina, menjadikan anak lebih terbuka dalam berkongsi hal-hal lain dalam hidup mereka
Komunikasi yang terbuka ini bukan sahaja penting dalam konteks sentuhan, tetapi juga untuk mendidik anak menjadi remaja dan dewasa yang sihat secara emosi dan mental.
Cara Ajar Anak Mengenai Sentuhan Selamat Dan Tidak Selamat
Berikut ialah beberapa cara berkesan ajar anak tentang sentuhan selamat dan tidak selamat:
1. Gunakan Bahasa Yang Sesuai Dengan Umur
Ketika menerangkan tentang tubuh dan sentuhan, sangat penting untuk menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh kanak-kanak mengikut tahap umur mereka.
Elakkan penggunaan istilah perubatan yang rumit, seperti “organ reproduktif” atau “alat kelamin,” yang mungkin mengelirukan.
Sebaliknya:
-
Gunakan istilah sebenar dan mudah difahami seperti “kemaluan”, “faraj”, “zakar”, “punggung”, dan “dada”.
-
Ajarkan anak bahawa menyebut nama-nama anggota badan bukanlah sesuatu yang memalukan atau lucu, ia adalah sebahagian daripada tubuh yang perlu dihormati.
-
Elakkan penggunaan nama manja atau gelaran pelik (seperti “burung” atau “nenen”) yang boleh menyebabkan kekeliruan atau rasa malu apabila anak ingin melaporkan sesuatu yang tidak kena.
Tujuan penggunaan istilah sebenar ialah agar anak boleh berkomunikasi dengan jelas sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, dan pihak dewasa akan faham maksud mereka tanpa kekeliruan.
2. Gunakan Buku Cerita atau Video Pendidikan
Pendekatan visual dan naratif sangat membantu dalam mengukuhkan pemahaman anak-anak, terutamanya yang berumur antara 3 hingga 10 tahun. Buku cerita bergambar dan video animasi tentang sentuhan selamat boleh:
-
Menarik perhatian anak dan membuat mereka lebih terlibat secara emosi.
-
Memberikan situasi yang realistik tetapi mudah difahami, seperti “Amin tak suka bila Pak Cik peluk dia lama-lama.”
-
Menunjukkan contoh tindakan betul yang boleh diambil apabila menghadapi sentuhan tidak selamat.
Pilih bahan yang sesuai umur, tidak menakut-nakutkan, dan mempunyai mesej yang jelas. Pastikan anda menonton atau membaca bersama anak dan berbincang isi kandungan selepas itu.
3. Main Peranan (Role-Play) Untuk Latihan Praktikal
Latihan secara simulasi atau role-play sangat efektif kerana:
-
Ia membina keupayaan anak bertindak balas dalam situasi sebenar.
-
Memberi mereka ruang untuk berlatih berkata “tidak” dengan suara yang tegas.
-
Membantu anak mengenal situasi mencurigakan contohnya, jika seseorang mengajak mereka bermain “rahsia pegang-pegang.”
Contoh aktiviti:
-
Anda berpura-pura menjadi orang asing yang ingin menyentuh bahu atau pegang tangan mereka, dan anak perlu berkata “tidak!” serta menjauhkan diri.
-
Bermain watak sebagai guru yang baik hati, tetapi kemudian tiba-tiba ingin memeluk anak secara berlebihan dan anak perlu membuat keputusan.
Latihan ini juga boleh dilakukan secara santai, semasa waktu bermain, supaya tidak menimbulkan ketakutan tetapi tetap memberi kesan pembelajaran yang berkesan.
4. Tegaskan Konsep ‘Badan Saya, Hak Saya’
Anak perlu faham sejak awal bahawa tubuh mereka adalah hak milik mereka, bukan sesiapa pun termasuk ibu bapa, guru, atau datuk nenek boleh menyentuhnya tanpa izin. Dengan prinsip ini:
-
Anak tahu bahawa mereka boleh berkata “tidak” walaupun kepada orang yang lebih tua.
-
Mereka sedar bahawa tidak semestinya semua sentuhan daripada orang dewasa itu “betul” atau “wajib diterima.”
-
Konsep ini memberi kuasa kepada anak untuk menjaga keselamatan diri, bukan bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa.
Kerap ulang mesej ini dalam kehidupan harian, contohnya ketika memandikan anak atau apabila mereka berasa tidak selesa disentuh, beri si manja pilihan dan hormati keputusan mereka.
5. Jelaskan Perbezaan Antara Rahsia Baik dan Rahsia Buruk
Ramai pemangsa menggunakan ‘rahsia’ sebagai alat untuk memanipulasi dan menghalang anak daripada bersuara. Oleh itu, penting untuk:
-
Bantu anak memahami bahawa rahsia baik ialah sesuatu yang menggembirakan dan akan didedahkan akhirnya, contohnya kejutan hari jadi atau hadiah untuk cikgu.
-
Sebaliknya, rahsia buruk ialah sesuatu yang membuat mereka berasa takut, malu, sedih atau tidak selesa dan rahsia jenis ini tidak boleh disimpan.
-
Tekankan bahawa tiada siapa berhak menyuruh mereka merahsiakan sentuhan di kawasan peribadi, walaupun dengan ugutan atau ancaman.
Ajar mereka bahawa jika seseorang kata, “Jangan beritahu sesiapa ya… ini rahsia kita,” dan bila melibatkan tubuh badan mereka, itu petanda BAHAYA, dan mereka mesti memberitahu orang dewasa yang dipercayai.
Langkah-Langkah Jika Anak Mengalami Sentuhan Tidak Selamat
Reaksi awal ibu bapa memainkan peranan besar dalam proses pemulihan emosi dan keselamatan anak. Berikut ialah langkah-langkah yang boleh diambil:
1. Dengar Tanpa Menghakimi
Apabila anak memberitahu sesuatu yang melibatkan sentuhan tidak selamat, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mendengar dengan penuh perhatian tanpa memotong atau menyalahkan.
-
Elakkan daripada menunjukkan kemarahan secara berlebihan di hadapan anak kerana ia boleh menakutkan mereka.
-
Jangan menyalahkan anak atau mempersoalkan mengapa mereka tidak menolak atau melawan.
-
Sebaliknya, ucapkan terima kasih kepada anak kerana berani berkongsi, dan tegaskan bahawa mereka telah melakukan perkara yang betul.
Contoh ayat sokongan: “Terima kasih sebab beritahu mama. Mama bangga sebab kamu berani bercakap. Ini bukan salah kamu.”
2. Tunjukkan Sokongan Emosi
Anak yang menjadi mangsa sentuhan tidak selamat selalunya akan mengalami perasaan bersalah, keliru atau takut. Sebagai ibu bapa, anda perlu:
-
Memberi pelukan yang menenangkan jika anak bersedia.
-
Beritahu anak bahawa mereka tidak bersalah, walau apa pun yang berlaku.
-
Tegaskan bahawa anda akan sentiasa berada di pihak mereka dan akan melindungi mereka daripada sebarang bahaya.
Sokongan emosi dari ibu bapa adalah asas penting untuk anak kembali rasa selamat dan pulih secara mental dan emosi.
3. Catat Segala Butiran Penting
Selepas mendengar cerita anak:
-
Tulis semua butiran yang anak kongsikan, seperti:
-
Simpan catatan ini secara sulit dan selamat kerana ia mungkin diperlukan sebagai bukti jika tindakan undang-undang diambil kelak.
Jangan paksa anak untuk menjawab soalan jika mereka belum bersedia. Biarkan mereka bercerita mengikut keselesaan.
4. Buat Laporan Kepada Pihak Berkuasa
Sentuhan tidak selamat, khususnya yang bersifat seksual, adalah satu bentuk penderaan yang wajib dilaporkan.
-
Hubungi polis, atau buat laporan di balai polis berdekatan.
-
Anda juga boleh menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan lanjut.
-
Jika pelaku ialah ahli keluarga atau individu yang dikenali, lebih penting untuk bertindak tegas dan segera demi keselamatan anak.
Laporan bukan sahaja bertujuan menghukum pelaku, tetapi juga untuk mencegah kejadian berulang terhadap anak anda atau mangsa lain.
5. Dapatkan Bantuan Profesional
Trauma daripada sentuhan tidak selamat boleh memberi kesan mendalam terhadap perkembangan mental dan emosi anak. Oleh itu, rundingan dengan pakar adalah sangat digalakkan, termasuk:
Rawatan profesional membantu anak:
-
Memproses pengalaman yang berlaku secara sihat.
-
Mengurangkan rasa takut, malu atau bersalah.
-
Mengembalikan keyakinan diri dan rasa selamat.
Proses pemulihan mungkin mengambil masa, jadi berikan ruang dan sokongan berterusan kepada anak sepanjang perjalanan ini.
Kesimpulannya, mengajar anak tentang sentuhan selamat dan tidak selamat untuk anak kecil bukanlah tugas mudah, tetapi ia adalah pelaburan besar dalam melindungi kesejahteraan anak sepanjang hayat. Ibu bapa tidak perlu menunggu sehingga anak besar, pendidikan ini boleh bermula seawal usia 3 tahun dengan bahasa yang sesuai.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kenapa Sentuhan Kulit Ke Kulit Penting Untuk Jalinan Erat Ibu Dan Anak? Ini Jawapan Doktor
Baca juga: Ibu Yang Memiliki Kulit Yang Gelap Ketika Hamil Tanda Bayi Lelaki: Benarkah Mitos Ini?
Baca juga: Sampainya Hati! Gara-Gara Lahir Berkulit Hitam, Ibu Bapa Bayi Ini Sanggup Membuangnya!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!