Anak Dah 3 Tahun? Ini 9 Perkara Yang Mereka Sepatutnya Dah Pandai Buat Pada Usia Ini
Jadi jika anak anda sudah tiga tahun, apa sepatutnya perkembangan kanak-kanak tiga tahun yang patut ada padanya? Jom semak!
Ibu bapa memang tidak digalakkan membandingkan perkembangan anak dengan anak yang lain kerana anak-anak ada milestone mereka tersendiri, tetapi jika tidak dibandingkan bagaimana mahu mengukur perkembangan mereka kan? Jadi jika anak anda sudah tiga tahun, apa sepatutnya perkembangan kanak-kanak tiga tahun yang patut ada padanya?
Menurut perkongsian hellodoktor, pada sekitar usia tiga tahun, anak akan cuba mempelajari perkataan baharu, bercerita, melakukan aktiviti dan cuba membina hubungan persahabatan.
Tetapi paling utama untuk anda fahami adalah perkembangan anak berbeza dan anda tidak boleh membandingkan anak anda dengan kanak-kanak seusia mereka. Cuma jika anda nampak perkembangan tidak seiring usia, itu yang perlu anda ambil perhatian.
Perkembangan kanak-kanak tiga tahun yang patut ada pada anak
Cara si kecil bermain, belajar, bercakap, bertindak dan bergerak adalah petunjuk penting berkaitan proses perkembangan anak.
Anda tidak boleh menyamakan tahap perkembangan si manja dengan kanak-kanak lain seusia mereka. Tetapi ada cara mendidik anak 3 tahun yang boleh anda cuba.
#1. Pakai baju
“Nak buat sendiri”, mungkin antara frasa yang akan sering anda dengar. Memakai baju dengan sendiri adalah antara perkara yang ingin dilakukan dan sepatutnya pada usia ini, mereka sudah boleh melakukannya sendiri.
Anda boleh membantu memudahkan proses ini dengan meletakkan pakaian untuknya dan memilih gaya yang mudah. Sebaiknya elakkan pakaian yang berbutang.
#2. Makan tanpa disuap
Jika si kecil anda mahu makan sendiri tanpa disuap, itu tanda mereka berada pada tahap perkembangan anak yang betul.
Kebanyakan anak pada usia ini sudah boleh makan dengan sendiri menggunakan sudu dan garpu serta minum daripada cawan biasa.
#3. Latihan tandas
Untuk memastikan proses latihan ke tandas berjaya, si kecil perlu bersedia. Pada usia ini, mereka mungkin berminat untuk menggunakan bilik air.
Cara mendidik anak tiga tahun agar dapat menguasai kemahiran ini pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi.
Sudah tentu ada masanya si kecil akan terbabas kencing atau berak dan ia adalah perkara normal.
#4. Perkembangan kemahiran berbahasa
Pada usia ini, anak anda pasti akan bercakap dengan banyak. Mereka seharusnya boleh membuat ayat dengan tiga perkataan mudah.
Untuk membantu si manja mengembangkan kemahiran berbahasa, anda perlu membantu dan menggalakkannya untuk bercakap.
#5. Mempunyai kawan
Pada usia ini, si manja sudah bersedia untuk mempunyai kawan tetapi mereka masih memerlukan bantuan daripada anda.
Anak anda mungkin tidak suka untuk berkongsi tetapi kesedaran mereka terhadap perasaan individu lain mulai berkembang.
#6. Tugasan rumah
Si kecil memang gemar melakukan sebarang tugasan rumah. Malahan anda mungkin terkejut melihat keupayaan mereka dalam membantu anda.
Biarkan si kecil membantu anda dan ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri mereka dalam aspek perkembangan anak.
#7. Membuat pilihan
Jika anda mahukan si manja menjadi individu yang mendengar dan bertindak balas terhadap arahan dengan baik, ia bergantung kepada pemilihan ayat anda.
Elakkan daripada memberikan arahan kepadanya seperti “Kemas mainan ini semula”. Sebaliknya berikan dia soalan seolah-olah dia mempunyai pilihan, seperti “Boleh tak selepas main nanti, awak kemaskan permainan ini?”
Jangan lupa untuk memberikan ucapan terima kasih dan pujian atas usaha mereka.
#8. Merengek & perubahan emosi
Tantrum perkara biasa dilakukan anak-anak kecil. Tetapi jika ia berlaku, anda perlu cuba untuk bertenang dan elakkan daripada memarahi mereka.
Abaikan rengekan dan tangisan mereka untuk seketika dan teruskan apa yang sedang anda lakukan. Setelah amukannya reda, peluklah dan ungkapkan kata-kata sayang buat mereka.
#9. Waktu tidur
Perubahan waktu tidur juga antara perkembangan anak yang boleh diperhatikan. Si kecil mungkin berasakan bahawa mereka tidak perlu tidur siang.
Walau bagaimanapun, kebanyakan kanak-kanak masih memerlukan tidur siang sehinggalah berusia 5 tahun. Tetapi mungkin akan berlaku perubahan pada waktu tidur.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: hellodoktor
Baca juga: