Anda Guna Candy Detergent Di Rumah? Hati-Hati, Ia Boleh Sebabkan Keracunan Teruk!
Kapsul kecil dan comel ini telah buat beberapa ibu bapa di luar sana cemas! Tahu kenapa? Ia kerana anak mereka termakan sabun pencuci baju itu!
Jika anda selalu shopping online pasti pernah terlihat detergent candy atau laundry beads yang berwarna-warni dan sangat menarik di mata. Ia sebenarnya adalah sabun pencuci baju tetapi dibuat dalam bentuk kapsul. Sekali pandang macam gula-gula pun ada.
Tapi, jangan tak tahu ya, kapsul kecil dan comel ini telah buat beberapa ibu bapa di luar sana cemas! Tahu kenapa? Ia kerana anak mereka termakan sabun pencuci baju itu!
Menurut Pusat Racun Negara, dalam tempoh 24 jam, pihaknya menerima tiga laporan kes kanak-kanak termakan bahan pencuci baju itu. Sangat menakutkan, bayangkan anak anda makan sabun? Dengan kadar kepekatan yang terlalu tinggi? Siapa saja yang tak cemas.
Sabun pencuci baju ‘gula-gula’
Memang nampak sangat praktikal, hanya perlu masukkan sebiji atau satu unit ke dalam mesin basuh dan anda boleh mula mencuci. Bahan itu juga sudah dilengkapkan dengan cecair pelembut baju, jadi hanya guna satu, masukkan dalam mesin basuh dan siap! Siapa saja tidak mahukan? Kerja mudah.
Menurut Pusat Racun Negara, produk yang didapati banyak dijual secara atas talian itu tidak dilabelkan. Selain warnanya yang menarik sabun ini juga dipaketkan dalam bekas makanan yang mana ia sebenarnya sukar dibezakan sama ada ia sabun atau gula-gula.
Sabun berkenaan boleh didapati dengan harga yang sangat murah dalam platform atas talian dengan hanya 55 sen sebiji anda boleh mendapatkannya.
Bahan pencuci 3 dalam 1, boleh bawa keracunan teruk!
Menurut Pusat Racun Negara, selain sebagai sabun pencuci, ada juga daripada produk ini yang mengandungi bahan pelembut dan juga cecair disinfeksi atau antibakteria.
Ini antara ciri detergent candy yang diiklankan di platform jual beli dalam talian
- 3 in 1 (sabun pencuci + pewangi fabrik + antibakteria)
- Wangi, bersih dan jimat
- Enzim formula dengan 8 kali kepekatan
- 3 fungsi iaitu pembersih, pewangi pelembut dan anti bakteria
- Baju tidak akan berbau hapak walaupun disimpan 12 jam selepas basuh di dalam mesin
- Baju tetap berbau harum selepas basuh dan kering
- Selamat digunakan untuk semua fabrik yang boleh di basuh
- Tidak meninggalkan bau busuk yang tidak menyenangkan
- Memelihara warna fabrik
Hal ini akan menyebabkan kesan keracunan yang teruk jika termakan dalam kuantiti yang signifikan.
Produk ini telah berada dalam pasaran di negara lain lebih lama dan mereka juga mencatatkan kes keracunan seperti di Ireland, United Kingdom dan Kanada.
Di Ireland, kes keracunan disebabkan oleh candy detergent ini telah dilaporkan sejak tahun 2014 lagi dan terdapat kes-kes melibatkan kanak – kanak yang termakannya dan terkena pada mata.
Kanak-kanak yang termakannya atau terkena pada mata biasanya mengalami tanda seperti:
- Muntah-muntah
- Bengkak di tekak akibat kesan iritasi
- Kesukaran bernafas.
- Pedih mata
Langkah berjaga-jaga jika mahu guna
Ini pesanan dari Pusat Racun Negara jika anda ingin terus gunakannya. Adakah anda ingin mengambil risiko keracunan dengan menggunakan produk seumpama ini? Jika masih ingin menggunakan produk ini pastikan:
- Dikendalikan oleh orang dewasa sahaja
- Simpan di tempat yang tinggi dan sukar dicapai oleh kanak – kanak
- Simpan dalam bekas yang berwarna legap, bukan bekas lutsinar serta bukan bekas menyimpan makanan
- Letakkan di tempat tinggi iaitu kawasan yang anak tidak boleh capai
Jika anak termakan sabun, apa anda perlu buat?
Sengaja atau tidak makan sabun boleh menyebabkan gangguan kepada kesihatan seperti keracunan kerana bahan kimia yang terkandung di dalamnya. Namun, jika termakan sabun, doktor perubatan dari Indonesia ini menyarankankan agar:
- Pastikan dia sedar
- Segera beri minum air putih atau susu
- Periksa tekanan darah, suhu, pernafasan, dan kadar jantung untuk keadaan yang lebih serius. Keadaan pesakit boleh merundum dengan segera dan menyebabkan tidak sedarkan diri
- Pantau keadaannya sama ada demam, muntah-muntah atau sebaliknya
- Dapatkan rawatan keracunan sabun dengan segera di hospital.
- Rawatan di hospital yang yang akan dilakukan adalah seperti oksigen, ubat sakit, tiub pernafasan, penyingkiran mana-mana kulit yang terbakar, membasuh kulit berulang kali, dan rawatan perubatan khas seperti bronkoskopi dan endoskopi (memasukkan kamera melalui tekak untuk memeriksa paru-paru dan kerongkong).
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Pusat Racun Negara, Health Detik
Baca juga:
Bayi Keracunan Kerana Gigit Rantai Teething – 3 Perkara Ibu Bapa Harus Tahu!