Budak 6 Tahun Meninggal Disengat 40 Ekor Tebuan Ketika Bermain, Doktor Jelaskan Bahaya Sengatan Boleh Membawa Maut

undefined

Sengatan tebuan boleh mencetuskan tindak balas yang serius dalam badan termasuklah kejutan anafilaksis, kerosakan organ, dan bahkan kematian

Advertisement

Sengatan tebuan bukan sekadar sakit atau bengkak biasa. Ia boleh menjadi ancaman serius kepada nyawa, terutamanya jika melibatkan sengatan berganda atau reaksi alahan yang melampau (anafilaksis). Ia boleh berlaku di tempat yang tidak disangka seperti di halaman rumah, kawasan sekolah, ataupun ladang.

Menurut perkongsian Felo Perubatan Ekstrim, Kecemasan & Wilderness (Special interest: Clinical Toxinology, Diving & Hyperbaric Medicine), Dr Muhamad Na’im Bin Ab Razak (Dr Jacknaim), beliau menerima kes kanak-kanak disengat tebuan sewaktu bermain di sebuah ladang.

Meninggal Disengat 40 Ekor Tebuan

Seorang kanak-kanak perempuan, berusia 6 tahun, telah meninggal dunia. Disengat kira-kira 40 ekor tebuan ketika bermain bersama kakaknya di sebuah ladang.

Ketika tiba di hospital, keadaannya masih stabil; lemah, tapi masih bersama kami. Namun dalam masa beberapa jam, tubuh kecil itu mula tewas.

Bisa dalam sengatan itu meresap ke seluruh badan, menyebabkan kegagalan buah pinggang, hati, otot dan jantungnya sendiri.

Kadar enzim otot (CK) melambung dari 400 ke lebih 42,000. Enzim hati mencecah ribuan. Asidosis bertambah teruk walaupun rawatan agresif telah dimulakan.

Kegagalan Organ Berganda Berlaku Serentak

Intubasi dilakukan secara elektif pagi tadi untuk memulakan hemodialisis, tetapi hospital kami tiada penapis plasma yang sesuai untuk pesakit kanak-kanak. Kami cuba mendapatkannya dari hospital lain, tapi waktu terlalu pantas berlalu. Kegagalan organ berganda berlaku serentak. Dia meninggal dunia pada jam 5 petang.

Walaupun dia bukan warganegara Malaysia, pasukan kami tetap memberi rawatan seolah-olah dia anak kami sendiri. Kami lawan. Kami jaga. Kami harap. Tapi kami tewas.

Sebagai seorang yang memang mendalami bidang haiwan berbisa dan envenomasi, kejadian ini bukan sekadar kes biasa. Ia adalah tragedi yang menyentuh hati.

Sengatan Tebuan Boleh Membawa Maut

Entahlah, saya tertanya-tanya; jika kami ada kelengkapan dan melakukan dialisis lebih awal, adakah dia akan selamat? Berdasarkan laporan kes dalam jurnal perubatan, kadar kematian memang sangat tinggi.

Saya tulis ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi untuk mengingatkan kita semua:

???? Sengatan tebuan bukan perkara kecil
???? Kanak-kanak yang disengat lebih 10 kali perlu pemantauan
???? Dan lebih 30 sengatan boleh membawa maut
???? Setiap hospital perlu bersedia, kerana satu kelewatan boleh memisahkan antara hidup dan mati

Kakaknya kini stabil, masih dalam pemantauan. Tapi seorang anak kecil sudah pergi, dalam diam, tanpa peluang kedua.

Suntikan Adrenalin Untuk Sengatan Tebuan

Apabila seseorang disengat tebuan atau lebah, perkara pertama yang sering terlintas di fikiran adalah “Perlu ke bagi suntikan adrenalin?”

Jawapannya adalah, tidak semestinya!

Suntikan adrenalin (epinephrine) hanya perlu diberikan apabila berlaku anafilaksis, iaitu reaksi alergi yang teruk dan mengancam nyawa.

Namun, tidak semua sengatan tebuan atau lebah menyebabkan anafilaksis. Sengatan ini sebenarnya boleh menyebabkan pelbagai kesan lain yang lebih kompleks, yang dikenali sebagai sindrom envenomasi sistemik.

Apa Kandungan Bisa Tebuan?

Bisa tebuan mengandungi pelbagai komponen bioaktif yang boleh memberi kesan luas kepada tubuh manusia, termasuk:

  • Melittin & Mastoparan: menyebabkan pemecahan sel, keradangan dan sakit yang kuat
  • Phospholipase A2: merosakkan membran sel dan boleh mencetuskan tindak balas alergi
  • Hyaluronidase: menyebarkan toksin ke seluruh tisu
  • Histamin, serotonin dan asetilkolin: boleh menyebabkan keradangan tempatan dan sistemik
  • Enzim proteolitik: merosakkan tisu otot, hati dan ginjal

Tambahan lagi, peptida seperti mastoparan yang boleh merangsang pelepasan katekolamin dari kelenjar adrenal, iaitu hormon seperti epinephrine dan norepinephrine yang mengaktifkan sistem saraf simpatetik.

Campuran kompleks inilah yang menjadikan kesan bisa tebuan bukan sekadar alergi, tetapi juga masalah toksikologi dan imunologi yang boleh membawa maut jika jumlah sengatan tinggi.

Bila Adrenalin Diperlukan?

Adrenalin diperlukan jika pesakit menunjukkan tanda-tanda anafilaksis, seperti:

• Sesak nafas atau wheezing
• Bengkak pada muka/lidah/leher
• Ruam gatal satu badan + penurunan tekanan darah
• Pengsan, nadi lemah, pucat

Bila Adrenalin Tidak Diberikan Secara Rutin?

Dalam kes sindrom envenomasi sistemik, adrenalin tidak seharusnya diberikan secara rutin kerana:

1. Degupan jantung pesakit mungkin sudah terlalu laju akibat ribut katekolamin (stress tubuh melampau)

2. Pesakit mungkin mengalami keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan jantung lebih mudah mengalami aritmia

3. Adrenalin boleh memburukkan keadaan dengan menambah beban kepada jantung, dan mencetuskan kegagalan kardiovaskular

Peranan doktor adalah untuk membezakan Alergi vs Envenomasi melalui penilaian secara klinikal:

  • Adakah gejala disebabkan oleh alergi (anafilaksis)?
  • Atau disebabkan oleh kesan toksin secara sistemik (envenomasi)?

Kedua-duanya boleh berlaku serentak tetapi rawatan utama adalah berbeza.

Kesimpulannya, Adrenalin menyelamatkan nyawa dalam anafilaksis, tetapi boleh memudaratkan jika diberikan tanpa petunjuk yang tepat. Pemahaman tentang kompleksiti bisa serangga, dan keupayaan membezakan manifestasi klinikal, adalah kunci untuk merawat dengan selamat dan berkesan.

Baca juga:  Awas Sengat Tebuan Boleh Bawa Maut, Ini Yang Anda Perlu Lakukan Jika Terkena

Baca juga: Gigitan Serangga Pada Anak (Insects Bites): Jenis Gigitan Serangga, Tanda & Cara Menghilangkan Bekas Gigitan Serangga Anak

Baca juga: Tabah Diuji Kematian Anak Kecil, Habuannya Mereka Beri Syafaat Kepada Ibu Ayah Di Akhirat Kelak

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!