Beri Anak 5 Makanan Tingkatkan Sistem Imun Badan Ini, Biar Dapat Lawan Covid-19
Mahu ketahanan dan sistem imun anak bertambah kuat dan sihat? Ibu ayah kena selalu memberikan mereka beberapa jenis makanan ini.
Risaunya dalam hati ibu ayah kalau melihat si comel yang semalamnya ceria dan girang tapi tiba-tiba harini demam dan selesema. Agaknya, apa ya jenis makanan yang dapat membantu memperkuatkan sistem imun badan anak sekaligus melawan jangkitan kuman?
Walaubagaimanapun, menjadi satu lumrah bagi kanak-kanak mengalami demam, batuk dan selesema kerana daya ketahanan badan mereka masih belum cukup kuat dan tidak sama seperti orang dewasa.
Atas sebab keprihatinan ibu bapa terhadap si kecil mereka, lantas pemberian suplemen diberikan selalu. Tapi, jika tidak diberikan pemakanan yang betul, segala usaha untuk pertingkatkan sistem imun badan anak adalah menjadi sia-sia.
Tingkatkan sistem imun badan anak
Seperti yang kita semua tahu, penularan wabak corona virus kini hanya boleh dicegah dengan mempertingkatkan sistem imun atau ketahanan badan supaya jangkitan tadi boleh dilawan dengan cepat.
Hal ini kerana, seluruh dunia masih bertungkus lumus mencari penawar atau vaksinasi untuk membendung penularan wabak ini.
Lantas dengan itu orang ramai diminta untuk mengamalkan penjarakan sosial dan duduk di rumah supaya wabak ini dapat dikengkang dengan lebih baik.
Sememangnya suplemen boleh membantu meningkatkan sistem ketahanan badan si kecil tapi ia perlulah ditambah bersama pemakanan yang sihat.
Hal ini kerana, sistem kekabalan tubuh itu berfungsi sebagai melindungi tubuh dari ancaman penyakit berjangkit ataupun tidak berjangkit.
Dr Zubaidi Ahmad mencadangkan beberapa jenis sayur-sayuran yang sangat bermanfaat untuk meningkatkan daya ketahanan badan kanak-kanak setiap hari.
Jom kita lihat apakah sayuran dan buahan tersebut.
5 Jenis makanan pertingkatkan sistem imun badan anak
#1. Sayur Brokoli
Seronok rasanya bila melihat si kecil makan sayur bersama nasi putih dengan penuh berselera. Sambil ibu tersenyum kambing di tepi mereka.
Mana tak seronoknya sebab sayur brokoli ini mengandungi serat dan antioksidan yang sangat tinggi.
Malah brokoli juga mengandungi Vitamin A, Vitamin C dan Vitamin E yang sangat bagus untuk mempertingkatkan ketahanan badan si kecil.
Namun begitu, cara penyediaan sayur ini perlu dibersihkan dengan baik supaya tiada kulat yang terselit d mana-mana bahagian sayur ini, kemudian kukus bersama nasi.
#2. Bawang putih
“Abang jangan lupa bawang putih” – ini antara dialog yang sering ibu utarakan pada suami tatkala mereka keluar membeli barangan dapur.
Nak-nak pula sekarang hanya seorang sahaja yang boleh keluar membeli keperluan barang di kedai yakni ketua keluarga, jadi kalau suami lupa beli boleh tak berasap dapur!
Apapun, bawang putih ini dipercayai mengandungi sebatian allicin yang bersifat antibakteria dan antivirus.
Jadi kalau nak sediakan makanan si kecil, ibu boleh masukkan sekali bawang putih ke dalam hidangan mereka.
#3. Kunyit
Kalau nak tahu, kunyit juga sangat bagus untuk mempertingkatkan sistem imun badan anak kerana ia memiliki sebatian cucurmin yang bersifat antiradang.
Jadi, kalau tengah masak makanan anak, ibu boleh tambah atau lebihkan kunyit dalam masakan supaya anak-anak suka menikmatinya.
Contoh makanan yang boleh diberikan dengan menggunakan kunyit seperti ayam goreng kunyit, ikan goreng kunyit, kunyit hidup bergoreng, sayur campur kunyit sedikit atau lain-lain. Hmmm tentu enak!
#4. Sayur bayam
Sayur berdaun hijau ini mengandungi antioksidan yang sangat tinggi dan cara penyediaannya juga sama seperti brokoli tadi.
Walaubagaimanapun, ibu perlu bersihkan dengan baik sayur bayam ini dan beli sayur yang masih segar.
Sebelum beri pada anak, kukus dahulu bayam bersama nasi agar khasiat dan nutrisinya tidak hilang.
#5. Buah betik
Buah betik manis merupakan buah-buahan tempatan yang sangat bermanfaat bagi mempertingkatkan sistem kekebalan badan anak.
Betik ini mengandungi sebatian papain yang berfungsi sebagai antikeradangan, selain turut memiliki Vitamin B, Potassium dan asid folat.
Apatah lagi, sebiji buah betik mengandungi Vitamin C yang sangat tinggi.
Justeru, ayuh ibu ayah kita melatih anak-anak mendapatkan makanan yang sihat supaya tubuh mereka sentiasa sihat, cergas dan kuat bagi melawan sebarang jangkitan yang datang. Semoga bermanfaat.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
https://my.theasianparent.combagaimana-untuk-meningkatkan-sistem-imun-anak-anda