Suami Prank Curang Sempena Birthday Isteri Bertukar Tragedi, Dari Suka-Suka Menjadi Duka
Suami prank curang sempena birthday isteri boleh mendatangkan mudarat dalam hubungan rumah tangga hingga bertukar kepada tragedi
Setiap orang pastinya akan berusaha membahagiakan pasangan terutamanya pada hari lahir. Baru-baru ini tular video mengenai suami prank curang terhadap isteri yang membuatkan ramai netizen tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian.
Niat mungkin hanya ingin membuat kejutan tetapi suaminya itu berkomplot bersama anak-anak untuk ‘prank’ wanita itu mengundang kecaman warga maya.
Isi Kandungan
Trend Suami Prank Curang
Menerusi video tular berdurasi 1 minit 51 saat tersebut, lelaki berkenaan kononnya membawa pulang wanita lain yang membuatkan isterinya marah.
Si isteri pulang dalam keadaan tergesa-gesa menyerbu kediaman yang kononnya sang suami telah kantoi membawa pulang wanita muda.
Namun sebaik membuka pintu bilik dalam keadaan marah, beliau dikejutkan dengan nyanyian lagu Happy Birthday dan kek hari jadi yang telah dinyalakan lilin.
Belum sempat kasut dibuka, wanita berkenaan sempat melemparkan topi keledar dan memberi amaran.
“Kau main-mainkan aku kan? Aku tak nak dengarlah, tak guna.
“Kau jangan bang, kalau kau betul-betul buat,” kata si isteri dalam sebak.
Isteri Menangis Selepas Kena Prank Curang
Dalam babak lain, wanita berkenaan berlinang air mata seolah dalam keadaan tidak rela memotong kek dan menerima hadiah daripada suami.
“Semoga awak panjang umur,” kata si suami sambil memeluk. Malah wanita itu juga menerima pelukan daripada anak-anaknya.
Malah wanita yang berlakon menjadi ‘pucuk muda’ itu turut meminta maaf. Prank berkaitan kecurangan seumpama itu bukanlah pertama kali. Bahkan sebelum ini pernah meragut nyawa.
Prank Suami Curang Bertukar Tragedi
Kejutan hari lahir seorang bapa tiga anak berakhir tragedi berdarah yang menyaksikan kematian si isteri.
Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Siti Zainah Zainani menerusi ruangan berkata pernah mengendalikan kes kemalangan maut yang berkaitan dengan prank begitu.
“Saya pernah handle kes kemalangan maut. Rupa-rupanya si isteri dalam perjalanan untuk pulang dalam tergesa-gesa sebab kawan beritahu suami bawa perempuan lain pulang ke rumah.
“Keluar dari simpang kilang motosikal isteri terbabas dilanggar kereta. Si isteri meninggal dunia ditempat kejadian. Suami di rumah tunggu hendak prank birthday wife, tapi majlis prank bertukar jadi tragedi berdarah.
“Sampai sekarang husband berkenaan tidak kahwin lagi dan fokus besarkan tiga orang anak. Anak sulung mereka sekarang sudah masuk universiti.
“Bukti si suami menyesal tak sudah ialah sampai sekarang dia tak kawin lain. Semasa kejadian anak-anak kecik lagi. Yang sulung tu pun tadika kalau tak silap,” katanya
Jadi kalian, berpada-padalah. Berkahwin dan berjanji hidup untuk bersama sampai jannah, elakkan menyakiti hati pasangan dan memmalukan di media sosial ya
Hukum Prank Suami Isteri
Hukum suami bergurau dengan isteri dengan cara prank curang adalah haram di dalam Islam. Ini kerana ia melanggar batasan syariah itu sendiri yang melarang bergurau secara berlebihan dengan cara menipu dan mereka-reka cerita yang palsu.
Malah haram hukumnya jika seorang suami atau isteri menyakiti pasangannya sehingga mengakibatkan kesakitan pada emosi dan fizikal.
Trend gurauan sebegini tidak sepatutnya dilakukan apatah lagi menjadi bahan tatapan di internet dan media sosial.
Ia melanggar batasan syariah itu sendiri yang melarang bergurau secara berlebihan dengan cara menipu dan membuat-buat cerita yang palsu.
Gurauan sebegini mengakibatkan kesan yang buruk pada emosi dan mental isteri ersebut, malah haram hukumnya jika seorang suami atau isteri menyakiti pasangannya sehingga mengakibatkan kesakitan pada emosi dan fizikal.
Adab Gurau Senda Suami Isteri
1. Asalnya, bergurau senda yang TIDAK memberikan kesan yang buruk pada hubungan sesama muslim atau TIDAK membawa kepada dosa adalah dibolehkan. Perkara itu termasuk dalam bab muamalah atau pergaulan antara manusia yang hukum asalnya dibolehkan (harus) selagi tidak terbabit dengan perkara yang haram ia dibolehkan.
2. Gurau senda yang membawa kepada hubungan baik sesama manusia, apatahlagi sesama muslim mendapat pahala jika niatnya baik dan caranya betul.
Gurau senda yang membawa kemesraan antara suami isteri digalakkan oleh agama sehingga Nabi s.a.w menyebut kepada Jabir bin ‘Abd Allah ketika menggalakkan beliau berkahwin dengan anak dara:
«فَهَلَّا جَارِيَةً تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ، وَتُضَاحِكُهَا وَتُضَاحِكُكَ»
“Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
3. Namun, gurauan yang boleh menimbulkan salahfaham, atau kebencian, atau ketakutan, atau merendahkan maruah, atau penghinaan dan atau apa-apa kesan yang buruk adalah haram di sisi syarak. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H):
المزاحُ المنهيُّ عنهُ، هُو الذي فيه إفراطٌ، ويُداوم عليه، فإنه يُورث الضحك وقسوةَ القلب، ويُشغل عن ذكر الله تعالى والفكر في مهمات الدين، ويؤولُ في كثيرٍ من الأوقات إلى الإِيذاء، ويُورثُ الأحقاد، ويُسقطُ المهابةَ والوقارَ. فأما ما سَلِمَ من هذه الأمور، فهو المباحُ الذي كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفعلهُ، فإنه صلى الله عليه وسلم إنما كان يفعلهُ في نادرٍ من الأحوالِ لمصلحةٍ، وتطييب نفس المخاطب ومؤانستهِ، وهذا لا منعَ منهُ قطعاً، بل هو سنةٌ مستحبةٌ إذا كان بهذهِ الصفةِ
“Ketahuilah sesungguhnya gurauan yang dilarang itu ialah yang melampaui batas dan berterusan (sentiasa melakukannya). Ini kerana ia menyebabkan ketawa dan keras jantung hati, melalaikan dari mengingati Allah dan (melalaikan) berfikir tentang perkara-perkara utama dalam agama. Ia juga dalam banyak keadaan membawa kepada menyakitkan pihak lain, menyebabkan kebencian, menjatuhkan kewibawaan dan ketenangan diri. Adapun gurauan yang selamat daripada perkara-perkara tersebut maka ia harus (dibolehkan), yang mana Rasulullah s.a.w melakukannya secara jarang-jarang dengan tujuan kemaslahatan tertentu, untuk membahagia dan memujuk perasaan pendengar. Ini sama sekali tidak dilarang. Bahkan ia satu sunnah yang disukai jika (berlaku) atas sifat tersebut” (al-Nawawi, al-Azkar, ms 326. Beirut: Dar al-Fikr ,1414H)
Kesimpulannya, tidak salah mencipta kejutan buat pasangan tercinta. Namun fikir terlebih dahulu sama ada tindakan suami prank isteri tersebut memberikan kebaikan atau lebih banyak keburukan terhadap hubungan suami isteri.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Nusyuz Suami Terhadap Isteri Dalam Islam: Hukum, Tanda Suami Nusyuz & Apa Perlu Isteri Buat
Baca juga: 11 Sebab Kenapa Suami Curang & Ada Perempuan Lain Walaupun Isteri Cantik, Bekerjaya
Baca juga: 10 Dosa Isteri Terhadap Suami Yang Ramai Wanita Tidak Sedar Hingga Menjejaskan Hubungan Rumah Tangga