Alahai Indahnya Bunga-Bunga Di Taman, Tapi Awas! Kenali Tumbuhan Beracun Dengan Ciri-Ciri Ini
Dahulu pernah tular dengan berita anak kecil termakan pokok beracun di rumah, lantas ibu-bapa lebih peka dengan pokok-pokok yang patut di letak di rumah. Tapi bagaimana pula nak menjaga anak-anak dari tumbuh-tumbuhan beracun di taman?
Jika anda sebut saja nak bawa anak-anak ke taman, seronoknya mereka bukan kepalang! Mana tidaknya di kawasan yang luas, mereka bebas berlari ke sana-sini, sambil menikmati tumbuh-tumbuhan cantik nan segar! Tapi awas ibu bapa semua, anda perlu peka tau dengan tumbuhan beracun, lebih-lebih lagi bunga-bungaan. Cantik dilihat namun tidak ‘cantik’ dipegang ya!
Dahulu pernah tular dengan berita anak kecil termakan pokok beracun di rumah, lantas ibu-bapa lebih peka dengan pokok-pokok yang patut di letak di rumah.
Tapi bagaimana pula nak menjaga anak-anak dari tumbuh-tumbuhan beracun di taman? Ini dia ciri-ciri tumbuhan beracun yang ibu bapa perlu tahu!
Menurut Susiani, seorang pensyarah dari Fakulti Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam Universiti Indonesia, perhatikan ciri-ciri berikut untuk mengetahui tanaman beracun di sekeliling kita.
Ciri-ciri tumbuhan beracun
#1. Melalui aroma
Selalunya tumbuhan yang beracun ini mempunyai bau yang menyengat dan tidak sedap untuk dicium.
Efek dari bau tumbuhan itu juga boleh menjadikan anda loya, pening dan tidak sedap badan.
Jika anda terbau tumbuhan seperti ini, elakkan dari berdekatan dengannya. Jauhkan juga anak-anak supaya tidak bermain berdekatan tumbuhan berikut.
#2. Warna terang
Tumbuhan yang berwarna memang sering dikaitkan dengan tumbuhan beracun. Memanglah tampak cantik berwarna merah, biru, kuning dan sebagainya, tapi ia mungkin berbahaya ya!
Pastikan anak-anak tidak memetik tumbuhan atau bunga-bungaan berwarna ya, bimbang pula terjadi apa-apa.
#3. Getah pada tumbuhan
Getah antara salah satu ciri tumbuhan beracun. Biasanya getah ini boleh didapati di bahagian batang, daun, akar, buah serta bijinya.
Tidaklah semua tumbuhan yang bergetah itu berbahaya, cara untuk mengetahuinya adalah calitkan sedikit getah itu pada belakang tapak tangan. Jika muncul iritasi, bermakna ia beracun. Jadi jauhkan dari si kecil!
#4. Lihat interaksi haiwan
Setiap haiwan diciptakan dengan naluri semula jadi untuk melindungi diri mereka, ini termasuklah tanaman beracun. Jadi kita perlu manfaatkan dari naluri haiwan ini untuk mengetahui sekiranya tumbuhan itu berbahaya atau tidak.
Jika anda lihat haiwan itu mendekati sesuatu tumbuhan itu dan memakannya, ia bermakna tumbuhan itu selamat. Begitu juga sebaliknya.
#5. Sentiasa bertanya pada yang pakar
Setiap kali anda pergi mencari atau membeli pokok baru, sentiasalah peroleh maklumat tentang tumbuhan apa yang beracun dan apa yang tidak. Jangan pakai beli sahaja, terutama yang mempunyai anak kecil, info sebegini penting buat anda ibu bapa!
Risiko pokok beracun pada si kecil
Menurut pakar pediatrik dari Florida, Forever Freckled, perkara penting adalah mendidik diri mengetahui jenis tumbuhan di dalam dan sekitar anda sama ada ia boleh mendatangkan kebaikan sebagai mengawal pencemaran udara atau menjadi racun terhadap bayi anda.
Alahai cantik rupa mu, tapi racun buat ku:
Sebelum memilih tumbuhan hiasan ini, ibu ayah perlu merujuk Pusat Racun Negara terlebih dahulu agar lebih mengetahui ia benar-benar selamat ataupun sebaliknya. Ini antara pokok bunga yang sering kita nampak tapi sebenarnya beracun!
#1. Easter Lily
Terkenal dengan bunga putihnya yang polos, Easter Lily sering dibawa pulang dalam bentuk jambangan bunga yang cantik. Tetapi perlu diingat, tumbuhan beracun ini boleh merengsakan mulut dan tekak dan bahkan menyebabkan mual atau muntah sekiranya tertelan.
#2. Oleander
Kadang-kadang ditanam di kebun di sekitar rumah, bunga yang indah ini terkenal dengan bunga putih, merah jambu atau kuning. Namun, ia adalah salah satu tanaman paling beracun di sekitar rumah.
Hal ini kerana Oleander mempunyai toksin yang boleh mematikan jantung. Jika tertelan, ia boleh menyebabkan mual, muntah, degupan jantung perlahan, tekanan darah rendah (yang boleh menyebabkan mengantuk) dan bahkan kematian. Sekiranya anda mengesyaki anak termakan pokok beracun ini, segera ke unit kecemasan hospital!
#3. Peace Lily
Antara kegemaran ramai wanita-wanita, ia juga adalah tanaman tahan lasak dengan daun hijau tua dan bunga putih. Ia sangat popular dalam kalangan penggemar hiasan rumah, Akan tetapi, tanaman rumah beracun ini juga mengandungi kalsium oksalat yang mengakibatkan gejala yang sama pada kulit dan mulut, mual serta muntah.
#4. Azalea
Nama bunga ini cukup popular bukan kerana bunganya sahaja, tapi kerana ia menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa untuk menamakan anak perempuan mereka Azalea. Disebabkan mekarnya cukup indah dan berwarna-warni, Azalea menghiasi banyak halaman rumah dan taman. Sekiranya kanak-kanak tergigit tumbuhan ini, gejala ringannya adalah kerengsaan mulut, mual dan muntah. Tetapi menelan sejumlah besar tumbuhan beracun ini, sama ada daun atau boleh mengancam nyawa si manja.
#5. Daffodil
Memang cantik bunga daffodil ini, tapi jika anda membawa anak-anak ke taman dan melihat bunga ini, hati-hati ya. Lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak yang suka mengutip dan memasukkan sesuatu dalam mulut mereka, warna ini pasti menarik minat si kecil! Walaupun tidak terlalu beracun, tumbuhan ini boleh membahayakan jika termakan dalam kuantiti yang banyak kerana ia boleh merengsakan mulut, tekak dan menyebabkan mual, muntah serta cirit-birit.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: 99.co
Baca Juga
Hiasan Daun Tanaman Mencantikkan Rumah Tapi Ada Pokok BERACUN!