Suka Gigit Kuku Salah Satu Tanda Anak Mungkin Ada Jangkitan CACING!
Ubat cacing memang jarang dititikberarkan, tetapi tahukah anda ia amat penting kerana jika terkena jangkitan cacing anak boleh alami kegagalan jantung!
Kadang kala ibu bapa terlepas pandang mengenai pemberian ubat cacing kepada anak. Ada yang mungkin tak pernah pun beri ubat cacing kepada anak.
Ada ibu bapa yang memang tahu mengenai perkara ini tetapi, masih ada juga yang tidak pasti bila waktu sesuai untuk beri ubat cacing kepada anak.
Masalah cacing ini sebenarnya tidak boleh dipandang ringan, jika tidak dirawat segera, anak boleh alami masalah usus tersumbat, anemia teruk dan kegagalan jantung untuk berfungsi.
Baca juga: Anak gatal di lubang bontot- adakah dia terkena penyakit cacing?
Ubat cacing penting untuk anak
Menurut Dr Zubaidi Ahmad, jangkitan cacing adalah jangkitan parasit yang boleh hidup dalam darah, usus atau organ tubuh.
Cacing akan masuk ke tubuh kanak-kanak bila mereka termakan telur cacing yang berada dalam makanan. Ini dilakukan secara tak sengaja apabila mereka beli makanan-makanan yang dimasak secara tak sempurna di gerai-gerai di luar.
Telur cacing ini akan menetas dalam usus kecil dan membesar dengan mendapat zat pemakanan di usus ketika proses penghadaman. Cacing yang dewasa mengawan dan bunting akan bergerak ke usus besar dan rektum. Telur cacing ni akan dikeluarkan melalui najis.
Jangkitan berlaku bila termakan atau minum air yang tercemar dengan telur cacing
Kanak-kanak yang mengabaikan kebersihan tangan sebelum makan adalah golongan utama yang menjadi mangsa jangkitan parasit cacing.
Selain itu cacing juga boleh memasuki tubuh melalui kulit kaki yang terdedah. Terdapat pelbagai jenis cacing yang menjadikan tubuh kita sebagai tempat untuk mereka membesar dan membiak.
Antaranya termasuklah cacing cangkuk (hook worm), cacing gelang (round worm), cacing benang (thread worm), cacing kerawit dan cacing pita (tape worms).
Disebabkan itulah perlu berhati-hati apabila memasak makanan untuk anak dan jika gunakan tanda awam, pastikan anda mencucinya bersih terlebih dulu sebelum anak gunakannya.
Simptom jangkitan cacing pada anak
Simptom yang menandakan nutrien anak telah dicuri dan mengalami jangkitan cacing termasuklah:
- Pucat akibat anaemia (kurang darah merah)
- Cepat rasa lemah dan letih
- Kurang selera makan
- Abdomen yang kembung
- Gatal di kulit kaki dan lubang dubur
- Menggigit kuku
Jangkitan cacing jarang berakhir dengan kematian tetapi ia boleh memberi kesan negatif untuk jangka panjang terhadap pertumbuhan fizikal, perkembangan minda dan pendidikan.
Cacing-cacing ini akan mengambil nutrien makanan yang diserap ketika kita makan dan mengalami kekurangan zat makanan. Inilah yang akan menyebabkan kanak-kanak menjadi cepat penat dan perkembangan fizikal mereka mudah terganggu.
Jangkitan cacing yang kronik juga memberi kesan yang bahaya. Sebagai contoh serangan cacing pita boleh menyebabkan kerosakan otak, cacing kerawit boleh menyebabkan usus tersumbat, kembung abdomen dan sembelit.
Berapa kerap anak perlu diberikan ubat cacing?
Menurut Dr Zubaidi, biasanya ubat cacing (deworming) diberikan dalam jarak antara 6 bulan hingga setahun sekali. Jarang sekali kanak-kanak mengalami kesan sampingan yang merbahaya dari ubat yang dimakan.
Selalunya cacing mati yang dikeluarkan akan menyebabkan kulit kanak-kanak menjadi ruam dan gatal. Deworming secara berkala juga akan membantu mengeluarkan cacing serta telurnya dari usus kanak-kanak yang dijangkiti.
Katanya, mengambil satu contoh produk ubat cacing yang boleh dibeli dari farmasi. Vemizol, adalah ubat cacing berbentuk suspension cecair yang mengandungi 200mg albendazole dalam setiap 5 ml.
Dos yang diberikan bergantung kepada umur kanak-kanak itu. Bagi kanak-kanak antara 1-2 tahun, 5 ml diberikan sebagai dos tunggal. Sementara bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas, 10ml diberikan sebagai dos tunggal.
Di negara dunia ketiga, jangkitan parasit cacing memberikan masalah besar pada kanak-kanak. Ia memberi kesan kepada mereka dari segi kehadiran ke sekolah.
Laporan UNICEF membuktikan kanak-kanak yang diberikan ubat cacing mempunyai berat dan perkembangan fizikal yang sempurna berbanding mereka yang tak diberi ubat cacing.
Jika ada haiwan peliharaan, perkara ini sangat perlu diberi perhatian. Malah haiwan juga perlu diberikan ubat cacing secara berkala.
Cara elak serangan cacing
- memakai kasut apabila anda berjalan di luar rumah, terutama di kawasan yang mungkin mempunyai najis di dalam tanah
- minum air yang bersih dan dimasak
- membersihkan dan memasak makanan
- mengamalkan cara cuci tangan yang betul
- elakkan ikan mentah dan daging
- simpan dan masak daging atau ayam dengan betul
- basuh, kupas, atau masak semua buah-buahan dan sayuran mentah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Dr Zubaidi Ahmad
Baca juga: Lepas Makan Sashimi Wanita Ini Sakit Tekak 5 Hari, Rupa-Rupanya…