Tipu Nurse Selepas Muntahkan Air Gula, Ibu Ini Kesal Bayi Meninggal Dalam Kandungan
Gara-gara tipu nurse masa minum air gula sewaktu mengandung, seorang wanita berkongsi perasaan kesal selepas bayi yang dikandungkan meninggal dalam perut.
Melihat ‘double line’ pada ujian kehamilan untuk pertama kali tentunya perasaan seronok itu mula hadir dalam hati seorang wanita yang bakal bergelar ibu. Namun dalam merasai keseronokan itu, ibu harus melalui beberapa cabaran alahan kehamilan yang biasanya muncul di awal trimester pertama seperti muntah, mual, pening kepala, cepat loya, tidak bertenaga, rasa mengantuk dan kena minum air gula.
Dengan badan yang kurang bertenaga itu, ibu harus cergas untuk ke Klinik Kesihatan bagi melakukan checkup hamil setiap bulan.
Di tambah pula kena tunggu giliran yang mungkin mengambil masa beberapa jam untuk selesai keseluruhan checkup.
Jadi menjadi seorang ibu itu memerlukan pengorbanan yang cukup besar dari seorang insan bergelar wanita.
Ibu wajib minum air gula
Sepanjang checkup kehamilan, salah satu perkara yang wajib ibu lakukan adalah minum air gula.
Masa inilah jururawat yang bertugas boleh melihat kelakukan setiap ibu semasa minum air gula ini. Ada yang terus muntah lepas minum, ada yang tipu-tipu minum air gula dan ada juga yang sesuka hati campur air gula dengan air masak. Alahai ibu!
Ikuti perkongsian daripada seorang ibu ini apabila dia rasa kesal selepas muntahkan air gula dan tidak memberitahu kepada nurse.
Ibu, jangan skip minum air gula!
“Jangan skip minum air gula, ibu. Semasa hamil pertama saya mendapat bayi kembar. Tapi, saya muntahkan air gula dan tidak beritahu nurse. Keputusan di buku pink tulis TIADA DIABETES.
“Sehinggalah kandungan sudah masuk ke 7 bulan, bayi kembar saya meninggal secara tiba-tiba dalam perut. Ini kerana, tahap kencing manis mula tinggi semasa di hujung kehamilan.
“Malah, ia bermula sejak dari awal kehamilan lagi apabila tiada pantauan sebab saya dah tipu tentang air gula.
“Sebab itu ada risiko kencing manis semasa hamil adalah bayi boleh meninggal dalam perut secara tiba-tiba atau masalah jantung pada bayi.
Tidak skip air gula semasa kehamilan kedua
“Kemudian, pada kehamilan yang seterusnya, saya tidak skip untuk melakukan ujian air gula kerana sudah tahu ia sangat penting.
“Malah saya juga disahkan menghidap diabetes namun masih dalam keadaan terkawal,” katanya lagi.
Wanita berkenaan turut mengatakan, doktor meminta dirinya supaya menjaga makan dan mengikut saranan daripada pakar diet.
Malah doktor turut berkata, perkara yang sangat kecewa dan marah apabila ibu hamil bagaikan tidak sayangkan bayi dalam kandungannya.
Ini kerana kalau bukan diri sendiri yang jaga pemakanan, siapa lagi yang boleh buat untuk baby dalam perut?
Kalau orang kata diabetes ini boleh buat bayi jadi besar tapi itu tidak mengapa kerana doktor boleh mengeluarkan bayi secara pembedahan bila sampai due date.
Tapi perkara yang paling ditakuti adalah bila baby meninggal secara tiba-tiba.
“Semasa dimarahi begitu, saya tunduk malu. Memang saya ada ikut semua saranan daripada doktor tapi bila tengok kek dan teh tarik di hujung kehamilan rasa tidak tertahan” katanya.
“Malah bila diikutkan bukan makan banyak mana pun dan fikir ia masih ok, tapi masa kandungan masuk ke 36 minggu tiba-tiba kiraan pergerakan baby dalam perut seakan tidak cukup 10 kali dan saya terus ke hospital.
“Kemudian saya ditahan di dalam wad dan disuntik dengan insulin. Sementara bayi pula sentiasa dipantau dan beberapa jam kemudian nurse buat lagi pemeriksaan dan dia kelihatan cemas lalu memanggil doktor.
“Masa itu saya masih mamai kerana baru bagun tidur, kemudian terus doktor suruh hubungi suami kerana perlu melakukan emergency czer kerana jantung bayi sudah lemah!
“Semasa itu saya disorong dalam bilik bedah dan kemudian bayi perempuan selamat dilahirkan dengan berat 2.5kg.
“Kemudian bayi terus dimasukkan dalam Nicu untuk seminggu kerana mengalami hypo kekurangan gula selepas berpisah dari badan ibu yang tinggi gulanya. Kemudian bayi saya diberikan gula tambahan supaya tahap gulanya normal seperti baby yang lain.
Walau baby selamat dilahirkan tapi ibu tetap kesal tak jaga kandungan dengan betul
Beliau menambah, dia bersyukur yang bayinya selamat, namun tetap kesal kerana tidak seratus peratus menjaga makan ketika hamil terutama bila disahkan ada kencing manis (GDM). Malah bayinya juga menghidap masalah jantung.
“Sehingga kini, anak sudah berumur lima bulan dan kami masih perlu follow up dengan doktor pakar jantung untuk lihat perkembangannya.
“Justeru, ibu-ibu yang lain, ikutlah garis panduan yang betul untuk ujian air gula dan jangan sesekali skip minumnya sewaktu hamil.
“Ia penting untuk perkembangan dan kesihatan bayi dalam kandungan malah doktor dan pakar diet boleh buat pemantauan dengan lebih awal sekiranya ibu ada GDM semasa mengandung.
“Jika tidak risiko tinggi yang akan berlaku pada bayi yang tidak berdosa itu,” kongsinya lagi.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Info Ibu Hamil
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga