Akta Kecuaian Ibu Bapa (Akta Kanak-Kanak 2001/ Akta 611): Jenis Kesalahan Yang Boleh Didakwa & Hukuman

Akta kecuaian ibu bapa melibatkan tindakan pengabaian atau kecuaian menjalankan tanggungjawab adalah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)

Dalam membesarkan anak-anak, ramai ibu ayah mungkin tidak menyedari bahawa sedikit kecuaian boleh mendatangkan risiko kanak-kanak hilang, cedera ataupun kehilangan nyawa. Dalam hal ini, kewujudan Akta Kecuaian Ibu Bapa di negara kita boleh menyebabkan anda dikenakan tindakan undang-undang.

Kecederaan fizikal, emosi, atau kematian kanak-kanak akibat sikap tidak acuh ibu bapa bukanlah satu kemalangan, sebaliknya berpunca daripada kecuaian.

Akta Kecuaian Ibu Bapa Di Malaysia

Pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan melaksanakan peruntukan yang ada di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], demi melindungi kanak-kanak.

Jenis Kesalahan Yang Boleh Didakwa

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd, kepada Malaysia Gazette pada tahun 2020 menjelaskan perbuatan cuai atau abai adalah suatu kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

1. Kesalahan Di Bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001

Jenis Kesalahan Seksyen 31: Penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak oleh ibu bapa atau penjaga yang menyebabkan kecederaan fizikal, emosi atau seksual.

Ibu bapa atau penjaga juga dianggap mengabaikan kanak-kanak jika tidak menyediakan makanan, pakaian, rawatan perubatan, pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi jika anda mampu.

Hukuman: Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, serta perintah khidmat masyarakat sebagai hukuman mandatori.

Sebelum 2016, kesalahan ini dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, tanpa perintah khidmat masyarakat.

2. Kesalahan Di Bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001

Jenis Kesalahan Seksyen 33: Ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan dan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan sewajarnya. Ini termasuklah:

  • Meninggalkan kanak-kanak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.
  • Kemalangan seperti kebakaran, tersiram air panas, atau jatuh dari balkoni kerana tingkap tidak dikunci, penjaga atau ibu bapa melakukan kesalahan di bawah akta ini.

Hukuman: Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali, serta perintah khidmat masyarakat sebagai hukuman mandatori.

Sebelum pindaan, kesalahan ini dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, tanpa perintah khidmat masyarakat.

Tambah beliau, walaupun masyarakat bersimpati dengan keluarga yang kehilangan anak mereka, tindakan perlu diambil untuk memastikan tiada kecuaian atau pengabaian yang disengajakan berlaku, dan pihak yang cuai perlu dihukum.

Kehilangan anak adalah hukuman paling berat bagi keluarga tersebut, namun hukuman tetap perlu dilaksanakan sebagai teladan untuk memastikan kanak-kanak sentiasa berada dalam keadaan selamat, terpelihara dan sihat.

akta kecuaian ibu bapa, akta kanak kanak 2001, akta kanak-kanak 2001, akta 611, kesalahan kecuaian ibu bapa, kesalahan pengabaian ibu bapa

Contoh Kes Yang Disiasat Di Bawah Akta Kanak-Kanak

  • 16 April 2022: Budak 4 tahun maut jatuh tingkat 18 kondominium. Siasatan awal mendapati mangsa dibiarkan tidur bersendirian tanpa pengawasan manakala ibunya telah keluar dari rumah
  • 17 November 2021: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut, dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves. Difahamkan ibu mangsa yang juga seorang ibu tunggal dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan dan mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun bersama ibu saudara berusia 36 tahun.
  • 9 November 2023: Bayi perempuan 2 tahun maut ditinggal lebih 7 jam dalam kereta di Ara Damansara. Difahamkan, ibu mangsa terlupa menurunkan anaknya di tadika apabila menyelesaikan urusan perniagaan dalam taliannya.
  • 31 Januari 2024: Anak kepada petugas hospital berusia 5 tahun meninggal di dalam kereta setelah ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di parkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam
  • 27 Februari 2024: Kanak-kanak lelaki autisme berusia 5 tahun ditemui lemas di tasik dekat Taman Aman. Difahamkan, bapa mangsa mendakwa telah tertidur semasa memerhatikan anak-anaknya yang sedang bermain sekitar kawasan taman tersebut.
  • 9 Mac 2024: Seorang bayi lelaki ditemui mati dalam keadaan menyayat hati selepas dicampak dari tingkat atas sebuah kondominium di Sri Petaling. 
  • 24 April 2024: Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun maut, dipercayai jatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Bandaraya Johor Bahru setelah ibu keluar ambil anak sulung balik sekolah sewaktu mangsa sedang tidur
  • 5 Jun 2024: Kanak-kanak autistik berusia 5 tahun ditemui lemas di taman tema air di Bertam, Pulau Pinang. Ibu mangsa memberitahu anaknya hilang dari pandangan ketika sedang mandi bersama ahli keluarga lain.
  • 13 Jun 2024: Pertuduhan ibu bapa mengabaikan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan di PJU Damansara Damai. Difahamkan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, didapati telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Sebab Ibu Bapa Boleh Terlepas Tindakan Undang-Undang

Menurut penjelasan Exco Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid, kepada Mstar pada tahun 2015, banyak kes ibu bapa yang cuai terlepas daripada tindakan undang-undang.

Hal ini kerana pihak penguatkuasa bersimpati dengan penderitaan keluarga mangsa yang kehilangan anak mereka.

“Kita mempunyai undang-undang khusus di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] bagi melindungi hak kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Faridah menyatakan kekecewaannya terhadap sikap segelintir ibu bapa yang memandang remeh soal keselamatan anak mereka, sehingga berlaku kemalangan, kehilangan, atau kematian.

Pendakwaan Untuk Lindungi Kanak-Kanak

Menurut penjelasan Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff kepada Bernama, pendakwaan terhadap ibu bapa atau penjaga yang dikatakan tidak berniat mengabaikan anak, berkata lazimnya dalam konteks undang-undang, sesebuah kes dilihat berdasarkan fakta kejadian.

“Bagi peruntukan dalam Akta 611 ini, ia menyatakan tidak semestinya berlaku kecederaan atau kemalangan terhadap fizikal atau emosi kanak-kanak (mangsa), tetapi jika wujud kebarangkalian risiko yang bakal mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak tersebut sudah mencukupi untuk seseorang penjaga dikatakan berlaku cuai atau abai,” jelasnya.

Menurutnya lagi, undang-undang digubal bagi melindungi semua pihak secara adil, justeru memang wajar dan perlu ibu bapa atau penjaga didakwa di mahkamah sekiranya melakukan perbuatan yang digariskan dalam Akta 611.

Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke atas anak-anak di bawah jagaan mereka.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:  Ibu Keluar Ambil Juadah Berbuka, Balik Rumah Meraung Anak MAUT Terjatuh Tingkat 12!

Baca juga:  Budak 12 Tahun Jatuh Basikal Maut Dilanggar Lori, Ibu Wajib Ajar Tips Keselamatan Ini!

Baca juga:  Lagi Kes Budak Maut Terjatuh Dari Bangunan, Ibu STOP Tinggalkan Anak Sendirian Di Rumah!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!