Apa Itu Pseudo Autisme, Gejala & Cara Mengatasi Agar Anak Kembali Normal

Apa itu pseudo autisme? Ia adalah keadaan di mana kanak-kanak menunjukkan simptom seperti autisme, tetapi sebenarnya bukan autisme
Kebelakangan ini istilah seperti autisme, ciri-ciri autistik, dan gangguan spektrum semakin biasa kita dengar. Tapi ada satu lagi istilah yang mula menjadi bualan kalangan ibu bapa iaitu pseudo autisme.
▼Isi Kandungan
Apa Itu Pseudo Autisme
Secara ringkas, pseudo autisme adalah keadaan di mana kanak-kanak menunjukkan simptom seperti autisme, tetapi sebenarnya tidak menghidap autisme.
Anak pseudo autisme biasanya tidak membuat kontak mata, lambat bercakap, masalah komunikasi, tingkah laku berulang-ulang, menyendiri dari sosial, sangat sensitif terhadap bunyi atau sentuhan.
Pseudo Autisme Boleh Dirawat
Namun dalam kes pseudo autisme, simptom ini biasanya berpunca daripada faktor luaran, keadaan sementara, atau isu lain yang boleh dirawat atau dipulihkan.
Dalam istilah perubatan, ”pseudo” bermaksud palsu atau menyerupai, jadi pseudo autisme bukanlah satu diagnosis rasmi, tetapi satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan tingkah laku yang kelihatan seperti autisme tetapi berpunca daripada sebab lain.
Punca Pseudo Autisme Kanak-Kanak
Berikut beberapa punca pseudo autisme yang perlu ibu ayah perhatikan:
1. Kurang Rangsangan Sosial Sejak Kecil
Dalam tahun-tahun awal kehidupan, otak anak berkembang dengan sangat pesat dan rangsangan sosial sangat penting dalam proses ini.
Kalau anak dibesarkan dalam suasana sunyi, tak banyak berinteraksi, atau kurang komunikasi dengan orang sekeliling, perkembangan sosial mereka boleh terbantut.
Bila ini berlaku, mereka mungkin:
-
Tak pandai berkomunikasi dengan orang
-
Tak respon bila dipanggil
-
Tak tahu cara berinteraksi
Situasi macam ni boleh jadi bila anak diasuh oleh penjaga yang pasif, tak banyak bercakap, atau apabila anak dibesarkan dalam suasana yang terlalu tenang tanpa rangsangan sekeliling.
2. Pendedahan Skrin Berlebihan (TV, telefon, tablet)
Ni antara punca paling kerap berlaku zaman sekarang. Ramai ibu bapa guna telefon atau tablet untuk “menenangkan” anak. Malangnya, kalau terlalu lama dan terlalu awal, ia beri kesan besar pada perkembangan anak.
Bila anak:
-
Tonton YouTube 4-6 jam sehari
-
Main game tanpa henti
-
Diberi skrin semasa makan, tidur dan bermain
Otak mereka lebih cenderung “berkawan” dengan gajet daripada manusia. Akibatnya:
-
Anak tak peka dengan suara ibu ayah
-
Tidak minat bercakap
-
Tidak tahu berinteraksi
Bila tingkah laku ni berlaku, memang nampak seakan autisme. Tapi sebenarnya ia dipanggil oleh pakar sebagai “autisme digital palsu”, dan ia boleh dipulihkan jika punca (iaitu skrin) dihentikan.
3. Lewat Perkembangan
Ada juga kanak-kanak yang memang mengalami kelewatan perkembangan biasa — contohnya lambat bercakap, lambat berjalan, atau lambat faham arahan.
Masalahnya, kalau anak berusia 2 tahun masih belum bercakap, atau 3 tahun tak faham arahan, ramai ibu bapa terus panik dan anggap itu tanda autisme.
Padahal, ia mungkin hanyalah:
-
Masalah pertuturan (speech delay)
-
Masalah pendengaran ringan
-
Persekitaran yang kurang merangsang
Dengan terapi awal, anak-anak macam ni biasanya akan tunjuk peningkatan yang ketara, dan tidak semestinya tergolong dalam spektrum autisme.
4. Kurang Rangsangan Deria
Kanak-kanak perlukan pelbagai jenis rangsangan deria untuk membesar dengan sihat seperti bunyi, sentuhan, cahaya, pergerakan, dan sebagainya.
Kalau anak dibesarkan dalam persekitaran yang terlalu sunyi, kurang permainan, tiada pelukan atau sentuhan
Si manja juga menunjukkan tingkah laku pelik seperti goyang-goyang badan, elak sentuhan dan tidak aktif. Ini juga menyerupai gejala autisme, tetapi sebenarnya berpunca dari kurangnya stimulasi deria sejak kecil.
5. Masalah Pendengaran
Kadangkala anak tak respon bila dipanggil bukan sebab tak nak respon, tapi sebab dia tak dengar. Masalah pendengaran boleh berlaku sejak lahir atau akibat jangkitan telinga yang berulang.
Bila anak tak dengar:
-
Anak tak belajar perkataan dengan baik
-
Tidak faham arahan
-
Tidak respon bila diseru
Ini boleh disalah anggap sebagai autisme, sedangkan masalah sebenar boleh dirawat atau dibantu dengan alat bantuan pendengaran.
Tanda Pseudo Autisme Pada Anak
Tanda-tanda pseudo autisme pada anak sering kali serupa dengan tanda-tanda autisme, tetapi sebenarnya ia bukan autisme. Ia mungkin berlaku kerana faktor persekitaran atau masalah perkembangan yang lain.
Berikut adalah beberapa tanda pseudo autisme pada anak:
1. Tidak Jawab Bila Dipanggil
Anak mungkin tidak memberi reaksi bila dipanggil namanya. Ini sering kali dianggap sebagai tanda autisme, tetapi kadang-kadang ini boleh berlaku kerana anak kurang rangsangan sosial atau terlalu leka dengan sesuatu perkara.
2. Kurang Eye Contact
Anak yang kurang menjalin pandangan mata (eye contact) semasa bercakap atau bermain boleh menimbulkan tanda autisme. Namun dalam kes pseudo autisme, ini mungkin kerana kurangnya interaksi sosial atau persekitaran yang terlalu sunyi atau kurang berkomunikasi.
3. Suka Menyendiri
Anak yang suka bermain seorang diri dan tidak mahu bergaul dengan rakan sebaya atau orang dewasa boleh kelihatan seperti autistik. Namun, ini mungkin disebabkan oleh kurang rangsangan sosial atau gangguan emosi, bukannya disebabkan oleh autisme.
4. Lambat Bercakap
Lambat bercakap atau tidak bercakap langsung pada usia yang sepatutnya boleh menjadi tanda pseudo autisme. Dalam kebanyakan kes, ini lebih berkait dengan masalah pertuturan (speech delay) atau masalah pendengaran, bukan autisme.
5. Tingkah Laku Berulang
Beberapa anak mungkin menunjukkan tingkah laku berulang, seperti mengayun badan atau menggerakkan tangan secara berulang. Walaupun ini boleh menjadi gejala autisme, dalam kes pseudo autisme, tingkah laku ini mungkin disebabkan oleh kekurangan rangsangan atau kebosanan.
6. Kegelisahan Berlebihan
Anak yang mudah gelisah, takut dengan orang baru, atau tidak mahu mencuba perkara baru boleh menunjukkan kelakuan yang mirip dengan autisme. Ini mungkin berlaku akibat trauma, persekitaran yang tidak stabil, atau kurangnya sokongan emosi.
7. Sensitif Bunyi atau Sentuhan
Sesetengah anak mungkin sangat sensitif terhadap bunyi kuat atau sentuhan, yang boleh membuat mereka bertindak dengan cara yang pelik, seperti menutup telinga atau mengelak daripada menyentuh objek tertentu.
Ini kadang-kadang disebabkan oleh kekurangan rangsangan deria atau pengalaman traumatik, bukan kerana autisme.
8. Kurang Empati Pada Orang Lain
Anak yang tidak menunjukkan empati atau tidak memahami perasaan orang lain (seperti tidak merespons kepada ekspresi muka orang) mungkin dianggap ada masalah autisme.
Namun dalam kes pseudo autisme, ini mungkin berlaku kerana anak tersebut kurang diajar cara-cara untuk mengenali dan memberi respons terhadap perasaan orang lain.
9. Perubahan Tingkah Laku Tiba-Tiba
Kadang-kadang, anak yang sebelum ini ceria dan aktif tiba-tiba menjadi lebih pendiam, kurang berinteraksi atau mula menunjukkan tingkah laku pelik. Ini mungkin berlaku kerana masalah psikologi atau trauma, tetapi ia boleh disalah anggap sebagai tanda autisme.
Cara Mengatasi Pseudo Autisme
Jika anda rasa anak mengalami pseudo autisme, berikut ialah langkah yang boleh anda ambil:
1. Kurangkan Masa Skrin
Cadangan oleh American Academy of Pediatrics:
-
Bawah 18 bulan: tiada skrin langsung kecuali panggilan video
-
Umur 2–5 tahun: tidak lebih 1 jam sehari dengan kandungan berkualiti. Bagi anak yang menunjukkan simptom, detoks skrin sepenuhnya mungkin lebih baik.
2. Tingkatkan Interaksi
Bercakap dengan anak, buat kontak mata, menyanyi, bermain, dan respon kepada reaksi mereka. Ini bantu perkembangan sosial dan bahasa.
3. Dapatkan Pemeriksaan Doktor
Jumpa pakar seperti pakar perkembangan kanak-kanak, ahli terapi pertuturan, atau psikologis kanak-kanak untuk menilai keadaan sebenar anak anda.
4. Galakkan Aktiviti Fizikal
Bagi anak ruang untuk bergerak, bermain, dan teroka dunia sebenar. Aktiviti ini penting untuk perkembangan otak dan emosi yang sihat.
Perbezaan Autisme Sebenar dan Pseudo Autisme
Memahami perbezaan antara autisme sebenar dan pseudo autisme sangat penting kerana: Kanak-kanak yang tersalah diagnosis sebagai autistik mungkin akan mendapat intervensi yang tidak sesuai, manakala punca sebenar tidak ditangani.
Sebaliknya, kanak-kanak dengan pseudo autisme mungkin akan pulih cepat dengan terapi, perubahan gaya hidup, atau interaksi sosial, rawatan yang mungkin tidak berkesan untuk kes ASD sebenar.
Elak Salah Label dan Stigma
Autisme ialah keadaan sepanjang hayat. Jika seorang kanak-kanak diberikan label yang salah, ia boleh mempengaruhi identiti, pembelajaran dan cara orang lain berinteraksi dengannya. Walaupun masyarakat semakin terbuka tentang autisme, stigma masih wujud dalam sesetengah komuniti.
Bila ibu bapa faham bahawa anak mungkin mengalami pseudo autisme, mereka boleh melakukan tindakan seperti mengurangkan masa skrin, meningkatkan aktiviti fizikal dan sosial, dan mendapatkan bantuan profesional.
Adakah Pseudo Autisme Boleh Sembuh?
Pseudo autisme boleh sembuh kerana ia bukan gangguan neurologi sebenar. Jika puncanya dikenalpasti dan dirawat (seperti kurangkan skrin), kebanyakan simptom boleh hilang.
Berapa Lama Masa Untuk Pulih?
Sesetengah ibu bapa nampak perubahan positif dalam beberapa minggu, manakala yang lain mungkin ambil masa beberapa bulan. Yang penting, konsisten dan sabar.
Walaupun pseudo autisme bukan diagnosis perubatan rasmi, ia adalah satu konsep penting yang perlu difahami oleh semua pihak.
Jika anak anda menunjukkan tanda-tanda pseudo autisme, jangan panik. Perhatikan. Berinteraksi. Dapatkan bantuan. Ramai kanak-kanak yang menunjukkan simptom pseudo autisme boleh pulih sepenuhnya dengan perubahan gaya hidup yang betul.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Gangguan Autisme Lebih Cenderung Terjadi Pada Anak Lelaki: Penemuan
Baca juga: Kes Autisme Meningkat, Doktor Dedah Salah Satu Puncanya Adalah Kurang Vitamin D