Apabila usia anak mencecah setahun namun belum mampu mengungkapkan sepatah perkataan pun, bermakna ibu bapa seharusnya bimbang dengan perkembangan itu. Ada kemungkinan anak anda berdepan masalah lambat bercakap berbanding rakan seusianya yang lain.
Semakin lambat ibu bapa menyedari perkara itu, semakin lambat rawatan diambil, sekali gus masalah lambat bercakap tidak dapat diselesaikan.
Pada masa sama, ia juga bergantung kemungkinan kanak-kanak itu berdepan pelbagai isu lain termasuk masalah fokus, autisme, kemahiran moto kasar dan saraf.
Oleh itu, kesedaran ibu bapa terhadap perkembangan anak ini memainkan peranan sangat penting dan peka masalah dihadapi dengan mendapatkan rawatan pemulihan sewajarnya.
Apakah sebenarnya isu anak lambat bercakap? Adakah ia sama dengan masalah speech delay? Benarkah masalah itu berpunca daripada pengambilan makanan?
Berikut adalah soalan-soalan lazim yang diberikan oleh ibu bapa dan ikuti penjelasan lanjut mengenai isu ini di dalam perkongsian bersama Pakar Pediatrik dari Pantai Hospital Laguna Merbok.
- Apakah faktor masalah gangguan percakapan atau speech delay?
- Anak lambat bercakap adalah tanda-tanda autisme?
- Bagaimana pula dengan tanda-tanda autisme?
- Apakah simptom-simptom yang perlu diberikan perhatian?
- Apakah jenis teknik atau perlukah rawatan yang baik untuk berkomunikasi dengan anak mengikut fasa usia anak?
- Apakah antara perkara yang perlu di awasi dalam proses perkembangan anak?
- Apakah kesan buruk akibat masalah lewat pertuturan ini?
- Benarkah faktor genetik dan pemakanan memainkan peranan dalam isu ini?
- Tips Do’s & The Don’ts’s mendidik anak-anak yang lewat bercakap.
1. Doktor, apakah faktor yang menyumbang kepada masalah gangguan percakapan atau speech delay?
“Language delay” atau speech delay atau lambat bercakap boleh didefinisikan sebagai kanak-kanak yang masih belum menuturkan perkataan yang mempunyai maksud pada umur 12-18 bulan.
Ada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak itu lewat bertutur. Antaranya adalah masalah pendengaran, masalah saraf dan otak, masalah perkembangan global, masalah lidah pendek/tekak/hidung dan autism.
Untuk menentukan sebab berlakunya lambat bercakap, ibu bapa dinasihatkan untuk berjumpa dengan pegawai atau pakar perubatan kanak-kanak untuk melakukan penilaian sekiranya anak mereka masih belum menuturkan perkataan yang mempunyai maksud yang jelas pada umur 18 bulan dan menggabungkan 2 perkataan pada umur 24 bulan.
2. Anak lambat bercakap adalah tanda-tanda autisme?
Tidak dinafikan lambat bercakap boleh terjadi kepada kanak-kanak yang mengalami autisma. Akan tetapi ini hanya berlaku pada sebahagian kanak-kanak sahaja kerana kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai masalah lambat bercakap mempunyai faktor lain.
Oleh itu adalah penting untuk ibu bapa berjumpa dengan doktor untuk melakukan penilaian. Kanak-kanak yang mengalami autisma akan juga mempunyai simptom lain selain daripada lambat bercakap.
Pada umur 18 bulan, pihak KKM akan melakukan penilaian M-CHAT bagi menilai tahap perkembangan tingkah laku kanak-kanak. Ujian ini adalah sebahagian daripada cara menilai sama ada kanak-kanak tersebut mempunyai ciri-ciri autisma atau tidak.
3. Bagaimana pula dengan tanda-tanda autisme?
Kredit: Reading Rockets
Autisma dikategorikan sebagai masalah perkembangan saraf (neurodevelopmental disorder). Ini menyebabkan kanak-kanak tersebut mempunyai masalah dari segi perkembangan bahasa/pertuturan/komunikasi, masalah perhubungan sosial serta masalah tingkah laku.
Contoh masalah dari segi komunikasi/bahasa adalah gagal untuk melakukan interaksi dua hala, gagal untuk memahami arahan serta gagal untuk memulakan sesuatu interaksi.
Penyebab kepada masalah autisma ini masih belum jelas. Akan tetapi terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan autisma, antaranya adalah kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibubapa yang berusia (> 35 tahun), sejarah keluarga yang mengalami autisma dan faktor genetik. Adalah dianggarkan antara 64-91% pesakit autisma mempunyai sejarah keluarga dan faktor genetik.
Penggunaan gajet pada usia terlalu awal dan dalam jangka masa yang lama juga dikaitkan dengan masalah autisma yang lebih dikenali sebagai “virtual autism”.
4. Apakah simptom yang perlu diberikan perhatian?
Selain daripada masalah lambat bercakap, kanak-kanak autisma juga akan menunjukkan simptom lain seperti tidak suka bergaul bersama kanak-kanak lain, suka menyendiri dan termenung atau berjalan tanpa tujuan, mempunyai rutin atau minat tertentu sahaja dan tidak suka sekiranya rutin tersebut diganggu, tidak suka melihat atau merenung mata ibu bapa ketika berkomunikasi serta melakukan pergerakan-pergerakan pelik yang tidak mempunyai maksud.
Sudah tentu ini adalah hanya sebahagian sahaja ciri-ciri tipikal autisme. Oleh itu penilaian oleh Pakar Pediatrik dan Psikiatri adalah sangat penting bagi menentukan samaada kanak-kanak tersebut menunjukkan ciri-ciri autisma atau tidak.
5. Apakah jenis teknik atau perlukah rawatan yang baik untuk berkomunikasi dengan anak mengikut fasa usia anak?
Tidak dinafikan komunikasi antara anak dan ibubapa adalah penting semasa proses anak-anak belajar untuk bertutur.
Rangsangan bahasa adalah sangat penting ketika kanak-kanak dalam proses membesar. Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercakap dengan anak-anak menggunakan bahasa yang mudah dan sesuai dengan tahap usia anak tersebut.
Ibu bapa juga digalakkan membenarkan anak mereka bermain dan berkomunikasi dengan kanak-kanak sebaya. Ini bertujuan melatih anak-anak tersebut untuk belajar bertutur semasa mereka sedang bermain tanpa campur tangan orang dewasa.
6. Apakah perkara yang perlu diawasi dalam perkembangan anak?
Proses perkembangan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada 4 bahagian. Bahagian tersebut adalah :
a) Perkembangan motor kasar seperti meniarap, merangkak, berjalan dan berlari
b) Perkembangan motor halus – seperti penggunaan tangan yang cekap.
Perkembangan ini memerlukan anak mempunyai deria mata yang jelas untuk melakukan pergerakan tangan dan jari dengan baik.
c) Perkembangan bahasa dan pertuturan (seperti yang dibincangkan di atas)
d) Perkembangan sosial dan kognitif
7. Apakah kesan buruk akibat masalah lewat pertuturan ini?
Di dalam proses perkembangan bahasa dan pertuturan, kanak-kanak akan mula berkomunikasi sebelum mula bercakap. Antara contoh komunikasi antara anak dan ibubapa adalah dengan menangis ketika lapar atau sakit, serta senyum ketika gembira.
Pada peringkat awal perkembangan bahasa yang normal, kanak-kanak banyak menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi sebelum kemahiran bahasa berjaya dicapai.
Kemahiran menguasai bahasa adalah penting kerana ia adalah medium untuk berinteraksi dengan keluarga dan masyarakat.
Pada masa yang sama, ia juga adalah medium pembelajaran. Ini kerana hampir kesemua bentuk sistem pendidikan menggunakan bahasa sama ada dalam bentuk lisan atau secara bertulis atau kedua-duanya.
Oleh yang demikian, lewat bercakap akan memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak yang lewat bertutur.
8. Benarkah faktor genetik dan pemakanan memainkan peranan dalam isu ini?
Penyelidik masih belum dapat mengenalpasti punca kepada masalah lewat bercakap ini secara jelas. Walau bagaimanapun mereka mendapati kanak-kanak yang lewat bercakap biasanya:
a) Mempunyai sejarah ahli keluarga yang lain mengalami lewat pertuturan
b) Lelaki (kontroversi)
c) Dilahirkan dengan berat badan yang kurang (< 2.5kg)
d) Dilahirkan pramatang iaitu di bawah 37 minggu kandungan
Ada sesetengah kanak-kanak hanya mengalami lewat pertuturan pada peringkat awal perkembangan akan tetapi cepat belajar dan berkembang bila mencapai usia tertentu (catch up).
Faktor genetik yang jelas yang berkait dengan lewat bercakap adalah penyakit genetik yang disebabkan oleh sindrom tertentu. Antaranya adalah Sindrom Down, Sindrom Cri-du-chat, Sindrom Fragile X, Sindrom Turner serta Sindrom Klinefelter.
Tiada maklumat yang jelas mengaitkan masalah lewat bercakap dengan faktor pemakanan walaupun ada petua dari orang-orang tua yang mengaitkan pemberian “pulut” dengan masalah lewat bercakap.
Akan tetapi, masalah kekurangan nutrisi boleh menyebabkan kanak-kanak lewat perkembangan secara global termasuk lewat pertuturan. Kekurangan nutrisi boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan yang mana secara tidak langsung akan menggangu proses perkembangan pertuturan/bahasa.
9. Tips Do’s and Don’ts dalam mendidik anak-anak yang lewat bercakap
Antara tips yang penting dalam mendidik kanak-kanak yang lewat bercakap adalah dengan melatih serta memberi galakan kepada anak untuk lebih bercakap. Berikan sebab untuk mereka kerap berkomunikasi dengan anda. Antaranya adalah :
a) Bermain dengan anak-anak
b) Cipta peluang untuk berkomunikasi
c) Ringkaskan perbualan serta gunakan bahasa yang mudah dan sesuai dengan usia anak
d) Gunakan bahasa isyarat badan untuk menambah maksud perkataan yang diucapkan. Ini secara tidak langsung akan memberikan motivasi kepada anak untuk lebih bercakap
e) Banyakkan bercakap dengan anak
Sekiranya anak-anak tidak menunjukkan peningkatan, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan penilaian dari Pegawai Perubatan/Pakar Pediatrik. Ini kerana, terapi pertuturan pada peringkat awal boleh membantu anak anda untuk pulih daripada masalah ini.
Sumber: Artikel ini ditulis oleh Dr Ahmad Bazli Bin Mohamad, Paediatrician, Pantai Hospital Laguna Merbok
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anaknya Belum Boleh Bercakap Pada Usia 4 Tahun, Ayah Kekal Optimis
Baca juga: Anak Ada Masalah Speech Delay? Ini Cara Pilih Speech Therapy & 10 Tempat Di KL, Selangor
Baca juga: Kalau Anak Ada 9 Ciri Lambat Bercakap Ini, Ibu Ayah Tolong Segera Berjumpa Pakar!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!