Sebagai ibu bapa, kadang-kadang kita mudah cemas bila terdengar bunyi dari perut si kecil. Baru sahaja lepas menyusu, tiba-tiba kruukk… krrkkk… bloop! perut bayi berbunyi seolah-olah ada sesuatu yang berlaku di dalam sana.
Ada yang terus panik, ada juga yang hanya senyum sambil usap perut bayi dan anggap itu normal. Tapi apa sebenarnya punca perut bayi berbunyi? Adakah ia petanda lapar, perut masuk angin, atau mungkin ada masalah penghadaman?
Apa Itu Bunyi Perut Bayi?
Perut berbunyi atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai borborygmi adalah bunyi yang terhasil daripada pergerakan makanan, cecair dan gas dalam usus bayi.
Ia biasanya berlaku apabila sistem penghadaman aktif dan berfungsi. Dalam kebanyakan kes, bunyi ini adalah normal dan tidak perlu dirisaukan.
Namun jika bunyi tersebut berlaku terlalu kerap, sangat kuat, atau disertai dengan simptom lain seperti menangis berlebihan, kembung, cirit-birit atau muntah, maka ia mungkin petunjuk kepada isu kesihatan yang perlu ditangani.
Penyebab Perut Bayi Bunyi
Berikut beberapa penyebab perut bayi bunyi:
1. Bayi Sedang Lapar
Apabila perut bayi kosong, ia akan mengeluarkan bunyi seperti “keroncongan” — sama seperti orang dewasa bila lapar.
Bunyi ini sebenarnya berpunca daripada pergerakan dinding perut yang berkontraksi untuk “mencari” makanan. Kontraksi ini menggerakkan udara dan sisa cecair dalam perut, lalu menghasilkan bunyi bergema.
Jika bunyi ini muncul dan bayi mula menunjukkan tanda-tanda lapar seperti menghisap jari, menangis, atau gelisah, maka itu petanda sudah tiba masanya untuk menyusu, makan makanan pejal atau snek yang sesuai dengan usianya.
2. Proses Pencernaan Aktif
Selepas bayi menyusu atau makan, ibu mungkin terdengar bunyi seperti air berkocak atau “krucuk-krucuk” dari perutnya.
Bunyi ini menandakan usus sedang bekerja. Ia berlaku apabila otot-otot dalam sistem penghadaman bergerak untuk menolak makanan melalui usus, dikenali sebagai gerakan peristalsis. Ini adalah proses normal dan tidak bermakna bayi masih lapar.
Bunyi ini lebih ketara pada bayi kerana lapisan dinding usus mereka lebih nipis dan sensitif, jadi getaran dalam perut lebih mudah didengar berbanding orang dewasa.
3. Posisi Menyusu Tidak Tepat
Apabila posisi penyusuan tidak betul, bayi cenderung menelan lebih banyak udara bersama susu. Udara ini akan berkumpul dalam perut dan menyebabkan bunyi selepas bayi selesai menyusu.
Untuk mengelakkan masalah ini, ibu perlu memastikan mulut bayi melekap dengan baik, seluruh puting dan sebahagian besar areola (kawasan gelap sekitar puting) harus masuk ke dalam mulut bayi.
Jika menggunakan botol susu, pastikan saiz dan bentuk puting sesuai dengan kemampuan hisapan bayi dan tidak menyebabkan banyak udara tertelan. Penggunaan alat bantu menyusu seperti nipple shield atau botol anti-kolik juga boleh membantu mengurangkan kemasukan udara.
4. Bayi Terlalu Kenyang
Selain lapar, perut bayi juga boleh berbunyi apabila terlalu kenyang.
Ini terjadi apabila jumlah susu atau makanan yang masuk melebihi keupayaan perutnya untuk mencernanya dengan sempurna. Sebahagian kandungan makanan yang tidak sempat dicerna akan terus bergerak ke usus besar. Di sana, bakteria akan memecahkannya melalui proses fermentasi yang menghasilkan gas.
Gas inilah yang menyebabkan perut bayi terasa kembung dan mengeluarkan bunyi seperti “gurgle” atau “blop”.
5. Perut Bayi Kembung
Perut bayi berbunyi juga boleh menjadi tanda bahawa bayi mengalami kembung. Ia adalah satu keadaan biasa bagi bayi kerana sistem penghadamannya masih belum matang sepenuhnya.
Apabila susu, makanan, atau udara terkumpul dalam perut dan tidak dikeluarkan dengan betul (misalnya tidak sendawa selepas menyusu), gas akan terbentuk.
Gas ini akan bergerak dalam usus dan menyebabkan bunyi serta rasa tidak selesa. Bayi yang kembung mungkin juga kelihatan resah, perut keras bila disentuh, atau sukar tidur.
6. Pengambilan Makanan Berangin
Jika bayi telah mula makanan pejal, pengambilan makanan tertentu yang tinggi kandungan gas boleh menyebabkan perut mereka berbunyi.
Beberapa jenis makanan seperti kacang-kacangan, brokoli, kobis, kembang kol, bawang besar, cendawan, dan kacang pis diketahui boleh meningkatkan penghasilan gas dalam sistem pencernaan.
Apabila makanan ini melalui usus besar, bakteria akan memecahkannya dan menghasilkan gas berlebihan, menyebabkan bunyi gemuruh serta rasa tidak selesa pada bayi. Oleh itu, pemantauan makanan yang diberikan sangat penting bagi bayi yang baru mencuba pelbagai jenis makanan pejal.
7. Intoleransi Laktosa
Intoleransi laktosa berlaku apabila sistem penghadaman bayi tidak dapat memproses laktosa, iaitu gula semula jadi yang terdapat dalam susu haiwan dan produk tenusu.
Keadaan ini menyebabkan laktosa tidak dicerna dengan sempurna dan bergerak ke usus besar, di mana ia ditapai oleh bakteria lalu menghasilkan gas. Bayi yang mengalami intoleransi laktosa akan menunjukkan tanda-tanda dalam tempoh 30 minit hingga dua jam selepas minum susu.
Antara simptom yang biasa termasuklah perut yang berbunyi, kerap kentut, sakit perut, kekejangan perut, perut kembung, cirit-birit dan muntah. Sekiranya gejala ini berlarutan, ibu bapa disaran mendapatkan nasihat daripada pakar pediatrik untuk pemeriksaan lanjut.
8. Pertumbuhan Bakteria Usus Berlebihan
Dalam kes tertentu yang jarang berlaku, bunyi perut bayi boleh berpunca daripada pertumbuhan bakteria yang berlebihan dalam usus.
Bakteria yang terlalu banyak dalam usus (juga dikenali sebagai SIBO – Small Intestinal Bacterial Overgrowth) boleh menghasilkan gas dalam kuantiti yang tinggi, menyebabkan perut bayi kembung, berbunyi, dan tidak selesa.
Keadaan ini boleh berlaku apabila sistem imun bayi lemah, terdapat gangguan dalam keseimbangan flora usus, kekurangan makanan yang mengandungi probiotik, atau apabila penghasilan asid perut menurun.
Rawatan biasanya bergantung pada punca utama dan harus dikendalikan oleh doktor selepas pemeriksaan dan pengesahan diagnosis.
9. Gangguan Usus Bahagian Bawah
Perut bayi yang kerap berbunyi juga boleh menandakan adanya kelainan atau gangguan pada bahagian usus bawah, seperti Hirschsprung Disease iaitu satu keadaan kongenital di mana sebahagian usus besar tidak mempunyai sel saraf yang mencukupi untuk membantu pergerakan najis.
Akibatnya, usus tidak dapat melakukan pergerakan normal (peristalsis), menyebabkan najis terkumpul dan perut bayi menjadi kembung serta berbunyi.
Salah satu tanda adalah bayi sukar buang air besar, dan apabila dubur dirangsang (misalnya dengan termometer atau jari doktor), najis boleh tersembur keluar akibat tekanan yang terkumpul.
Keadaan ini perlu dikesan dan dirawat awal melalui pemeriksaan klinikal serta ujian lanjut oleh pakar bedah kanak-kanak.
Apa Yang Harus Dilakukan Jika Perut Bayi Bunyi?
Berikut beberapa langkah yang boleh ibu ayah lakukan jika perut bayi berbunyi:
1. Menyusu Atau Beri Makan Ketika Bayi Lapar
Apabila bayi mula menunjukkan tanda lapar seperti menangis atau menghisap jari, berikan susu atau makanan dengan segera. Perut yang kosong akan menyebabkan bunyi keroncong, jadi isi perut bayi dapat meredakan bunyi tersebut.
2. Pastikan Posisi Menyusu Betul
Posisi menyusu yang betul penting supaya bayi tidak menelan udara terlalu banyak. Udara yang masuk boleh buat perut bayi berbunyi dan rasa tidak selesa.
3. Sendawakan Bayi Selepas Menyusu
Selepas bayi menyusu, bantu dia untuk sendawa supaya udara yang tertelan semasa menyusu keluar. Ini boleh mengurangkan rasa kembung dan bunyi perut yang kuat.
4. Elakkan Makanan Berangin
Sesetengah sayur seperti brokoli, kubis, dan kacang-kacangan boleh hasilkan gas dalam perut bayi. Jadi, elakkan bagi makanan ini supaya bunyi perut bayi tidak bertambah teruk.
5. Jaga Pemakanan Bagi Ibu Menyusu
Apa yang ibu makan boleh mempengaruhi susu ibu dan pencernaan bayi. Kalau ibu makan makanan yang sebabkan gas, bayi pun mungkin rasa kesannya.
6. Gerakkan Kaki Bayi Seperti Mengayuh Basikal
Gerakkan kaki bayi perlahan-lahan macam dia tengah kayuh basikal. Ini boleh membantu keluarkan angin dalam perut bayi dan kurangkan bunyi perut.
Bilakah Perut Bayi Berbunyi Adalah Normal?
Perut bayi berbunyi sebenarnya adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu dibimbangkan dalam keadaan berikut:
-
Bayi kelihatan sihat dan aktif
Walaupun perut berbunyi, bayi masih ceria, aktif, dan tidak menunjukkan tanda sakit perut, ini bermakna pencernaan bayi berjalan lancar.
-
Bayi makan dan membuang air dengan normal
Jika bayi dapat menyusu dengan baik dan membuang air kecil serta najis dengan normal, bunyi perut adalah sebahagian daripada proses pencernaan biasa.
-
Bunyi berlaku pada waktu lapar
Biasanya perut berbunyi apabila perut kosong. Bayi akan menunjukkan tanda lapar seperti menghisap jari, menangis, atau cuba mencari puting.
Bila Perut Bayi Berbunyi Perlu Dirisaukan?
Walaupun kebanyakan bunyi perut bayi adalah normal, terdapat keadaan di mana bunyi tersebut perlu diberi perhatian, terutamanya jika disertai simptom lain. Antara tanda yang perlu diwaspadai adalah:
1. Bayi Menangis Kuat Dan Sukar Tidur
Jika bayi sering menangis dan sukar untuk ditenangkan, terutama selepas perut berbunyi, ini mungkin tanda bayi mengalami sakit perut atau kolik.
2. Perut Bayi Kembung Dan Keras
Perut yang kembung dan keras menunjukkan mungkin ada pengumpulan gas berlebihan atau masalah pencernaan lain.
3. Najis Bayi Berubah Warna
Najis bayi sangat cair, berdarah, atau berwarna gelap boleh menjadi tanda jangkitan atau masalah pencernaan serius.
4. Bayi Muntah Atau Susah Makan
Jika bayi muntah dengan kerap selepas menyusu dan kelihatan lemah, ini perlu segera dirujuk kepada doktor.
5. Perubahan Suhu Badan Bayi
Demam atau suhu badan yang tidak normal bersama dengan perut berbunyi boleh menunjukkan jangkitan atau masalah kesihatan lain.
Kesimpulannya, perut bayi berbunyi adalah satu fenomena biasa yang berlaku kerana sistem pencernaan bayi masih dalam proses perkembangan. Ia boleh menandakan bayi lapar, sedang mencernakan makanan, atau gas yang bergerak dalam usus. Ibu bapa tidak perlu terlalu risau selagi bayi kelihatan sihat, aktif, dan makan dengan baik.
Namun, jika bunyi perut disertai dengan tanda-tanda ketidakselesaan yang serius seperti muntah, najis berdarah, demam, atau perubahan tingkah laku yang ketara, segera dapatkan nasihat pakar pediatrik.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Si Manja Kerap Mengalami Masalah Perut? Ini 7 Perkara Penting Ibu Ayah Perlu Tahu!
Baca juga: Perut Anak Meragam? Cuba 12 Langkah Urut Bayi Sembelit & Muak Susu, Barulah Dia Selesa!
Baca juga: Masalah Perut Masuk Angin Tidak Akan Dipandang Ringan Lagi Bila Ibu Ayah Tahu Akan Risikonya Pada Anak
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!